soalan 1.Penggunaan tanda baca ( , koma ) selepas kata 'dan'..adakah perlu atau sebaliknya, harap dapat penjelasan. 2.Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. 3.Semoga Allah mencucurkan rahmat ke atas rohnya. Ayat 3 yang tepat. Harap dapat penjelasan penggunaan kata 'mencucuri' dengan 'mencucurkan' dalam ayat. 4. Sembahyanglah kamu sebelum kamu disembahyangkan. 5. Sembahyanglah kamu sebelum kamu disembahyangi. Ayat 5 yang tepat. Harap dapat penjelasan. 6. oleh kerana itu dan oleh sebab itu..apa perbezaannya. terima kasih. | 1. Tanda koma tidak perlu diletakkan sebelum atau selepas kata "dan" kecuali apabila menyenaraikan perkara yang berlainan kategori boleh diletakkan koma sebelum dan seperti Ali ke kedai membeli ikan, sotong, dan pisau. 2&3. Kedua-dua ayat itu betul kerana mencucuri dan mencucurkan bermaksud melimpahkan rahmat dan sebagainya ke atas atau pada seseorang. 4&5. Ungkapan yang betul ialah "sembahyanglah kamu sebelum kamu disembahyangi" kerana kata kerja aktif transitif ini mesti diikuti objek selepasnya, iaitu "menyembahyangi kamu" dan dalam bentuk pasif "...kamu disembayhangi". 6. Ungkapan yang betul ialah oleh sebab. "Oleh" ialah kata sendi nama yang mesti diikuti oleh kata nama atau frasa nama, sedangkan kerana bukan kata nama tetapi kata hubung keterangan. Penggunaan oleh yang diikuti dengan kerana dalam ungkapan "oleh kerana" untuk menunjukkan hubungan yang membawa maksud sebab merupakan penggunaan yang salah. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 284. | Tatabahasa | 04.01.2013 |