salam tuan kenapa kata adjektif tidak boleh menggunakan imbuhan memper...kan apa rasionalnya. | Hal ini telah ditetapkan dalam buku Tatabahasa Dewan. Oleh itu, kita menerima pakai panduan dalam buku tersebut. Lihat buku Tatabahasa Dewan, halaman 210 Awalan memper-... digunakan dengan kata adjektif untuk membawa maksud menjadikan lebih atau bertambah seperti memperbesar. Dalam hubungan ini, penggunaan bentuk kata adjektif dengan apitan memper-...-kan seperti memperbesarkan dianggap tidak tepat. | Tatabahasa | 02.03.2012 |
Di sini, saya nak tanya tentang tatabahasa. 1. kuatkuasa-----kuat kuasa penguatkuasa-----penguat kuasa penguatkuasaan-----penguat kuasaan 2. pemuda-pemuda-----pemuda-pemudi 3. pusat beli-belah-----pusat-pusat beli-belah pusat membeli-belah-----pusat-pusat membeli-belah 4. sementelahan sementelahan itu 5. justeru, justeru itu, 6. ....kita akan dapat..... .... akan kita dapat..... 7.....saya akan mendapat.... .......akan saya mendapat.... .......saya akan dapat.... .....akan saya dapat..... ....saya perlu..... .....perlu saya...... 8. anti dadah antidadah Kelab Anti Dadah Kelab Antidadah Kelab AntiDadah Kelab Anti-Dadah Kelab Anti-dadah Kelab anti-dadah Kelab anti-Dadah Kelab anti dadah Program Anti Dadah Program Antidadah Program AntiDadah Program Anti-Dadah Program Anti-dadah Program anti-dadah Program anti-Dadah Program anti dadah Kempen Antidadah Kempen anti-Dadah ...*.dan sebagainya......... 9. kita haruslah.... kita seharuslah.... kita seharusnya..... seharusnya kita........ harus kita........ haruslah kita.......... 10. keistimewaan alam semulajadi keistimewaan alam semula jadi 11. mempertingkatkan mempertingkat 12. memperbaiki memperbaik 13. perkataan yang bersifat "memper...kan" , "memper...", "memper....i". | 1. Kuat kuasa, penguat kuasa, pegawai penguat kuasa, penguatkuasaan. 2. Pemuda, pemudi serta pemuda dan pemudi. 3. Pusat beli-belah, pusat-pusat beli-belah. 4. Sementelah dan sementelahan. 5. Justeru. 6. ... kita akan dapat ... 7. ... saya akan mendapat ... dan ... saya perlu ... 8. Antidadah, Kelab Antidadah, Program Antidadah, Kempen Antidadah 9. Kita haruslah dan kita seharusnya 10. Keistimewaan alam semula jadi 11. Mempertingkatkan 12. Memperbaik 13. Apitan memper...kan digunakan juga dengan kata kerja dan kata nama Apitan memper...kan dengan kata kerja membawa maksud menyebabkan orang lain melakukan perbuatan yang terkandung dalam maksud kata kerja. Apitan memper...kan dengan kata nama membawa maksud kuasatif. Untuk maklumat lanjut sila rujuk Tatabahasa Dewan, halaman 208. Apitan memper-...-i tidak begitu produktif dan kata-kata yang dapat bergabung dengan apitan ini tidak banyak, seperti`memperingati`, `memperkawani`, `memperisteri`dan `mempersuami`. Kata dasar lain boleh bergabung dengan apitan memper-...-i jika ada keperluan untuk menyatakan makna khusus bagi sesuatu perbuatan kata kerja, yang sebelum ini tidak terungkap dalam bahasa Melayu. Lihat Tatabahasa Dewan, halaman 211. Awalan memper- biasa juga dirujuk sebagai awalan per-. Lihat Tatabahasa Dewan, halaman 177. | Tatabahasa | 29.10.2012 |
