adakah penggunaan akronim dapat digunakan secara meluas dalam bahsa melayu?? adakah akronim yang kita guna hendaklah diketahui oleh umum?? | Penggunaan akronim dalam bahasa Melayu tidaklah meluas dan kebanyakan bentuk yang ada pun hanya merujuk pertubuhan dan institusi contohnya seperti RISDA dan MARA. Antara kelebihan penggunaan akronim ialah untuk memudahkan orang ramai menyebut dan mengingati sesuatu institusi itu. | Lain-lain | 20.12.2008 |
Soalan saya: Penggunaan Bahasa Melayu sangat meluas. Dari segi perkataan, banyak perkataan baharu. Sebagai contoh coffee house bermaksud laman kopi. Jadi, saya ingin mendapatkan senarai perkataan dan maksudnya dalan bahasa Melayu seperti contoh tadi untuk membolehkan saya mengajar bahasa Melayu dengan lebih baik. Terima kasih. | Terima kasih atas keprihatinan saudara. Dalam setiap penerbitan kamus dimasukkan entri baru atau kata lama tetapi ada peluasan makna daripada makna yang sebelum ini. Oleh itu rujukan yang utama ialah Kamus Dewan. Dalam pada itu kami juga menerbitkan pedoman bahasa (nipis) dan diedarkan secara percuma kepada pengguna. Saudara boleh mendapatkannya di Tingkat 25, Menara DBP. | Lain-lain | 24.12.2008 |
Penggunaan *Muka Buku sebagai padanan Facebook semakin meluas. Seorang penyanyi mempopularkan padanan itu melalui lagu “Cinta Muka Buku”. Sebaliknya, Kembara Bahasa Melayu Mahawangsa (Dr. Haji Awang Sariyan) tidak bersetuju dengan padanan *Muka Buku. Beliau menyokong penggunaan padanan Buku Wajah tetapi tidak menafikan hak mereka yang suka menggunakan istilah asal, iaitu Facebook. Beliau menyatakan hal ini di laman Kumpulan Kembara Bahasa pada 27 Januari 2012. Apakah pula pandangan pihak Khidmat Nasihat DBP? | Beberapa istilah diperkenalkan kepada khalayak sebagai padanan perkataan facebook dalam bahasa Melayu. Walau bagaimanapun perkataan facebook dikekalkan penggunaannya dalam bahasa Melayu kerana facebook merupakan kata nama khas sama seperti Internet. | Istilah | 13.04.2012 |
Sejak belakangan ini, kejadian pembuangan bayi semakin meluas. munsyi, apakah kesalahan ayat ini? TQ | Ayat yang diberikan adalah betul. | Tatabahasa | 16.02.2012 |
saya sering menemui perkataan "KETERAMPILAN' digunakan dengan meluas di majalah fesyen, iklan, buku mengenai gaya hidup. Perkataan ini seolah-olah bermaksud penampilan menarik atau berpenampilan hebat walhal setelah merujuk Kamus Dewan, ia bermaksud kecekapan atau kemampuan yang tinggi. Bolehkah tuan jelaskan apa maksud sebenar 'KETERAMPILAN" atau "TERAMPIL"? Patutkah saya rasa keliru? | Betul seperti yang saudara nyatakan terampil bermaksud cekap (dlm melaksanakan sesuatu, menyelesaikan masalah, dsb) dan keterampilan bermaksud wibawa seseorang apabila dapat melaksanakan sesuatu tugas. | Tatabahasa | 11.10.2011 |
saya ingin megetahui makna sesuatu perkataan dengan lebih meluas... | Sila rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat atau layari http://prpm.gdbp.gov.my. | Lain-lain | 03.03.2010 |
Assalamualaikum. Saya ingin bertanya tentang penggunaan istilah penyerapan bahasa asing seperti Matematik, Geografi, Psikologi dan sebagainya. Jika kita lihat pengunaan istilah ini sangat meluas dalam bidang pendidikan,sedangkan istilah-istilah seperti yang dinyatakan mempunyai makna yang tersendiri dalam bahasa Melayu seperti Matematik sebagai ilmu hisab, Geografi sebagai ilmu alam dan Psikologi sebagai ilmu jiwa. Persoalannya mengapakah istilah-istilah seperti ilmu hisab ini tidak digunakan dan diketepikan, sebalikknya kita menggunakan istilah serapan bahasa asing seperti matematik sebagai satu perkataan yang digunakan pakai secara meluas? Diharap pihak tuan dapat memberikan sedikit ulasan berkaitan perkara di atas.Sekitan terima kasih | Semua bangsa pasti berinteraksi dengan bangsa-bangsa yang