Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
AsSalam, Antara yang berikut, yang manakah penggunaan ayat yang betul? 1. ... melihat keluar dari tingkap 2. ... melihat keluar daripada tingkap 3. ... melihat ke luar tingkap 4. ... melihat keluar tingkap Terima kasih... melihat ke luar tingkap.Tatabahasa06.04.2011
1. melihat rumah contoh atau melihat contoh rumah, soalan contoh atau contoh soalan. 2. Bolehkah memulakan ayat dengan kata hubung spt dengan atau justeru?

Saudara,

Frasa rumah contoh, contoh rumah, soalan contoh atau contoh soalan boleh digunakan bergantung pada aspek kata nama yang hendak dijelaskan. Kata hubung seperti dengan atau justeru digunakan untuk memulakan ayat dalam konteks sudah terdapat wacana atau perenggan sebelumnya dan penggunaan kata hubung ini adalah sebagai sambungan wacana tersebut.

Tatabahasa12.10.2010
Salam sejahtera. Ayat 1: Tamanah hendak melihat perarakan. Ayat 2: Perarakan sudah tamat. Jika ayat 1 dan 2 digabungkan, maka ayat berikut yang manakah betul? Atau kedua-duanya betul? Ayat majmuk 1: Tamanah hendak melihat perarakan tetapi sudah tamat. Ayat majmuk 2 : Tamanah hendak melihat perarakan tetapi perarakan sudah tamat. Terima kasih.Tamanah hendak melihat perarakan tetapi perarakan sudah tamat.Tatabahasa29.07.2013
1. Ali melihat barangan kaca di pasar raya dengan berhati-hati. 2. Ali melihat barangan kaca dengan berhati-hati di pasar raya. Ayat 1 atau 2 betul?Ayat 1.Tatabahasa20.04.2013
Sila nasihat manakah ayat-ayat berikut adalah yang betul dan sebabnya. 1. Ani melihat barangan kaca di pasar raya dengan berhati-hati. 2.Ani melihat barangan kaca dengan berhati-hati di pasar raya.Kedua-dua ayat tersebut betul. Ayat tersebut merupakan ayat majmuk yang terdiri daripada satu ayat induk dengan ayat kecil atau lebih yang berfungsi sebagai keterangan kepada predikat.Tatabahasa25.07.2013
Beza antara perkataan 'melihat' dan 'memandang'.Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, melihat bermaksud 1. nampak apabila memandang, tidak buta, celik: ia tidak dapat ~ lagi kerana matanya sudah kabur; 2. memandang (menengok, menonton, dll) dgn menggunakan mata: mereka pergi ke tepi pantai ~ kapal yg terdampar itu; 3. menilik, meramal (nasib dll): ~ nasib; 4. membuat kesimpulan dgn menggunakan pancaindera, memaklumi (mengetahui dsb) dgn atau setelah melihat (mendengar dsb), meninjau: setelah ~ raja murka itu segalanya orang besar-besar semuanya takut gementar tulangnya; dlm hal ini kita cuba ~ beberapa sebab tersebut; dilihat dr sudut bahasa, beliau tidak menyambung pencapaian bahasa dlm cerpen-cerpen Keris Mas; 5. melawat (orang sakit dll), menziarahi: ~ orang sakit; ~ bulan datang haid. Memandang pula ditakrifkan sebagai 1. menggunakan mata utk mengetahui, melihat seraya mengendahkan, memperhatikan, mengamati: dipandangnya bangunan yg tiga tingkat itu; segala perempuan yg ~ itu semuanya tertawa gelak-gelak; 2. menganggap: Wan Derus dipandang sbg seorang ketua; 3. memikirkan, mempedulikan, memerhatikan: keadilan tidak ~ pangkat atau harta; 4. menghormati, menghargai: ia dipandang orang di kampung itu; ~ berat menganggap sesuatu bukan sbg perkara kecil atau tidak penting, memberikan perhatian dgn penuh kesungguhan; ~ enteng (gampang, mudah, ringan, sepi) menganggap enteng (gampang dll), menganggap tidak penting; ~ hina (rendah) a) menganggap hina (rendah); b) menghinakan (merendahkan); ~ jauh (ke hadapan) memberikan perhatian kpd atau memperhitungkan perkembangan (kepentingan dsb) jangka panjang; ~ kpd mengambil kira akan, memperhitungkan, memikirkan; ~ serong menganggap tidak jujur, tidak mempercayai.Istilah03.12.2009
yang mana tepat-1. Zulkifli kaget/takjub apabila melihat Zaleha yang disangkanya telah meninggal dunia muncul secara tiba-tiba di hadapannya 2.Tepatkah ayat ini-Rendang ayam yang dimasak itu telah habis dimakan adik tengah hari tadi.

