| Yang manakah kata yang tepat? Mempengaruhi ataupun memengaruhi. Harap boleh mendapat penjelasan. Sekian, terima kasih. | Penggunaan yang tepat ialah mempengaruhi. Mempengaruhi bermaksud berpengaruh atas, menggunakan pengaruh kepada, atau menguasai. | Lain-lain | 06.09.2021 |
| Puan,bolehkah saya tanya “mempengaruhi konsep kendiri”betul atau “mempengaruhi konsep sendiri”?Bolehkah memberi penjelaskan dan sebab-sebab memilih rangkaian kata itu? | Ayat mempengaruhi konsep kendiri adalah betul bergantung pada konteks dan penggunaanya dalam ayat. Berdasarkan Kamus Dewan Keempat, kendiri bermaksud sendiri; kekendirian keadaan atau sifat kendiri; kediri. Dalam data rujukan kami juga, terdapat istilah konsep kendiri dalam bidang psikologi dan komunikasi. Konsep kendiri dalam bidang psikologi ialah pengamatan individu terhadap trait personaliti diri mereka sendiri. Konsep ini mempunyai semua idea, pengamatan dan perasaan tentang siapa sebenarnya seseorang itu. Contohnya, individu menganggap atau menyatakan bahawa dirinya seorang yang segak, rajin bekerja atau mudah bergaul. Untuk maklumat lanjut, puan boleh merujuk pautan berikut https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=konsep+kendiri | Tatabahasa | 15.07.2021 |
| Lanjutan daripada itu, pihak media massa yang mudah mempengaruhi segenap khalayak turut merupakan pemacu dalam menyebarkan amalan berjimat cermat. Perkataan pihak adakah boleh dikekalkan dan frasa seperti mudah mempengaruhi segenap khalayak adakah boleh digunakan? | Ayat yang betul ialah: Lanjutan itu, pihak media massa yang mudah mempengaruhi semua khalayak turut menjadi pemacu dalam menyebarkan amalan berjimat cermat. Frasa pihak media massa boleh digunakan dalam ayat di atas. Frasa mudah mempengaruhi segenap khalayak lebih sesuai digantikan dengan mudah mempengaruhi semua khalayak. | Tatabahasa | 19.06.2026 |
| Salam. Saya sedang berbengkel untuk buku teks Sains. Dalam perbincangan berkaitan "Faktor yang Mempengaruhi Bentuk Bayang-bayang". Selama ini, kita hanya diberitahu faktor yang mempengaruhi bentuk bayang-bayang ialah kedudukan objek dan saiz objek. Malangnya, dalam perbincangan ini, timbul satu isu berhubung faktor lain yang mempengaruhi bentuk bayang-bayang iaitu ORIENTASI objek. ORIENTASI yang dimaksudkan di sini ialah keadaan/kedudukan objek (botol) yang disengetkan, terbalik, terbaring dll. Adakah terma yang digunakan ini tepat? | Dalam Kamus Dewan, kedudukan bermaksud keadaan yang sebenar, dan keadaan ialah hal atau kedudukan pada sesuatu ketika. Pada pandangan kami senget atau terbalik masih boleh diklasifikasikan dalam kedudukan sesuatu objek, melainkan ada dapatan lain/baharu yang menyatakan sebaliknya. Dalam hal ini, ada baiknya dapatan yang ditemukan (jika persis) dibincangkan dengan Bahagian Peristilahan dan Leksikologi. | Tatabahasa | 19.01.2014 |
| Yang manakah kata yang tepat? Mempengaruhi ataupun memengaruhi. Harap boleh mendapat penjelasan. Sekian, terima kasih. | Kata terbitan yang betul ialah mempengaruhi, kata dasar pengaruh menerima apitan meN-...-i, sama seperti mempelopori dan mempercayai. | Tatabahasa | 06.09.2021 |
