| Contoh ayat: Dalam forum itu, ahli panel memfokuskan kepada isu-isu pemartabatan bahasa kebangsaan. Saya dan rakan-rakan biasa menggunakan ayat seperti ini. Mohon penjelasan pihak tuan sama ada ayat ini mengandungi kesilapan bahasa ataupun tidak. Terima kasih. | Ayat yang betul ialah: "Dalam forum itu, ahli panel memfokuskan isu-isu pemartabatan bahasa kebangsaan." memfokuskan bermaksud memberi tumpuan kepada. | Tatabahasa | 25.11.2009 |
| Apakah istilah Melayu bagi kata "internship"? Kita maklum bahawa "praktikum" istilah Melayu bagi "practicum", iaitu latihan mengajar selama beberapa bulan di sekolah. "Praktikum" tidak mungkin disamakan dengan "internship" dalam konteks pendidikan. "Praktikum" memfokuskan pengaplikasian kaedah pengajaran dan segala teori pendidikan yang dipelajari di sekolah, manakala "internship" pula memfokuskan pengumpulan data di sekolah untuk penullisan tesis. Oleh itu, apakah istilah Melayu padanan yang paling tepat untuk kata "internship" berdasarkan buku peristilahan DBP? | Dalam data rujukan kami, belum ada lagi padanan bahasa Melayu bagi perkataan internship. Walau bagaimanapun, kami akan mencadangkan beberapa padanan bahasa Melayu bagi istilah tersebut yang mungkin bersesuaian dengan konteks dan konsep penggunaan tuan, antaranya ialah latihan amali, latihan dalaman atau latihan praktikal.
| Istilah | 28.12.2020 |
| ejaan sebenar ialah menfokuskan atau mengfokuskan | Ejaan yang betul ialah memfokuskan | Ejaan | 01.08.2016 |
| Apakah maksud " seorang itu memilih segmen yang menjanjikan keuntungan"? Contoh ayat: Pemasar memilih segmen yang menjanjikan keuntungan dan memfokuskan usaha pemasaran bagi memenuhi keperluan dan kehendak pengguna segmen. | Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, maksud "segmen" ialah "bahagian atau penggal." Contoh segmen yang dimaksudkan di sini seperti segmen radio, berita dan sebagainya yang memberikan keuntungan apabila melakukan pemasaran yang dikehendaki. | Makna | 21.12.2021 |
| Yang Berbahagia Tuan/Puan, Saya ingin memohon jasa baik pihak Dewan Bahasa dan Pustaka untuk mendapatkan maklumat serta rujukan berkaitan perumpamaan Bahasa Melayu, khususnya yang merangkumi definisi, senarai perumpamaan, maksud serta contoh penggunaannya dalam ayat. Maklumat ini akan digunakan bagi tujuan penyelidikan peringkat Sarjana (Master) dalam bidang Visual Communication and New Media, yang memfokuskan kepada penggunaan elemen bahasa dan kiasan dalam medium visual dan digital. Saya berharap agar maklumat yang diperoleh dapat membantu saya memastikan penggunaan perumpamaan yang tepat, sahih serta selaras dengan piawaian bahasa yang ditetapkan oleh pihak DBP. Sekiranya terdapat: - Senarai rasmi perumpamaan, - Bahan rujukan digital atau bercetak, - Laman web, buku, atau modul yang boleh dirujuk, Saya amat berbesar hati sekiranya pihak tuan/puan dapat memaklumkan kepada saya. Segala bantuan dan perhatian daripada pihak tuan/puan amat saya hargai dan didahului dengan ucapan terima kasih. Sekian, terima kasih. Yang benar, Ku Amiry Zuhair | 1. Salam tuan yang budiman, Terima kasih atas kesudian tuan menghubungi kami. Bagi permohonan ini, surat rasmi bolehlah di-e-melkan atau dihantar kepada: Ketua Pengarah, Dewan Bahasa dan Pustaka, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur. Maklumat PA: Puan Noorazlina binti Sakri No. Telefon: 03-21479011 E-mel: dina@dbp.gov.my (PA) | Lain-lain | 29.12.2025 |
