apakah beza melintas dengan melintasi? | perbezaannya dapat dilihat melalui definisi yang diberikan oleh Kamus Dewan Edisi Empat seperti berikut; melintas = 1. lalu (dgn cepat): seorang Pak Haji ~ di hadapan peminta sedekah itu; 2. merentas (mengikut jalan yg terdekat), memintas: kita harus berjalan melingkari padang ini kerana tidak dibenarkan ~; 3. memotong jalan, menyeberangi jalan: tidak dibenarkan ~ jalan di sini; 4. teringat (ternampak, terkenang, dll) sekejap: benda pertama yg ~ di kepala Jusoh ialah Semaun; melintasi = 1. lalu di, melalui, mengharungi: pelayaran ~ Atlantik; 2. pergi ke seberang, menyeberangi: habis sahaja makan, Ismail ~ jalan ini menuju lori balak; 3. menghindarkan (kesulitan dll), mengatasi; | Tatabahasa | 20.10.2012 |
1. Melintas di jalan yang berselekoh adalah tidak selamat kerana pemandu tidak dapat melihat dengan jelas pejalan kaki. 2. Melintas di jalan yang berselekoh adalah tidak selamat kerana pemandu tidak dapat melihat pejalan kaki dengan jelas. Minta penjelasan ayat 1 atau 2 betul, atau kedua-duanya? Terima kasih. | Ayat yang betul ialah “Melintas di jalan yang berselekoh tidak selamat kerana pemandu tidak dapat melihat pejalan kaki dengan jelas”. | Tatabahasa | 30.01.2024 |
Bolehkah saya tahu mana satu ayat yang lebih betul? Mengapa? 1) Ibu pimpin tangan adik semasa melintas jalan. 2) Ibu memimpin tangan adik semasa melintas jalan. Terima kasih. | Ayat yang betul ialah Ibu memimpin tangan adik semasa melintas jalan. Perkataan memimpin dalam ayat tersebut merupakan kata kerja transitif, iaitu kata kerja yang menerima penyambut sesudahnya, yang disebut objek. Kata kerja ini terbahagi kepada dua, iaitu kata kerja dalam ayat aktif dan kata kerja dalam ayat pasif. Kata kerja transitif yang wujud dalam ayat aktif ialah kata kerja yang menerima awalam meN- dengan atau tanpa akhiran -kan atau -i. Awalan meN- menjadi me- apabila bergabung dengan kata dasar yang bermula dengan huruf-huruf seperti m, n, ny, l, w dan y. Termasuk dalam jenis ini ialah kata dasar yang bermula dengan huruf p, t, k dan s. Dalam hal ini, huruf pertama dalam kata dasar berubah bentuk sengau yang sama daerah artikulasinya, iaitu m bagi p, n bagi t dan ny bagi s. Contohnya pimpin menjadi memimpin. | Tatabahasa | 01.08.2021 |
Salam sejahtera. 1) a) Zali bermain dengan gembira. b) Zali bermain dengan gembiranya. 2) a) Murid-murid beratur dengan berdisiplin. b) Murid-murid beratur dengan berdisiplinnya. 3) a) Dia melintas jalan dengan berhati-hati. b) Dia melintas jalan dengan berhati-hatinya. Ayat yang manakah betul? | Semua ayat tersebut betul. Bentuk kata -nya berfungsi sebagai pembenda. Kata pembenda ialah bentuk yang menjadikan sesuatu perkataan yang bukan daripada kata nama sebagai kata nama, Contohnya, “Dia berhujah dengan lantangnya.” Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Buku Tatabahasa Dewan (DBP, 2008) halaman 296. | Tatabahasa | 23.10.2024 |
1. memberi dorongan / memberikan dorongan 2. Membaca banyak mendatangkan faedah kepada kita/ Membaca mendatangkan banyak faedah kepada kita. 3. Apabila tiba di / ke lintasan belang, kita harus menoleh ke kiri dan kanan sebelum melintas jalan. 4. Kita harus sentiasa berjaga-jaga demi menjaga keselamatan kita/ keselamatan kita. | Berikut ialah jawapan yang betul: 1. Memberikan dorongan tetapi perlu ditambah kepada siapa. 2. Kedua-duanya betul. 3. Apabila tiba di lintasan belang, kita harus menoleh ke kiri dan ke kanan sebelum melintas (telah tiba, gunakan "di"). 4. Kita harus berjaga-jaga demi keselamatan kita. | Tatabahasa | 21.04.2010 |
