Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[mem.be.ra.ni.kan] | ممڤرانيکن

Definisi : 1. memberangsangkan, menggalakkan: kemenangan itu ~ lagi orangorang Islam; 2. = memberani-beranikan menjadikan (diri sendiri) berani, membuat (memaksa diri) supaya berani: “Saya tidak akan bimbang dgn tidak bersebab,” katanya dgn hati yg diberani-beranikan; (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[mem.be.ra.ni.kan] | ممڤرانيکن

Definisi : membangkit-bangkitkan hati supaya berani; memberangsangkan: Saya ~ diri naik ke atas rakit dan mencuba memadamkan api itu dgn gebar. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Tesaurus
Tiada maklumat tesaurus untuk kata memberanikan


Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
saya seorang yang suka berkarya tetapi tidak berani menunjukkan bakat yang saya miliki...soalan,bagaimana saya boleh memberanikan diri untuk berdepan dengan pengkarya seperti saya ini?????
Pertamanya, saya ingin mengucapkan syabas kepada saudari kerana mempunyai keberanian untuk bertanya tentang bakat dan potensi diri kepada pihak kami. Sebagai seorang manusia, setiap daripada kita mempunyai bakat yang dianugerahkan oleh Tuhan kepada setiap hamba-Nya untuk kita melalui perjalanan hidup ini di muka buminya. Justeru, seseorang itu harus mencari dan meneroka bakat ada ada pada diri sehingga seseorang itu tahu bahawa itulah potensi dirinya yang sebenar dan seterusnya memberikan fokus kepada bakat tersebut. bakat yang dimaksudkan di sini ialah pelbagai jenis kemahiran semula jadi seperti memasak, bertukang, menjahit, dan termasuklah menulis atau mengarang. Memang semua perkara tersebut boleh dipelajari, namun bakat semula yang ada pada seseorang itu akan menjadi sesebuah hasil itu lebih baik dan tinggi mutunya.
Persoalan di sini sekarang ialah saudari merasakan diri seorang mempunyai bakat dan saudari juga telah menulis, tetapi yang menjadi masalah sekarang ialah ketidak beranian saudari untuk menonjolkan karya saudari itu di khalayak ramai atau pembaca. Bagi kami, langkah pemula yang harus saudari ambil ialah yakin bahawa saudari harus menghantar karya saudari itu kepada mana-mana pihak penerbit. Langkah kedua, saudari boleh menyertai mana-mana bengkel penulis atau kursus penulisan yang dianjurkan oleh pihak-pihak tertentu. Langkah ketiga, saudari boleh mengikuti mana-mana seminar yang berkaitan dengan kesusasteraan atau penulisan. Semua langkah yang diberi ini akan menambahkan keyakinan saudari terhadap diri sendiri dan bakat yang ada.
Seterusnya, saudari juga harus berani bertemu atau menelefon mana-mana pihak penerbit untuk bertanya dan berbincang tentang karya yang saudari hasilkan itu sama ada sesuai atau tidak untuk diterbitkan. Jika saudari tidak melakukan, bakat dan potensi diri saudari itu akan terhakis sedikit demi sedikit. Oleh itu saudari harus memulakan. Semua bergantung kepada diri saudari sendiri.
Bagi pihak DBP, kami mencadangakan saudari merujuk laman web DBP untuk mengetahui bengkel, kursus atau seminar yang dianjurkan oleh pihak kami. Sekian, terima kasih.
Lain-lain06.10.2009
Perkataan uja bermaksud?Uja bermaksud (i) menaikkan semangat (ayam, dll) supaya menyerang lawan, menggalakkan atau (ii) memberangsang, memberanikan.Makna30.11.2007
Yang manakah betul? (a) Mereka mencuba melupakan masalah itu. (b) Mereka cuba melupakan masalah itu.

Puan Wong Shiaho,

Frasa yang tepat ialah:

(a) Mereka mencuba melupakan masalah itu.

 

(Nota: kata cuba membawa maksud mengajak, mengarah atau menyuruh. Contoh ayat: Cuba kaufikir sedikit buruk baiknya perbuatan kau itu. Manakala mencuba membawa maksud  berusaha utk membuat (memperoleh, melakukan, dll) sesuatu: Aini memberanikan dirinya dan mencuba mengangkat muka serta memandang tepat ke muka lelaki itu.) Dalam konteks ayat puan, tidak ada unsur suruhan atau mengajak tetapi lebih menyatakan usaha mereka untuk mencuba melupakan masalah mereka (dengan rela hati/proses).

Tatabahasa12.04.2009
Adakah betul untuk menggunakkan ungkapan capai hati? Terima kasihUngkapan capai hati tidak terdapat dalam data kami.

Dalam Kamus Dewan, capai bermaksud ; mencapai 1. hendak memegang atau mengambil (dengan menghulurkan tangan dll); 2. bertemu dengan, sampai ke: Jerman berusaha menghalang bahan-bahan perbekalan dan alat-alat perang ~ Army ke-5; ia bernasib baik dapat meneruskan pelajarannya sehingga ~ tingkatan lima; 3. mendekati, me­mikat (hati dll): dengan bahasa Belanda, kami tidak lekas ~ jiwa manusia yang bersahaja itu, tetapi dengan bahasa Melayu lancar sekali; 4. menjayakan (harapan, rancangan, tujuan, dll), menghasilkan, menjadikan kenyataan (se­suatu matlamat dll): ia terpaksa memberanikan hatinya untuk ~ cita-cita itu; 5. mendapat (memperoleh, menghasilkan) sesuatu me­nerusi usaha: bagi ~ pengeluaran yang sebanyak itu, kita harus melipatgandakan bilangan buruh.
Tatabahasa16.09.2013
Selamat malam, saya ada beberapa soalan nak kemukakan. Soalan 1: Kedua-dua orang peluncur itu dikatakan hilang selepas_______ dalam runtuhan salji. Apakah jawaban yang sesuai digunakan dalam ayat tersebut? terkambus atau tertimbus? Soalan 2 Hasrat Ali untuk meneruskan pengajian ke luar negara tidak kesampaian kerana keputusan peperiksaan kurang memberangsangkan. Adakah perkataan "memberangsangkan" sesuai digunakan dalam ayat tersebut. Soalan 3: Adakah frasa "menjatuhi penjenayah itu hukuman penjara" betul? Menurut Kamus Dewan, maksud "menjalani" ialah jatuh mengenai sesuatu. Jadi. adakah penggunaan frasa itu betul? Soalan 4 Semasa berada di tempat orang, jagalah ________ kamu. Jawaban "tataetika" atau "tataadab" lebih sesuai digunakan? Sekian, terima kasih.

1) Kedua-dua orang peluncur itu dikatakan hilang selepas_______ dalam runtuhan salji. Dalam Kamus Dewan, terkambus sama makna dengan tertimbus, kedua-duanya boleh menjadi jawapan kepada soalan tersebut.

2) Memberangsangkan bermaksud;  1. membangkitkan keberanian, memberanikan; dan 2. membangkitkan kemarahan. Oleh itu, perkataan memerangsangkan tidak sesuai digunakan dalam ayat tersebut.

3) Adakah frasa "menjatuhi penjenayah itu hukuman penjara "betul? - menjatuhi dalam ayat ini boleh digunakan. Menjatuhi bermaksud  menyebabkan seseorang atau sesuatu ditimpa oleh sesuatu yang lain.

4) Semasa berada di tempat orang, jagalah ________ kamu. Kata tataetika dan tataadab boleh menjadi jawapan soalan tersebut kerana kedua-duanya bermaksud budi bahasa.

Tatabahasa19.11.2010

Kembali ke atas