lain dalam dunia sejagat. Proses ini menggunakan bahasa sebagai alat dan wahana penyampaian fikiran dan hasrat. Dalam proses komunikasi ini, pelbagai konsep ilmu akan dipindahkan menerusi peminjaman kata dan istilah antara satu bahasa ke satu bahasa yang lain sesuai dengan ungkapan istilah jambatan ilmu. Dalam interaksi bangsa Inggeris dengan bangsa Arab, terutama dalam bidang sains, banyaklah ilmu yang ditimba mereka, dan banyaklah konsep yang dipinjam melalui istilah seperti ‘alchemy’, ‘alcohol’, dan ‘algorithm’. Semakin kuat pengaruh ilmu yang dimiliki oleh sesuatu bahasa, semakin banyaklah kosa katanya dipinjam oleh bahasa yang lain. Kerana itulah istilah perubatan Inggeris sebahagian besarnya dipinjam daripada kata Yunani dan Latin. Tiada sesiapa pun pernah mempersoalkan istilah bahasa Inggeris yang bersifat kelatinan. Tiada seorang pun sekarang yang mempertikaikan kemampuan bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu. Sejarah telah merakamkan bahawa bahasa Melayu sudah pun berperanan sebagai bahasa perdagangan. Semenjak zaman kesultanan Melaka lagi, bahasa Melayu digunakan untuk urusan perniagaan dan perdagangan di pelabuhan di seluruh kepulauan Melayu, dari Sumatera ke Papua, di seluruh pelosok Nusantara ini. Pada masa sekarang pun bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa perdagangan oleh institusi kewangan, sektor insurans dan sektor peniagaan lain. Proses peminjaman kata dan istilah juga terus-menerus berlaku baik daripada bahasa Inggeris mahupun bahasa-bahasa lain. Apabila perbankan Islam semakin banyak dilaksanakan maka banyaklah pula istilah Arab yang kita pinjam lalu timbullah nanti tanggapan bahawa istilah Melayu sudah kearaban. Dalam persaingan dan percampuran bahasa yang semula jadi sifatnya, peranan Dewan Bahasa dan Pustaka adalah untuk memastikan proses peminjaman ini berlaku mengikut peraturan dan petua bahasa Melayu agar istilah yang dipinjam itu dapat dieja, disebut dan digunakan mengikut kelaziman berbahasa Melayu yang baik, santun dan indah. Peranan ilmuwan Melayu juga harus lebih rancak menghasilkan tulisan ilmiah dalam pelbagai bidang dan genre agar bahasa Melayu juga menjadi bahasa ilmu yang mempunyai pengaruh dan dipinjam pula oleh bangsa lain sehingga suatu hari nanti bahasa Inggeris juga bersifat kemelayuan. | Lain-lain | 12.03.2013 |
adakah perkataan jawaban kini telah digunakan oleh lembaga peperiksaan dengan meluas? atau perkataan jawapan masih boleh digunakan lagi? yg mana satu betul? | Mengikut pembentukan kata, jawaban. Walau bagaimanapun, yang lazim digunakan dan telah mantap ialah jawapan. | Tatabahasa | 14.03.2010 |
bilakah perkataan daku digunakan? adakah perkataan ini boleh digunakan secara meluas seperti perkataan aku? | Daku bermaksud aku. Kata ini digunakan terutamanya apabila pertkataan sebelumnya berakhir dengan huruf 'n', contoh : akan daku, dengan daku, dan maafkan daku. | Lain-lain | 07.07.2008 |
Mengapakah kegiatan sastera di negara ini tidak mendapat publisiti yang meluas sama ada melalui media cetak atau elektronik? | Kegiatan sastera mendapat publisiti dalam media cetak dan media elektronik. Misalnya, akhbar Berita Minggu dan Berita Harian memberikan promosi terhadap kegiatan tersebut dalam ruangan sastera pada hari Ahad, Selasa, Khamis dan Sabtu, manakala akhbar Mingguan Malaysia dan Utusan Malaysia memberikan promosi pada hari Ahad, Isnin dan Khamis. Kegiatan sastera yang dikendalikan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dipromosikan melalui akhbar yang tersebut di atas, di samping melalui majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka dan laman sesawang Dewan Bahasa dan Pustaka. Media elektronik, misalnya radio dan televisyen turut mempromosikan kegiatan sastera. | Lain-lain | 12.05.2008 |