mohon penjelasan penggunaan kata KEMAS yang betul. 1. Soraya memegang tangan adiknya dengan KEMAS semasa mereka hendak melintas jalan. 2. Encik Omar menyemak hasil laporan itu dengan KEMAS sebelum menghantarnya kepada Tan Sri Hashim. | Perkataan "kemas" adalah bersinonim atau seerti dengan "rapi, terurus, teratur, tersusun, dll.". Perkataan "kemas " juga bersinonim dengan "kuat, teguh, erat, kukuh,bersih, segar, selesai, dll." | Tatabahasa | 19.05.2015 |
Saya ingin bertanya dua soalan seperti di bawah. Terima kasih. 1) Adakah kata arah "dalam" yang terdapat dalam tajuk di bawah perlu ditulis dengan huruf besar? a) Suasana di dalam Perpustakaan b) Suasana di dalam Bank 2) Adakah perkataan "sebelum" dan "selepas" dalam tajuk di bawah merupakan kata hubung? Betulkan perlu ditulis dengan huruf besar? a) Langkah-langkah Sebelum Melintas Jalan Raya b) Basuh Tangan Selepas Makan | Penggunaan yang betul ialah: 1. Suasana di dalam Perpustakaan 2. Langkah-langkah Sebelum Melintas Jalan | Tatabahasa | 29.07.2016 |
salam tuan. Adakah ayat ini betul? 1.Cikgu Zaid memberikan arahan menggunakan pembesar suara kepada peserta larian. 2.Guru besar memberikan hadiah sambil disambut oleh Amir yang memenangi pertandingan yang disertainya. 3. Pasukan unit beruniform berkawad sambil melintas di hadapan khemah. | Ketiga-tiga ayat contoh yang diberikan betul. | Tatabahasa | 04.06.2012 |
1. Apakah istilah untuk garisan kuning berbonggol yang digunakan di jalan raya untuk memperlahankan kelajuan kenderaan. 2. (a) Abu pergi ke sekolah pada setiap hari. (b) Abu ke sekolah pada setiap hari. Yang manakah betul bagi ayat-ayat di atas. | 1. Garisan kuning yang dimaksudkan ialah garisan untuk melintas/lintasan zebra/lintasan belang. 2. Ayat yang betul ialah Abu pergi ke sekolah (pada) setiap hari. | Tatabahasa | 17.05.2010 |
1. Saya memimpin tangan / memimpin orang tua melintasi jalan. Perlukah kata kerja memimpin diikuti dengan tangan? kerana perkataan memimpin telah membawa maksud memegang tangan. 2. Sekolah saya mengadakan pertandingan menyanyi / pertandingan nyanyian? Apakah perbezaan antara kedua-dua frasa nama tersebut? 3. Saya menghidangkan makanan kepada / untuk ibu. Apakah perbezaannya ? kerana saya pernah terjumpa menghidangkan .... kepada dan menghidangkan ... untuk. | 1. Ayat yang betul ialah saya memimpin tangan orang tua melintas jalan. Hal ini kerana berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, memimpin mempunyai tiga takrifan, iaitu: 1. memegang tangan dan membawa berjalan menuju ke sesuatu tempat (menunjukkan jalan dll), membimbing, menuntun: Malim Deman pun ~ tangan puteri lalu berjalanlah; 2. mengepalai atau mengetuai serta mengendalikan (badan, pertubuhan, pergerakan, negara, dll), mengepalai (rapat dsb): dia tidak pernah ~ apa-apa pergerakan; tentera yg dahulu dipimpin oleh Jeneral Suharto telah siap sedia utk menghadapi kemungkinan perlawanan drpd anasir-anasir prokomunis; 3. melatih (mendidik, mengasuh, dll) supaya boleh bekerja (berfikir) sendiri; pelajar-pelajar ini dipimpin oleh guru-guru yg terlatih. 2. Frasa yang betul ialah Sekolah saya mengadakan pertandingan nyanyian kerana nyanyian ialah kata nama, sedangkan menyanyi ialah kata kerja. Penamaan sesuatu perkara hendaklah dalam kata nama. 3. Syat yang lebih tepat ialah saya menghidangkan makanan kepada ibu kerana penggunaan kata sendi nama kepada dalam ayat tersebut menyatakan sasaran yang merujuk manusia, haiwan dan unsur mujarad. Ayat tersebut boleh juga diolah sebegini: Saya menghidangi ibu makanan. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 272 untuk keterangan lanjut. | Tatabahasa | 07.02.2010 |