| Retorik merupakan penggunaan atau keupayaan menggunakan bahasa secara efektif. Kajian retorik merupakan satu kajian subliguistik dalam bahasa melayu. Soalan, berapa banyak teori retorik yang ada? yang saya ketahui dua, teori retorik klasik aristotle dan teori retorik moden enos dan brown? boleh terangkan teori retorik yang lain? terima kasih. | Teori-teori retorik melibatkan pelbagai pendekatan untuk memahami cara komunikasi digunakan untuk mempengaruhi pendengar. Teori klasik seperti yang dibincangkan oleh Aristotle memfokuskan tiga elemen utama: ethos (kredibiliti pembicara), pathos (emosi pendengar), dan logos (logik hujah). Teori retorik yang diperkenalkan oleh Chaim Perelman, menekankan pembentukan konsensus antara pembicara dan pendengar. Kenneth Burke, melalui konsep "identifikasi," melihat retorik sebagai cara untuk membentuk hubungan sosial dan identiti. Selain itu, teori kritikal mengkaji bagaimana retorik digunakan dalam konteks sosial seperti ras dan agama. Untuk bacaan lanjut, buku-buku berikut boleh dijadikan rujukan: - Rhetoric oleh Aristotle – asas teori retorik klasik.
- The New Rhetoric: A Treatise on Argumentation - Chaim Perelman & Lucie Olbrechts-Tyteca – teori argumentasi moden.
- A Rhetoric of Motives oleh Kenneth Burke – identifikasi dalam retorik.
- Rhetoric in Popular Culture oleh Barry Brummett – aplikasi retorik dalam media dan budaya popular.
- Rhetorical Criticism: Exploration and Practice oleh Sonja K. Foss – panduan dalam menganalisis wacana dan teks retorik.
Sekian, terima kasih. | Lain-lain | 13.11.2024 |
| Salam sejahtera! Saya dapati bahawa perkataan yang berasal dari Arab diklasikikasikan dengan kependekan Ar., seperti "bismillah" dan "insya-Allah". Pada masa yang sama, kedua perkataan ini tidak mempunyai sebarang kependekan jika merujuk melalui tab kamus pelajar edisi kedua. Bagi perkataan "assalamualaikum" pula, terdapat tab pertama di mana ianya diberikan kependekan Ar, dan tab kedua yang tidak mengandungi apa-apa kependekan. Soalan saya: mengapakah terdapat perbezaan di dalam klasifikasi Ar pada sesetengah perkataan Arab? Saya ada sertakan lampiran sebagai panduan. | Kamus Pelajar tidak meletakkan asal kata pada setiap entrinya. Kamus Pelajar memfokuskan penggunaan kata yang persis untuk rujukan pelajar. Untuk maklumat yang lebih lagi seperti asal kata dan peluasan makna perlulah merujuk Kamus Dewan atau yang terkini Kamus Dewan Perdana (hanya salinan keras disediakan buat masa ini). | Lain-lain | 01.01.2021 |
| Makna perkataan Menguis dan menggali | Makna perkataan Menguis dan Menggali menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, 2005, terbitan DBP. Menguis: 1. Menolak (menepis, menyepak) ke tepi: dikuisnya sampah itu dengan kakinya; 2. mengais (spt. ayam); Menggali: 1. membuat sesuatu dr dlm tanah. dll), mengorek, menambang; ~ kubur (longkang, lubang, dll) membuat kubur (longkang, lubang, dll) dengan menggali tanah; ~ ubi (emas dll) mengeluarkan atau mengambil ubi dll dr dlm tanah; 2. ki menyelidiki, mendalami: mereka merasakan perlunya ~ kembali kekayaan hukum adat nenek moyangnya; menjadi idaman A. Samad Said bukannya untuk memfokuskan mengapa hal-hal itu terjadi, tetapi cuba ~ sikap dan tindakan manusia; ~ lubang menutup lubang prb menebus hutang dgn meminjam wang; nan digali dala,. nan digantung tinggi prb yang sudah dirundingkan matang-matang mendapat persetujuan. | Tatabahasa | 04.04.2014 |
