betulkah penggunaan kata hingga dan ke serentak satu kelewahan? Ayat contoh: 1 Ayah membanting tulang dari pagi hingga ke petang. ATAU Ayah membanting tulang dari pagi hingga petang. Begitu juga dengan sejak dan dari. Contoh: Ibu menunggu ayah sejak tadi ATAU Ibu mengunggu ayah sejak tadi / dari tadi. | 1. Dalam buku Tatabahasa Dewan, kata sendi nama hingga digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama untuk membawa maksud perihal peringkat dan had masa. Contoh: Ayah membanting tulang dari pagi hingga petang. Berdasarkan contoh tersebut, kata sendi nama "hingga" tidak boleh berdampingan dengan kata sendi nama "ke". Oleh itu, penggunaan hingga ke secara berturutan dalam satu ayat dianggap tidak gramatis atau berbentuk lewah. 2. Sejak bermaksud mulai atau dari. Penggunaan kedua-dua perkataan tersebut secara berurutan mengandungi unsur lewah dan penggunaan salah satu daripada perkataan tersebut adalah yang gramatis. | Tatabahasa | 06.04.2012 |
1.Peribahasa yang sesuai berdasarkan gambar di atas (ialah/adalah) bagai mencurah air ke daun keladi? 2. Peribahasa yang sesuai berdasarkan gambar di atas (ialah/adalah) membanting tulang. 3. Peribahasa yang sesuai berdasarkan gambar di atas (ialah/adalah) rajin macam semut. 4. Peribahasa yang sesuai berdasarkan gambar di atas (ialah/adalah) di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Apa jawapan yang betul bagi keempat-empat ayat di atas? Minta penjelasan.Terima kasih. | Ialah. Kata pemeri ialah menunjukkan persamaan dan hadir di hadapan frasa nama, manakala kata pemeri adalah menunjukkan huraian dan hadir di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 263. | Lain-lain | 09.03.2017 |
Salam, bolehkah saudara@saudari jelaskan penggunaan kata sendi nama 'bagi'?Bolehkah digunakan dalam ayat seperti berikut? 1. Anggota tentera sanggup berkorban demi kesejahteraan negara. 2. Puan Sahara rela membanting tulang empat keratnya untuk menanggung keluarga. Benarkah kata sendi nama 'demi' lebih sesuai dan betul jika disusuli kata nama?Sekian, terima kasih. | Kata sendi nama "demi" yang lebih tepat digunakan dalam konteks ayat-ayat tersebut. Kata sendi nama "demi" bertugas membawa makna tujuan dan digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama. Manakala kata sendi nama "untuk" dan "bagi" digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menunjukkan kegunaan sesuatu. Contohnya, Asrama untuk/bagi penuntut-penuntut Sabah sedang dibina. Untuk maklumat lanjut sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 276 - 278. | Tatabahasa | 22.05.2013 |
Salam, pembetulan bagi soalan yang diajukan semalam. Soalan yang sebenar ialah: "Salam, bolehkah saudara@saudari jelaskan penggunaan kata sendi nama 'demi'?Bolehkah digunakan dalam ayat seperti berikut? 1. Anggota tentera sanggup berkorban demi kesejahteraan negara. 2. Puan Sahara rela membanting tulang empat keratnya demi menanggung keluarga. Benarkah kata sendi nama 'demi' lebih sesuai dan betul jika disusuli kata nama?Sekian, terima kasih. | Pandangan tuan betul, kata sendi nama "demi" bertugas membawa makna tujuan dan digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama. Walau bagaimanapun perlu diingat kata "demi" juga boleh berfungsi sebagai kata hubung pancangan keterangan, berfungsi menghubungkan klausa yang menjadi keterangan pada klausa utama. Dalam ayat contoh yang diberikan kata "demi" berfungsi sebagai kata keterangan. | Tatabahasa | 23.05.2013 |