| Selamat Pagi, Dimohon khidmat nasihat untuk tajuk draf penulisan saya yang bertajuk : "Faktor Yang Mempengaruhi Pelajar Dari Menghadiri Kuliah Tepat Pada Masanya di Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Politeknik Seberang Perai, Malaysia" Sekian, terima kasih, Penulis. | Tajuk ini boleh dibaiki seperti dua cadangan yang berikut: (1) Faktor yang Mempengaruhi Pelajar Menghadiri Kuliah Tepat pada Masanya di Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Politeknik Seberang Perai, Malaysia. (2) Faktor yang Mempengaruhi Pelajar Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Politeknik Seberang Perai, Malaysia Menghadiri KuliahTepat pada Masanya. | Tatabahasa | 02.06.2014 |
| bagaimanakah bahasa asing mempengaruhi perkembagan bahasa melayu, khususnya di sekolah-sekolah di malaysia? | Bahasa Melayu seperti bahasa moden yang lain tidak terlepas menerima pengaruh daripada bahasa-bahasa lain. Bahasa Melayu dututurkan oleh ratusan juta manusia daripada pelbagai etnik dan bangsa sudah pasti pesat berkembang dan dalam proses tersebut sedikit sebanyak turut dipengaruhi oleh bahasa-bahasa lain. Soalan saudara sebenarnya terlalu luas untuk dibincangkan dalam wahana yang sebegini dan memerlukan kajian dan pembacaan yang banyak. Oleh itu, kami sarankan saudara merujuk makalah atau buku yang berkaitan dengan tajuk tersebut. | Lain-lain | 28.11.2009 |
| Mengapakah keadaan ini boleh mempengaruhi jenis produk yang boleh diimport atau dieksport ke sesebuah negara? | Mohon berikan persoalan tentang bahasa Melayu agar pihak kami dapat memberikan jawapan yang diperlukan. | Lain-lain | 20.11.2021 |
| Apakah faktor-faktor yang mempengaruhi masalah ejaan Bahasa Melayu di kalangan pelajar? | Pada dasarnya, Khidmat Nasihat DBP (KNDBP) membantu pengguna menyelesaikan pelbagai masalah penggunaan bahasa Melayu seperti ejaan Rumi dan Jawi, perkataan dan istilah serta penyemakan bahasa. KNDBP juga turut melayan pertanyaan yang berkaitan dengan aktiviti sastera, penerbitan dan korporat. Walau bagaimanapun, terdapat juga sebilangan besar pelajar daripada IPT menghantar soalan yang berbentuk tugasan untuk dijawab oleh petugas KNDBP. Untuk makluman sdr. soalan yang berbentuk tugasan di luar skop perkhidmatan ini. Bagi membantu saudara menyelesaikan tugasan ini, saudara boleh datang ke Pusat Dokumentasi Melayu, DBP atau mana-mana perpustakaan yang berhampiran untuk mencari bahan kajian dan rujukan. | Lain-lain | 17.04.2013 |
| Adakah kesalahan dalam perenggan ini? Kesimpulannya,terdapat banyak faktor yang mendorong remaja terjebak dalam isu buli.Faktor-faktor ini mudah mempengaruhi remaja untuk melakukan perkara negatif ini.Oleh itu,ibu bapa perlu sentiasa mengawasi gerak-beri anak mereka supaya mereka tidak terlibat dalam kes buli.Selain ibu bapa,pihak lain seperti kerajaan dan badan bukan kerajaan(NGO) juga perlu melibatkan diri dalam usaha membanteras kes buli. | Kesimpulannya, terdapat banyak faktor yang mendorong remaja terjebak dalam isu buli. Faktor-faktor ini mudah mempengaruhi remaja untuk melakukan perkara negatif ini. Oleh itu, ibu bapa perlu sentiasa mengawasi gerak-geri anak mereka supaya mereka tidak terlibat dalam kes buli. Selain ibu bapa, pihak lain seperti kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) juga perlu melibatkan diri dalam usaha membanteras kes buli. Untuk makluman tuan, kami tidak menyediakan perkhidmatan menyemak dokumen (walau dihantar satu demi satu). Pada masa akan datang, sila rujuk Kamus Dewan (boleh dilayari melalui laman www.prpm.dbp.gov.my), buku rujukan Bahasa Melayu dan Tatabahasa Dewan.
| Tatabahasa | 28.09.2015 |