Hi, saya sentiasa mengelirukan penggunaan imbuhan. Bila nak guna akhiran kan, i dan bila guna memper...kan atau tidak ada kan. Bila tidak perlu guna imbuhan? Terima Kasih. | 1) Imbuhan akhiran –kan merupakan akhiran yang membentuk kata kerja dalam bahasa Melayu. Semua golongan kata utama, iaitu kata nama, kata kerja, kata adjektif, dan beberapa jenis kata tugas boleh bergabung dengan akhiran –kan untuk membentuk kata kerja. Contohnya, i. kata nama - bukukan, pasarkan, dirikan; ii. kata kerja transitif - bacakan, belikan, masakkan; iii. kata kerja tak transitif - lahirkan, tidurkan, terbangkan; iv. kata adjektif - panjangkan, besarkan; v. kata tugas - sudahkan, sertakan. Akhiran –kan boleh juga hadir dalam ayat dengan beberapa imbuhan lain, iaitu meN-...-kan, beR-...-kan, mempeR-...-kan, di-...-kan, dan dipeR-...-kan. Contohnya: berbantalkan, dipertingkatkan. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2015), halaman 183-186. 2) Imbuhan akhiran –i membentuk kata kerja transitif. Terdapat dua pengertian khusus penggunaan akhiran –i, iaitu: (i) memberi pengertian kausatif atau menyebabkan sesuatu jadi: baik – baiki (menyebabkan sesuatu jadi baik), sudah - sudahi. (ii) memberi pengertian lokatif, iaitu menyatakan unsur tempat: turuni lurah – turun ke lurah. Sila rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2015), halaman 186-190. 3) Apitan memper-...-kan boleh bergabung dengan kata nama dan kata kerja untuk membentuk kata kerja. Contohnya: memperisterikan, memperbudakkan, mempersendakan, memperdengarkan, memperlihatkan, mempertunjukkan. 4) Walau bagaimanapun apitan memper-...-kan tidak boleh bergabung dengan kata adjektif, sebaliknya awalan memper- digunakan dengan kata adjektif untuk membawa maksud menjadikan lebih atau bertambah. Contohnya: besar – memperbesar (menjadi lebih besar atau bertambah besar) dan indah – memperindah (menjadikan bertambah indah).Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2015), halaman 208-211. | Tatabahasa | 08.06.2024 |
Bilakah penggunaan imbuhan diper...kan dan memper...kan? Apakah kata-kata yang boleh menngunakan kedua-dua imbuhan ini dan mengapa? Antara berikut, yang manakah betul? a. kata-kata aluan b. kata alu-aluan? | Apitan diper...kan boleh digunakan untuk golongan kata nama atau kata kerja, dan akan membentuk kata kerja; contohnya, isteri - diperisterikan, dengar - diperdengarkan. Begitu juga dengan apitan memper...kan, golongan kata nama dan kata kerja boleh bergabung dengan apitan memper...kan untuk membentuk kata kerja, contohnya jodoh - memperjodohkan, lihat - memperlihatkan. Yang betul ialah kata alu-aluan. | Tatabahasa | 10.09.2008 |
Perkataan belajar boleh menghasilkan kata terbitan pembelajaran dan pemelajaran. Boleh jelaskan cara kedua-dua kata itu terbentuk. | Masih banyak pengguna yang keliru tentang perkataan yang berapitan peN-..-an, terutamanya pembelajaran dan pemelajaran. Kedua-dua perkataan itu betul. Mari kita lihat pembentukan perkataan tersebut seperti yang di bawah ini:
Satu--> bersatu--> mempersatukan --> pemersatuan Oleh-> beroleh -> memperoleh ---> pemerolehan Badan--> berbadan-->memperbadankan---> pemerbadanan Ajar---> belajar--> mempelajari---> pemelajaran
Dengan berdasarkan rumus tersebut di atas, pemelajaran bermaksud aktiviti mempelajari. (Transitif)
Sekarang, marilah kita lihat pembentukan perkataan pembelajaran pula dengan mengambil contoh pembentukan perkataan lain terlebih dahulu:
Jadi --> menjadi --> kemenjadian Atur--> teratur-->keteraturan Tanggungjawab -->bertanggungjawab--> kebertanggungjawaban Ajar-->belajar-->pembelajaran
