Soalan cerakinkan ayat Pihak polis mengadakan operasi untuk membanteras kegiatan jenayah. Ayat 1: pihak polis mengadakan operasi. Ayat 2: operasi ini membanteras kegiatan jenayah. Soalan saya: betulkah jawaban ayat 2. Terima kasih | Jawapan ayat 2 betul. Walau bagaimanapun, kami mencadangkan ayat yang lebih tepat seperti yang berikut: Ayat 1: Pihak polis mengadakan operasi. Ayat 2: Operasi ini adalah untuk membanteras kegiatan jenayah. | Tatabahasa | 18.05.2023 |
Pohon pandangan tuan keatas tajuk kertas kerja seperti yang disenaraikan dibawah serta mohon nasihat tajuk ayat yang betul:- Sikap Masyarakat Malaysia: Penghalang kepada kerajaan untuk membanteras aktiviti cetak rompak. | Cadangan kami: "Sikap Masyarakat Malaysia: Halangan Kerajaan dalam Membanteras Aktiviti Cetak Rompak". | Tatabahasa | 20.08.2015 |
Adakah betul penggunaan huruf besar dan huruf kecil untuk ayat ini? - "Hai, Amin!" Satu suara menegur Amin dari arah belakang. - "Saya rasa... kita harus bekerjasama membanteras kes buli di sekolah kita ini," kata Zhariff kepada rakan-rakannya. | "Hai, Amin!" Satu suara menegur Amin dari arah belakang. "Saya rasa, kita harus bekerjasama membanteras kes buli di sekolah kita ini," kata Zhariff kepada rakan-rakannya. | Tatabahasa | 03.11.2015 |
Salam, saya mahu semak samada ayat saya betul atau tidak. Contoh Ayat : Pihak pengurusan amat berbangga di atas tindakan cemerlang anda kerana berjaya membanteras penyeludupan 316 keping besi keluli tahan karat yang telah disembunyikan di dalam bahagian enjin dan di bawah tempat duduk kenderaan dari tiga buah kenderaan semasa memasuki kawasan pemeriksaan pada 20 April 2015. | Pihak pengurusan amat berbangga atas tindakan cemerlang anda kerana berjaya membanteras penyeludupan 316 keping besi keluli tahan karat yang telah disembunyikan di dalam bahagian enjin dan di bawah tempat duduk di dalam tiga buah kenderaan semasa memasuki kawasan pemeriksaan pada 20 April 2015. | Tatabahasa | 21.04.2015 |
Operasi besar-besaran hendaklah dibuat sebagaimana yang telah dilakukan dalam usaha membanteras VCD cetak rompak. (Munsyi, saya ada membaca tentang istilah sebagaimana , seperti mana tidak sesuai digunakan dalam ayat, sama seperti yang mana, di mana. adakah ini benar? TK) | Perkataan sebagaimana dan sepertimana boleh digunakan. Penggunaan perkataan ini tidak sama seperti perkataan yang mana dan di mana dalam ayat penyata. Perkataan yang mana dan di mana tidak digunakan kerana frasa ini lebih merupakan terjemahan langsung bagi perkataan which dan where dalam ayat penyata bahasa Inggeris ke dalam bahasa Melayu. | Tatabahasa | 05.04.2012 |
Apakah ayat songsang untuk ayat-ayat berikut. (a) Pengacara meminta para tetamu untuk duduk kerana acara akan bermula tidak lama lagi. (b) Pihak berkenaan perlu mengambil tindakan segera untuk membanteras kes cetak rompak daripada berlarutan. | Dalam bahasa Melayu, terdapat dua proses pendepanan prediket, iaitu: pendepanan seluruh predikat dan pendepanan sebahagian daripada predikat. Melalui pendepanan sebahagian daripada predikat juga boleh dengan cara pendepanan kata kerja sahaja, pendepanan kata kerja dengan objek dan pendepanan kata kerja dengan kata bantu. Contohnya: a) Meminta para tetamu untuk duduk pengacara kerana acara akan bermula tidak lama lagi. b) Perlu mengambil tindakan segera untuk membanteras kes cetak rompak sebelum berlarutan pihak berkenaan. | Tatabahasa | 08.11.2015 |
