Jadi penggunaan memperakui betul ke salah? | Perkataan memperakui boleh digunakan. Dalam Kamus Dewan,memperakui bermaksud mengesahkan.Penggunaan memperakui dan memperakukan berbeza mengikut konteks ayat. | Makna | 08.10.2013 |
Mengapakah perkataan 'memperakui' dianggaplewah sedangkan perkataan 'memperakukan' tidak? | Kedua-duanya betul dan dapat digunakan mengikut konteks makna ayat. Kedua-duanya berlainan makna. Memperakui bermaksud mengesahkan seperti mengesahkan sijil seperti yang asal, mengesahkan sesuatu tindakan yang dibuat betul menurut peraturan yang ditetapkan. Memperakukan bermakna menyokong atau menyetujui seperti ketua jabatan menyokong kenaikan pangkat stafnya dan mengemukakan sesuatu itu sebagai baik seperti memperakukan penggunaan Tatabahasa Dewan kepada pelajar di sekolah antarabangsa. Jadi soal lewah tidak timbul jika penggunaan kedua-dua kata itu tepat menurut kehendak maksud ayat. Wallahualam. | Tatabahasa | 20.03.2016 |
Buku tatabahasa dewan menyatakan bahawa penggunaan perkataan memperakui adalah tidak betul dari sudut tatabahasa, tetapi mengapa perkataan ini wujud dalam kamus dewan? | Memperakui kata terbitan daripada apitanmemper...i dengan kata dasar aku. Bentuk apitan ini wujud hasil daripada perkembangan bahasa, iaitu keperluan menyatakan makna khusus yang sebelum ini tidak terungkap dalam bahasa Melayu. Bentuk apitan ini tidak produktif dan contoh lain seperti memperingati dan memperisteri. | Tatabahasa | 04.10.2013 |
Penggunaan perkataan 'memperakukan' dalam ayat berikut dikira betul? Jika salah, apa perkataan yang lebih relevan? Syarikat itu tidak memperakukan laporan akhbar itu. Pegawai itu memperakukan bahawa salinan sijil itu adalah sah. | Perkataan yang lebih tepat ialah memperakui. Dalam Kamus Dewan Edisi Empat, memperakui bermaksud mengesahkan. Syarikat itu tidak memperakui laporan akhbar itu. Pegawai itu memperakui bahawa salinan sijil itu adalah sah. | Tatabahasa | 01.10.2013 |
mana satu yang betul diperakui atau diperakukan? | Memperakui bermaksud mengesahkan: lantikan tersebut adalah sah dan diperakui oleh undang- undang; Memperakukan bermaksud 1. memberikan sokongan (utk), menyetujui serta menyokong (atau menganjurkan): dia ~ dua hari cuti; 2. mengemukakan (menyarankan dsb) sbg baik (sesuai dsb): ~ beberapa buah buku utk diterjemahkan; Oleh yang demikian kedua-dua perkataan ini betul bergantung pada penggunaannya dalam ayat. | Tatabahasa | 05.05.2009 |
Salam sejahtera.. Sekiranya merujuk kepada kamus, memang jelas bahawa perkataan-perkataan ini wujud dan mempunyai maksud yang tersendiri. Namun malangnya, apabila latihan tatabahasa dikemukakan. lain pula jawapan yang diterima: 1) memperakui - tidak wujud? 2) memperakukan - mengesahkah / certify 3) memperhamba - menjadikan seseorang sebagai hamba 4) memperhambakan - mengabdikan diri sebagai hamba 5) menghambakan (diri) - mengabdikan diri sebagai hamba 6) menghambai (??) - "tidak wujud"?? 7) mempersenjatai - memberikan/membekalkan senjata kepada 8) mempersenjatakan - tidak wujud 9) menghujani - mencurahkan/"bertanya" dengan banyak 10) menghujankan - melepaskan sesuatu Saya dimaklumkan bahawa perkataan "segala" adalah salah manakala perkataan "segala-galanya" adalah betul. Namun bukankah: 1) segala - semua 2) segala-galanya = semua-muanya (????) | 1) Memperakui = mengesahkan 2) Memperakukan = menyetujui serta menyokong 3) Memperhamba = memperlakukan sebagai hamba 4) Memperhambakan = menjadikan diri sendiri atau seseorang lain sebagai hamba kepada 5) Menghambakan (diri) = menjadikan hamba 6) Menghambai = mengabdi (kepada) 7) Mempersenjatai = melengkapi dengan senjata 8) Mempersenjatakan = tidak wujud, perkataan yang betul ialah bersenjatakan 9) Menghujani = 1. mendatangkan (melepaskan) dengan banyak-banyak (peluru dan lain-lain) dan 2. mendatangi sesuatu dengan banyak-banyak 10) Menghujankan = 1. menurunkan hujan pada, membasahkan seseorang atau sesuatu dalam hujan dan 2. (maksud kiasan) menjatuhkan atau melepaskan (bom, soalan, dll) banyak-banyak 11) Segala sama maksudnya dengan semua, sekelian, seluruh dan segenap. | Tatabahasa | 28.09.2012 |