| Adakah perkataan pemuktamadan betul? | Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera, Kata pemuktamadan adalah betul dan tidak menyalahi hukum morfologi bagi pembentukan kata. Kata pemuktamadan bermaksud 'perbuatan memuktamadkan keputusan, cadangan dsb'. Kata ini ada terakam dalam Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020). Antara contoh penggunaan kata ini: 1. ... pemuktamadan perjanjian persahabatan Johor-Belanda yang dipersetujui dalam pertemuan itu terpaksa ditangguhkan. 2. Pemuktamadan data ini penting kerana kerajaan negeri perlu menetapkan jumlah penduduk setinggan di kawasan tersebut. 3. Sesi perbincangan ini telah memfokuskan kepada pemuktama dan Memorandum of Understanding (MoU) antara Kerajaan Malaysia dengan Kerajaan Jepun. Diharapkan jawapan ini dapat membantu anda. Terima kasih. | Ejaan | 20.01.2025 |
| definisi sejarah sastera | Sastera sejarah adalah suatu cabang daripada kesusasteraan Melayu tradisional yang membicarakan sejarah sesebuah kerajaan. Secara umum sastera sejarah sering kali memakai judul permulaan sebagai hikayat, silsilah, salasilah, misa dan tawarikh seperti Hikayat Raja-raja Pasai, Hikayat Acheh, Silsilah Melayu dan Bugis, Misa Melayu dan Tawarikh Salasilah Negeri Kedah. Bentuk sastera sejarah boleh dibahagikan kepada dua, iaitu dalam bentuk prosa dan bentuk puisi. Karya yang berbentuk prosa merupakan sejarah sesebuah kerajaan atau negeri tentang bangun dan jatuhnya sebuah kerajaan itu dengan menyenaraikan susur galur pemerintahnya. Manakala bentuk puisi pula, lazimnya ditulis dalam bentuk syair yang menceritakan sesuatu peristiwa bersejarah yang berlaku dalam sesuatu tempoh waktu tertentu seperti Syair Perang Johor, Syair Kampung Gelam Terbakar, Syair Perang Siak dan sebagainya. Karya sastera sejarah, umumnya terbahagi kepada tiga jenis. Pertama karya sejarah yang meriwayatkan jurai keluarga diraja. Misalnya Sulalatus Salatin yang cukup terkenal dalam kalangan kita. Di dalam Sulalatus Salatin, pengarangnya, Tun Seri Lanang menjurai asal usul keturunan raja Melayu dari awal hingga kejatuhan kerajaan Melayu Melaka. Jenis sastera sejarah yang kedua pula hanya memfokuskan kisah seseorang tokoh seperti dalam Hikayat Acheh yang menceritakan tentang ketokohan Raja Iskandar Muda. Sastera sejarah yang menekankan pada sesuatu peristiwa seperti Syiar Kampung Gelam Terbakar dan Perang Makasar adalah jenis karya sastera yang ketiga. Salah satu ciri yang menyebabkan sastera sejarah tidak dianggap sepenuhnya sejarah kerana ada unsur-unsur mitos dan legenda serta unsur-unsur fiksyen-fantasi yang turut dimuatkan oleh para pengarang sastera sejarah. Unsur-unsur ini dimuat adalah dengan tujuan-tujuan tertentu seperti untuk menambahkan faktor kekaguman rakyat kepada kebesaran sesebuah kerajaan atau jurai keturunannya. | Lain-lain | 06.08.2008 |