mana satu betul? 1)mencincang daging @mencenceng daging 2)mencium durian @mengcium durian 3) sayatidak upaya melayan kerenahnya atau saya tidak berupaya untuk melayan karenahnya. 4)usaha membenteras maksiat itu patut dipuji @ usaha membanteras maksiat itu patut dipuji. | Penggunaan yang betul ialah: 1) mencenceng daging; 2)mencium durian; 3) saya tidak berupaya untuk melayan kerenahnya; dan 4) usaha membanteras maksiat itu patut dipuji. Untuk mendapatkan tentang ejaan dan tatabahasa, layari laman web kami www.prpm.dbp.gov.my dan tuliskan perkataan (kata kunci) yang diperlukan dalam ruangan CARI dan saudara akan memperoleh data daripada pelbagai bidang termasuklah kamus, istilah, peribahasa dan sebagainya. | Tatabahasa | 14.05.2011 |
1. Adakah penggunaan perkataan 'antaranya @ antara' boleh hadir di pangkal ayat? Contoh ayat; Antara langkah-langkah membanteras gejala rasuah adalah..., Antaranya ialah... 2. Adakah penggunaan perkataan 'ia' boleh digunakan untuk merujuk kepada sesuatu tajuk? Contoh ayat; Bergotong-royong merupakan salah satu cara untuk mewujudkan masyarakat penyayang. Secara tidak langsung, ia akan memastikan kerjasama dalam masyarakat terjalin erat. | 1. (i) Kata antara yang berfungsi sebagai kata sendi nama boleh mendahului ayat yang menunjukkan perbandingan. Contohnya: Antara Fatimah dengan Rahmah banyak perbezaannya. (ii) Kata sendi nama antara biasanya diikuti oleh kata nama am yang tidak perlu diulang. Contohnya: Antara lagu persembahannya ialah ... (iii) Kata sendi nama antara hanya dapat diikuti kata nama am jamak yang mengalami penggandaan separa seperti adik-beradik, yang membawa makna kumpulan orang dan sebagainya yang tertentu. Contohnya: Mereka berbincang antara adik-beradik. (iv) Kata sendi nama antara boleh juga diikuti bilangan tentu seperti dua, tiga, sepuluh dan sebagainya, kata bilangan tidak tentu seperti beberapa, semua dan sebagainya, kata bilangan himpunan seperti kedua-dua, beratus-ratus dan sebagainya. Contohnya: Antara dua bangunan itu, jauh perbezaannya. (v) Kata sendi nama antara juga boleh diikuti oleh kata ganti nama seperti mereka, kita dan -nya. Contohnya: Antara kita, jauh berbeza. 2. Ia, kata ganti nama diri ketiga dan kata ganti benda yang dibicarakan. Penggunaan "ia" menggantikan benda/subjek (bukan binatang) yang dibicarakan adalah betul sama seperti penggunaan it dalam bahasa Inggeris yang merujuk kepada benda/subjek yang dibicarakan. | Tatabahasa | 23.08.2014 |
Maksud KESEPAKATAN dan huraikan maksud tersebut. | Kesepakatan bermaksud perihal sepakat dan persetujuan. Konteks kesepakatan sesuai dalam sesuatu kelompok masyarakat, rakyat sesebuah negara, ataupun kumpulan sesuatu organisasi. Contoh : kesepakatan dalam dalam membanteras kejadian jenayah di sesebuah kawasan dalam kalangan penduduk taman perumahan. | Makna | 26.02.2007 |
Tuan, Apakah perbezaan antara membasmi, menangani dengan membendung? Adakah ketiga-tiga perkataan ini sama maksud? Contoh, Pihak sekolah akan ( membasmi / menangani / membendung) masalah kerosakan tandas dengan segera. Terima kasih | Membasmi bermaksud mengusahakan supaya tidak ada lagi, membanteras, menghapuskan dan memerangi. Menangani bermaksud membuat atau mengusahakan sesuatu manakala membendung pula maknanya menahan atau menyekat sesuatu supaya tidak merebak. Oleh yang demikian, perkataan yang paling sesuai digunakan ialah pihak sekolah akan menangani masalah kerosakan tandas dengan segera. | Makna | 07.03.2019 |