Tolong jelaskan penggunaan kata hubung bahawa... Kita perlu memastikan bahawa kita mengikuti amalan pemakanan yang seimbang bagi menjalani kehidupan yang sihat. Penggunaan bahawa dalam ayat ini ...betul tak encik | Penggunaan kata "bahawa" pada ayat" Kita perlu memastikan bahawa kita mengikuti amalan pemakanan yang seimbang bagi menjalani kehidupan yang sihat adalah betul. | Tatabahasa | 19.02.2016 |
Kami ingin memastikan bahawa papan iklan kami betul tatabahasa yg digunakan. | Untuk pengesahan iklan sila layari laman web http://sbmb.dbp.gov.my/iklan/Pelanggan/login.aspx Sekian terima kasih | Lain-lain | 06.03.2017 |
Salam Sejahtera, Saya ingin memastikan bahawa kini, perkataan "standard" boleh digunakan dalam Bahasa Malaysia? sebagai contoh "escalate" telah digunapakai sebagai "eskalasi". Sekiranya ya, mohon juga jelaskan maksud "standard" Terima Kasih, | Perkataan 'standard' telah diterima dalam bahasa Melayu. Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, standard bermaksud, 1. sesuatu yang diterima (diiktiraf) dan dijadikan dasar untuk mengukur (menilai dan sebagainya) sesuatun yang lain (seperti berat, isi padu, nilaian wang, mutu, dll) 2. taraf (kehidupan) 3. sesuatu yang dianggap tetap nilainya sehingga dapat digunakan sebagai ukuran nilai (harga) 4. (bentuk bahasa, ejaan, dan sebagainya) yang betul (selaras) dan diterima oleh semua penuturnya, baku. Sila rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat ms. 1523. Padanan istilah bahasa Melayu untuk escalate ialah mencetuskan dan padanan bahasa Melayu untuk escalation ialah peningkatan, perluasan atau penambahan. | Makna | 25.01.2011 |
Salam tuan di talian, Saya ingin memastikan bahawa penggunaan kata sendi nama dari adalah tepat dalam ayat di bawah. 1. Apakah kejayaan yang dicapai oleh sekumpulan penyelidik dari USM? atau Apakah kejayaan yang dicapai oleh sekumpulan penyelidik daripada USM? | Berdasarkan contoh ayat yang diberikan maklumat yang diperlukan adalah berkaitan penggunaan kata sendi dari dan daripada. Untuk makluman, kata sendi dari digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan arah, tempat atau waktu, seperti ayat Pelajar itu datang dari Universiti Malaya; manakala kata sendi daripada digunakan di hadapan kata nama yang menyatakan punca, sumber, perbezaan dan perbandingan seperti ayat Asap itu keluar daripada paip ekzos. USM- tempat. Apakah kejayaan yang dicapai oleh sekumpulan penyelidik dari USM? - TEPAT. | Tatabahasa | 02.08.2012 |
Bagaimanakah ingin memastikan bahawa kita telah menggunakan apitan men...kan dan men...i dengan betul dalam dalam kata kerja transitif, sedangkan maksudnya kadang kala hampir sama sahaja? | Untuk memastikan penggunaan kata kerja yang betul sila lihat panduan yang disertakan. Untuk membezakan penggunaan apitan meN-...-kan dengan meN-...-i, sila lihat fungsi antara kedua-dua apitan tersebut, iaitu:i. Fungsi apitan meN-...-kan menandakan kausatif, manakala apitan meN-...-i menandakan lokatif. Contohnya: Ali menghadiahkan sebuah basikal kepada Ahmad dan Ali menghadiahi Ahmad sebuah basikal.ii. Apitan meN-...-kan lazimnya menerima objek yang tidak bernyawa, manakala apitan meN-...-i menerima objek yang bernyawa. Lihat contoh di atas.iii. Bagi sebilangan kata kerja yang menerima apitan meN-...-kan dan meN-...-i, penggunaannya saling berganti tanpa membezakan makna. Contohnya: Ali sedang membaiki kereta yang rosak dan Ali sedang membaikkan kereta yang rosak. | Tatabahasa | 25.09.2011 |
Apakah maksud rangkaian perkataan ini "sistem dalaman".Cpntph ayat:Sistem dalaman yang digunakan oleh organisasi untuk memastikan bahawa organisasi berjalan landasan yang betul. | Sistem dalaman digunakan oleh organisasi bagi memastikan organisasi berada pada landasan yang betul. | Lain-lain | 01.07.2022 |
