Salam sejahtera. 1) Adakah perkataan 'baru' itu sinonim kepada 'baharu'? Tesaurus dalam carian atas talian (PRPM) hanya mengatakan 'rujuk "baru"' tetapi tidak secara terang menyatakan sekiranya kedua perkataan ini bersinonim antara satu sama lain. 2) Walau bagaimanapun, Kamus Inggeris-Melayu Dewan menakrifkan 'new' sebagai 'adj; baru, baharu' . Jadi, adakah ini bermakna 'baru' dan 'baharu' sinonim? 3) Sekiranya sinonim, apakah beza penggunaan kedua-duanya? Adakah secara formal/tidak formal atau ejaan standard/tidak standard, etc? Adakah ianya hanya perbezaan 'stylistic'. 4) Adakah salah sekiranya saya menulis 'Selamat Datang Mahasiswa dan Mahasiswi Baru' yakni tidak menggunakan 'baharu'? Terima kasih. | Kata baru dan baharu bukan sinonim kerana sinonim ialah kata yang sama atau hampir sama maknanya dgn kata lain, misalnya cantik dengan indah. Sebaliknya kata baru dan baharu dianggap sebagai varian (bentuk atau ejaan yang berlainan bagi perkataan yang sama) dalam bahasa Melayu. Seperti yang dimaklumi, Kamus-Inggeris-Melayu Dewan menakrifkan new sebagai baru dan baharu. Ini bermakna untuk frasa bahasa Inggeris seperti New Edition dan New Car boleh diterjemahkan kepada Edisi Baru atau Edisi Baharu dan Kereta Baru atau Kereta Baharu. Walau bagaimanpun dalam bahasa Melayu kata terbitan daripada kata baharu lebih produktif berbanding dengan kata terbitan daripada kata baru. Contohnya kata baharu menerbitkan kata membaharui, memperbaharu, kebaharuan, pembaharuan dan pembaharu; manakala kata baru menerbitkan kata baru-baru dan membarukan. | Tatabahasa | 05.09.2011 |
Salam sejahtera, (i) Kita difahamkan patut digunakan istilah 'baharu' menggantikan istilah 'baru' dalam semua penulisan rasmi. Ada maklumat lanjut/laman rujukan mengenainya? (ii) Makluman: Ada ralat dalam laman ini di bawah subtajuk 'Pengesahan Bahasa', iaitu tertaip 'samada ada': Ruangan Iklan adalah merupakan satu kemudahan ... samada ada iklan bergambar, ... Sekian, terima kasih. Liong | 1. Kata baru dan baharu kedua-duanya betul, namun penggunaannya dibezakan mengikut konteks ayat. Menurut Kamus Dewan, baharu atau baru bermaksud membaharui, memperbaharui, membaiki semula (melakukan sesuatu, mengubah dll). Bagi menjawab pertanyaan saudara, baru kebiasaannya merujuk kepada masa. Bagi membantu saudara memahaminya, dalam bahasa Inggeris kata just digunakan untuk mempamerkan penggunaan kata ini. Contohnya, Dia baru tiba dari Kuala Lumpur. Kata baharu pula merujuk kepada sesuatu yang baru. Terjemahan dalam bahasa Inggeris ialah new, contohnya, buku baharu dan kereta baharu. Walau bagaimanpun penggunaan frasa buku baru dan kereta baru juga adalah betul. 2. Terima kasih atas maklumat yang diberikan, kami akan menyemak dan membetulkannya dengan kadar segera. | Tatabahasa | 14.04.2012 |