| Tuan, Apakah perbezaan antara membasmi, menangani dengan membendung? Adakah ketiga-tiga perkataan ini sama maksud? Contoh, Pihak sekolah akan ( membasmi / menangani / membendung) masalah kerosakan tandas dengan segera. Terima kasih | Membasmi bermaksud mengusahakan supaya tidak ada lagi, membanteras, menghapuskan dan memerangi. Menangani bermaksud membuat atau mengusahakan sesuatu manakala membendung pula maknanya menahan atau menyekat sesuatu supaya tidak merebak. Oleh yang demikian, perkataan yang paling sesuai digunakan ialah pihak sekolah akan menangani masalah kerosakan tandas dengan segera. | Makna | 07.03.2019 |
| Salam sejahtera, anak-anak didik saya pernah menghujani saya seribu satu kemusykilan tatabahasa. Antaranya berhubung dengan kata kerja transitif yang berawalan meN- and berapitan meN-...-kan. Contohnya: ... menunda sinonim dengan menangguhkan ... memupuk sinonim dengan menyemaikan ... membasmi sinonim dengan menghapuskan Soalnya, mengapakah KKtr menunda, memupuk dan membasmi tidak boleh menerima akhiran -kan walaupun membawa makna yang sama? Sekian, Kay Seven Bukit Mertajam, Pulau Pinang. | Salam sejahtera, Untuk makluman, pihak kami bersetuju dengan pandangan yang diberikan kerana sememangnya contoh-contoh yang diberikan bersinonim. Akan tetapi, hanya bersinonim dalam kontes tertentu sahaja dan bukannya 100% peratus kerana ada perkataan yang membawa maksud yang sama dan ada juga yang tidak sama. Hal ini disebabkan, sesuatu perkataan itu mempunyai makna yang pelbagai.
| Tatabahasa | 20.12.2016 |
| Salam sejahtera. Mohon khidmat nasihat pihak tuan/puan tentang terjemahan frasa-frasa berikut: (1) a moderately prosperous society in all respects (masyarakat yang sederhana makmur secara menyeluruh), (2) The Five-Sphere Integrated Plan (Rancangan Bersepadu Lima Aspek), (3)The Four-Pronged Comprehensive Strategy (Strategi Komprehensif/menyeluruh Empat Serampang), (4)Take Targeted Measures Against Poverty (mengambil langkah bersasar bagi membasmi kemiskinan. Sekian, terima kasih. | Untuk makluman tuan/puan, DBP menyediakan khidmat penyemakan dokumen berbayar bagi teks/dokumen yang panjang. Tuan/Puan boleh meng-e-melkan teks ini kepada nawal@dbp.gov.my dalam format langkau dua baris (double spacings), fon tulisan 12 dan jenis tulisan Arial, serta fail dihantar dalam bentuk MS-Word dan PDF, dengan kelarasan (justified). Berikan juga nama penuh, jawatan, alamat dan nombor telefon. Pihak kami akan menyediakan sebut harga berserta tempoh penyemakan. Sila hantar semula soalan satu per satu atau hanya soalan yang benar-benar mengelirukan untuk kami bantu dari aspek tatabahasa, contohnya penggunaan kata sendi nama, kata hubung atau tanda baca. Untuk maklumat lanjut yang berkaitan dengan ayat, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2014), halaman 432 - 575 atau pangkalan data prpm.dbp.gov.my dengan merujuk soal jawab pada pautan Juga Ditemukan dalam: dan pilih Khidmat Nasihat, pada lajur sebelah kanan. | Penyemakan dan penterjemahan | 02.10.2025 |
| Baru-baru ini Kerajaan telah mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Pertanyaan saya adalah sama ada penggunaan perkataan "Pencegahan" atau "Anti" atau " Pembanterasan" yang lebih sesuai digunakan memandangkan ada yang berpandangan perkataan "Pencegahan" tidak menggambarkan elemen penguatkuatkuasaan (kurang keras) berbanding perkataan "Anti" atau "Pembanterasan". Pohon juga pandangan pihak tuan sekiranya terdapat perkataan lain yang lebih bersesuaian. Sekian, terima kasih. | Perkataan cegah bermaksud tegah, halang. Pencegahan bermaksud perihal(perbuatan dsb.)mencegah, penegahan, penolakan, pengawalan(pengawasan). Anti bermaksud tidak suka,, awalan asing yang bermaksud tidak menyetujui, melawan, membantah, menentang. Banteras bermaksud membasmi, menghapuskan, memerangi. Perkataan lain yang membawa maksud yang sama ialah menjauhkan, mengelakkan, menyekat, mengekang. Kami percaya pihak yang memilih perkataan pencegahan untuk menamai Suruhanjaya tersebut telah pun meneliti dan mengkaji semua perkataan yang sedia ada secara terperinci. | Makna | 10.06.2008 |
| Salam tuan di talian. Soalan saya ialah adakah istilah selain bergaduh/ bertengkar untuk menunjukkan pergaduhan secara fizikal dalam bahasa melayu? Soalan saya merujuk kepada perkataan bahasa Inggeris iaitu, fight yang bermaksud pergaduhan yang melibatkan fizikal. Terima kasih. | Menurut takrifan Kamus Inggeris-Melayu Dewan, Fight ditakrifkan sebagai ; vt 1. do battle with, bertempur dengan: America fought Japan for three years, Amerika bertempur dengan Jepun selama tiga tahun; 2. contend with in physical combat, berlawan: my father fought the burglar with his bare hands, bapa saya berlawan dengan pencuri itu dengan tangan saja; 3. oppose, menentang: the senator fought the bill with determination, senator itu menentang rang undang-undang tersebut dengan penuh keazaman; we are going to ~ the action, kami akan menentang tindakan itu; 4. strive to overcome; a. (disease, social evil) berusaha /menghapuskan, membasmi/, (berusaha) membanteras; b. (fire) melawan; c. (fear, pain) melawan; 5. (in boxing) berlawan (tinju) dgn: he fought the champion until the third round, dia berlawan dengan jaguh itu sehingga pusingan ketiga;. Berdasarkan takrifan tersebut, berlawan dan bertempur boleh digunakan selain bertengkar dan bergaduh. | Tatabahasa | 23.04.2013 |