1. Adakah ayat-ayat ini betul: i) Setiap pekerja perlu memastikan bahawa majikan membuat caruman pendapatan mereka dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja. ii) Pertandingan itu diadakan bersempena dengan sambutan Jubli Perak sekolah kami. iii) Adalah diisytiharkan bahawa Hari Raya Puasa tahun ini jatuh pada hari Selasa. 2. Ayat mana satu yang betul: i) Bukan sahaja Yasmin tidak termakan gulai yang pedas itu, bahkan juga adiknya. ii) Sedangkan Yasmin tidak termakan gulai yang pedas itu, apatah lagi adiknya. | Ayat i dan ii betul. Ayat (iii) Adalah diisytiharkan bahawa Hari Raya Puasa tahun ini jatuh pada hari Selasa, kurang tepat kerana kata pemeri “adalah” tidak boleh hadir di hadapan prasa kerja atau kata kerja. Oleh demikian, ayat di atas seharusnya berbentuk seperti yang berikut: Dengan ini diisytiharkan bahawa Hari Raya Puasa tahun ini jatuh pada hari Selasa. Ayat “Bukan sahaja Yasmin tidak termakan gulai yang pedas itu, bahkan juga adiknya” perlu diedit seperti yang berikut “Bukan Yasmin sahaja tidak termakan gulai yang pedas itu, malahan adiknya.” | Tatabahasa | 29.10.2020 |
Salam sejahtera tuan / puan, Saya mendapat satu maklumat bahawa perkataan 'mengandungi' tidak boleh diguna pakai dalam penulisan bahasa melayu lagi. Contoh: Kertas soalan ini mengandungi 40 soalan. (SALAH) Kertas soalan ini mengandung 40 soalan. (BETUL) Saya ingin memastikan bahawa maklumat ini tepat atau sebaliknya. Saya berharap agar pihak tuan dapat menguraikan persoalan ini. Sekian dan terima kasih. Sylnie (Sarawak) | Saudara, Perkataan 'mengandungi' masih digunakan untuk membawa maksud terdapat atau termuat di dalam sesuatu. Oleh itu, ayat 'Kertas soalan ini mengandungi 40 soalan' betul. | Tatabahasa | 03.07.2010 |
Assalamualaikum / Salam Sejahtera, Berkenaan dengan penggunaan perkataan "dalam/dalaman" untuk audit. Yang manakah yang lebih tepat dan betul? Audit dalam atau audit dalaman? | Assalamualaikum Encik Hanafi, Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, audit dalam bermaksud pemeriksaan rekod kewangan dan bukan kewangan sesebuah organisasi oleh organisasi itu sendiri untuk memastikan bahawa organisasi dikendalikan dengan betul. Menurut istilah bahasa Melayu pula, audit dalaman pula digunakan dalam bidang pentadbiran dan istilah sumbernya ialah "internal audit'. Audit dalaman membawa maksud pemeriksaan terhadap keperluan dan kesahihan segala perbelanjaan yang dilakukan dalam sesuatu organisasi bertujuan untuk menilai kecekapan dan kebolehpercayaan bahagian perakaunan organisasi tersebut. Bahagian yang sering menerima audit dalaman ialah bahagian pentadbiran yang melibatkan penyemakan segala perbelanjaan dan penggunaan barangan pejabat. Dalam pengauditan dalaman, semua baucer, invois dan dokumen lain diperiksa ketepatan dan kesahihannya sebelum dibayar atau direkod secara rasmi. Kesimpulannya, kedua-dua perkataan diterima namun pemilihan kata yang sesuai mestilah berdasarkan konteks ayat. Sekian. Terima kasih. | Istilah | 30.01.2018 |
Pada pandangan kami, selagi pihak Pejabat Tanah dapat memastikan daripada rekod Tuan bahawa pihak yang memohon kepada geran dan dokumen-dokumen tersebut adalah pihak yang berhak disisi undang-undang untuk memiliki geran tersebut, maka terserahlah kepada budi bicara Tuan pendaftar untuk membenarkan geran tersebut dilepaskan kepada pihak yang berkenaan. Apakah ayat/perkataan yang sesuai untuk diganti selain dari perkataan "terserahlah" dalam ayat diatas. | Kami mencadangkan pembetulan ayat seperti di bawah dan perkataan terserahlah boleh digantikan dengan terpulanglah. Pada pandangan kami, sekiranya pihak Pejabat Tanah dapat memastikan bahawa pihak yang memohon geran dan dokumen-dokumen tersebut ialah pihak yang berhak disisi undang-undang untuk memiliki geran tersebut berdasarkan rekod tuan, maka terpulanglah kepada budi bicara tuan untuk membenarkan geran tersebut diserahkan kepada pihak yang berkenaan. | Tatabahasa | 06.09.2021 |