YM Tengku,

Ayat yang betul ialah : i. Zulkifli takjub apabila melihat Zaleha yang disangkanya telah meninggal dunia muncul secara tiba-tiba di hadapannya. ii. Rendang ayam yang dimasak itu telah habis dimakan (oleh) adik tengah hari tadi. 

Tatabahasa14.10.2010
1)Bola itu menjadi lembut selepas beberapa lama tersimpan di dalam stor. 2)Azzilah terpaksa berpinar mata melihat rakan-rakannya makan di kantin sekolah kerana dia tidak dibekali wang oleh ibunya untuk membeli makanan. Tolong betulkan.Terima kasih.1) Bola itu menjadi kempis selepas beberapa lama tersimpan di dalam stor.
2) Azzilah terpaksa berputih mata melihat rakan-rakannya makan di kantin sekolah kerana dia tidak dibekali wang oleh ibunya untuk membeli makanan.
Tatabahasa17.07.2012
1)Ketulenan sesuatu barangan yang hendak kita beli tidak boleh ditentukan dengan hanya melihat harganya sahaja.2)Lori di bahu jalan itu berundur setelah terlajak beberapa meter ke belakang.3)Tuan Gurdip telah memajak susu lembu itu untuk dihantar ke bahagian pengumpulan.(TOLONG BETULKAN JIKA SALAH.TERIMA KASIH)Ayat yang lebih gramatis adalah seperti yang berikut:
1. Ketulenan sesuatu barangan yang kita hendak beli tidak boleh ditentukan dengan melihat harganya sahaja.
2. Lori di bahu jalan itu berundur setelah terlajak beberapa meter ke hadapan.
3. Encik Gurdip telah memerah susu lembu itu untuk dihantar ke bahagian pengumpulan.
Tatabahasa14.09.2012
1. Segak nian Ali yang berpakaian baju Melayu.Adakah penggunaan kata penguat nian betul dalam ayat tersebut. 2. Ali mengambil air untuk memasak atau Ali mengambil air untuk dimasak.Bolehkah analisis dua bentuk ayat itu. 3. Boleh mencarikan saya kata istana untuk raja berikut a. melihat dan b. bersetuju 4. Ali mencari maklumat tentang pelajaran dengan menggunakan internet.Adakah ayat ini salah Sekian, terima kasih !

Salam sejahtera,

Kata penguat nian bereti terlalu sangat, amat benar, sungguh.  Dari segi hukum penggunaan kata penguat, kedudukannya boleh diletakkan pada sebelum atau selepas kata yang mengikutinya.  Contoh:amat kuat, kuat amat, sungguh cantik dan cantik sungguh.  Namun, ada juga kata penguat yang hanya boleh diletakkan selepas kata yang mengikutinya.  Dalam konteks kata penguat nian, kedudukannya hanya selepas kata yang mengikutinya.  Oleh sebab itu, penggunaannya hanya betul dalam konteks ayat "Segak nian Ali yang berpakaian baju Melayu.  Bukan "Nian segak Ali yang berpakaian baju Melayu." Rujuk Kamus Dewan dan Tatabahasa Dewan.

Analisis ayat:Ali mengambil air untuk memasak adalah seperti yang berikut:

Menurut Kamus Dewan kata "memasak" merupakan  terbitan daripada kata masak yang bererti membuat lauk-pauk (kuih-muih, dll), mengolah makanan supaya masak.  Ayat yang pertama membawa maksud Ali mengambil air untuk tujuan memasak makanan.  Walau bagaimanapun ayat tersebut perlu diperbaik dengan meletakkan objek kerana kata memasak ialah kata kerja transitif yang memerlukan objek.  Ayat menjadi lengkap dengan meletakkan objek.  Contoh:  Ali mengambil air untuk memasak nasi.

Analisis ayat:Ali mengambil air untuk dimasak adalah seperti yang berikut:

Kata "dimasak" merupakan bentuk pasif memasak.  Ayat ini bermaksud Ali mengambil air untuk dimasak atau dipanaskan sehingga mendidih. 

Kata bahasa istana untuk kata tersebut adalah seperti yang berikut:

a.   melihat      -    Tidak ada yang khusus.  Jika dilihat dalam teks-teks lama, kata melihat atau memandang digunakan.

b.    bersetuju -  berkenan

Ayat:Ali mencari maklumat pelajaran menggunakan internet.

Ayat tersebut betul. 

Sekian, terima kasih.

Tatabahasa18.03.2008
12345678910...

Kembali ke atas