Salam sejahtera tuan/puan, Saya ingin bertanya, saya mempunyai kelulusan ijazah dalam bidang terjemahan, bagaimana cara untuk memperakui (certify) terjemahan yang telah dilakukan untuk klien, terutamanya untuk terjemahan sijil, surat akuan, pengisytiharan dan yang seumpama dengannya? Adakah proses akuan sah ini hanya boleh dilakukan oleh Notari Awam dan Pesuruhjaya Sumpah yang dilantik khas oleh pihak Mahkamah? Jika soalan ini tidak dapat dijawab, siapa yang boleh saya hubungi untuk bertanya dengan lebih lanjut berkenaannya? Terima kasih. | Salam sejahtera, Puan, Sila hubungi Persatuan Penterjemah Malaysia untuk maklumat lebih lanjut. Sekian, terima kasih. | Lain-lain | 04.07.2019 |
Assalam. Manakah yang betul - "Saya AKUI / PERAKUI karya ini adalah hasil kerja saya sendiri" Terima kasih | Ayat yang betul ialah Saya memperakui karya ini adalah hasil kerja saya sendiri. | Tatabahasa | 01.06.2016 |
Salam sejahtera... Saya berasa hairan dan musykil tentang beberapa perkara. Lain yang tertera dalam Kamus Dewan, lain pula yang tertera dalam Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. Yang berikut ialah senarai jawapan yang saya terima daripada pihak DBP 1) Memperakui = mengesahkan 2) Memperakukan = menyetujui serta menyokong 3) Memperhamba = memperlakukan sebagai hamba 4) Memperhambakan = menjadikan diri sendiri atau seseorang lain sebagai hamba kepada 5) Menghambakan (diri) = menjadikan hamba 6) Menghambai = mengabdi (kepada) 7) Mempersenjatai = melengkapi dengan senjata 8) Mempersenjatakan = tidak wujud, perkataan yang betul ialah bersenjatakan 9) Menghujani = 1. mendatangkan (melepaskan) dengan banyak-banyak (peluru dan lain-lain) dan 2. mendatangi sesuatu dengan banyak-banyak 10) Menghujankan = 1. menurunkan hujan pada, membasahkan seseorang atau sesuatu dalam hujan dan 2. (maksud kiasan) menjatuhkan atau melepaskan (bom, soalan, dll) banyak-banyak 11) Segala sama maksudnya dengan semua, sekelian, seluruh dan segenap. Namun sekiranya merujuk kepada Tatabahasa Dewan 1) perkataan memperakui dianggap sebagai salah 2) memperakukan ialah certify = mengesahkan mana satu yang betul? Adakah maksud memperkawani ialah berkawan dengan? Adakah istilah memperkawankan wujud? manakah yang harus saya ikuti? Kamus Dewan ataupun Tatabahasa Dewan? | Pertanyaan saudara akan kami rujuk kepada panel buku Tatabahasa Dewan. Cadangan kami dalam hal pengajaran, silalah merujuk Tatabahasa Dewan dan Kamus Pelajar kerana Kamus Dewan ialah kamus umum yang merakamkan segala bentuk kata yang terdapat dalam kalangan masyarakat. Kamus Dewan penting untuk mengetahui makna kata yang terakam. Jawapan pertanyaan saudara akan di-e-melkan kepada tuan dengan kadar segera. | Tatabahasa | 04.10.2012 |
Selamat Pagi. Saya ingin mendapatkan persetujuan/perakuan dari pihak Dewan Bahasa dan Pustaka bagi Nama Bangunan/Skim Pembangunan. Saya akan berasa sukacitanya sekiranya tuan/puan dapat memberitahu tatacara mendapatkan surat tersebut.Surat ini diwajibkan oleh Jabatan Perancang Bandar, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Terima kasih. | Sila gunakan borang kuning yang diperoleh daripada Jabatan Pelesenan DBKL. Dalam borang tersebut, nyatakan kenapa nama yang dicadangkan tersebut diminta perakuan untuk pengesahan dan DBP akan memberi ulasan dalam ruangan DBP. DBP akan memperakui penamaan yang menggunakan bahasa Melayu yang betul dan baik serta menggambarkan citra Malaysia. | Lain-lain | 21.11.2011 |