Dengan berdasarkan rumus tersebut, perkataan pembelajaran bermaksud aktivti belajar (tak transitif)
Kesimpulannya, kedua-dua perkataan tersebut betul. Oleh itu, terpulanglah kepada pengguna untuk menggunakan perkataan tersebut. | Tatabahasa | 07.12.2008 |
Mohon pihak tuan untuk membetulkan ayat di bawah: i) Mesyuarat dimaklumkan slip gaji diperlukan bagi mempercepatkan dan memudahkan proses pembayaran tuntutan ii) Mesyuarat mencadangkan supaya kehadiran anggota ke perjumpaan tersebut digiliri. iii) Lagu tersebut telah dipersembahkan oleh Cik Munira atau Cik Munira telah mempersembahkan sebuah lagu di majlis tersebut Pohon pihak tuan supaya dapat menerangkan struktur ayat 'di.....i' dan 'di......kan', 'me/meng/mem....i' dan ' me/mem/meng....kan' kerana terdapat kekeliruan dalam penggunaan kata imbuhan tersebut. Sekian, terima kasih. | i) Mesyuarat dimaklumkan bahawa slip gaji diperlukan bagi mempercepat dan memudahkan proses pembayaran tuntutan. Kata adjektif cepat apabila menerima imbuhan memper... menjadi mempercepat bukan mempercepatkan. ii) Mesyuarat mencadangkan supaya kehadiran anggota ke perjumpaan tersebut dilakukan secara bergilir. iii) Lagu tersebut telah dipersembahkan oleh Cik Munira atau Cik Munira telah mempersembahkan sebuah lagu di majlis tersebut. Kedua-dua ayat terebut betul. Fungsi apitan meN-...i -kan dengan meN-...-i terbahagi tiga: (1) Fungsi apitan meN-...-kan untuk menandakan kausatif, manakala apitan meN-...-i menandakan lokatif, contohnya; a. Pak Osman menghadiahkan basikal kepada Ahmad. b. Pak Osman menghadiahi Ahmad sebuah basikal. (2) Bagi kata tertentu, perbezaan penggunaan apiatan meN-...-i adalah dari segi objek tepat yang boleh mengikutinya, iaitu apitan meN-...-kan lazimnya menerima objek tidak bernyawa dan apitan meN-...-i menerima objek bernyawa. Contohnya; a. Ali memberi kucing makanan. b. Ali memberikan makanan kepada kucing. Perkataan memberi dalam ayat (b) sebenarnya terdiri daripada kata dasar beri yang menerima apitan meN-...-i, tetapi telah digugurkan. (3) Bagi sebilangan kecil kata kerja yang menerima apitan meN-...--kan dan meN-...-i, penggunaannya saling berganti tanpa membezakan makna. Contohnya; a. Ali membaiki kereta yang rosak itu. b. Ali membaikkan kereta yang rosak itu. Untuk maklumat lanjut, lihat buku Tatabahasa Dewan, halaman 207. 1. Apitan di-…i ialah bentuk pasif bagi meN-…-i . Contoh: kata kerja aktif mendapati, kata kerja pasifnya didapati. Apitan mempeR-…-i tidak begitu produktif. Kata-kata yang bergabung dengan apitan ini tidak banyak. Setakat ini hanya empat perkataan yang terbentuk dengan apitan ini iaitu memperingati, memperkawani, mempersuami(i), memperisteri(i). Berlaku pengguguran huruf i pada perkataan mempersuami dan memperisteri. Bentuk lazim memperolehi sebenarnya bentuk terbitan yang lewah, untuk membawa pengertian yang lazimnya dikaitkan dengan perkataan di atas. Memperolehi seharusnya menerima awalan memper-. Oleh itu memperolehi seharusnya memperoleh. Sebagaimana hal yang berlaku pada memper-...-i, demikian juga pada bentuk apitan dipeR-...-i. Bentuk yang lazim digunakan iaitu diperolehi, sebenarnya merupakan bentuk terbitan yang lewah. Kata dasar bentuk apitan ini seharusnya menerima awalan diper- , yakni diperolehi seharusnya diperoleh. (Rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga hlm. 208, 211 – 217) | Tatabahasa | 21.11.2013 |