mana satu yang betul? 1. 'mempercepat' atau 'mempercepatkan'? 2. 'memperoleh' atau 'memperolehi'? | Yang betul ialah mempercepat dan memperoleh. Kata adjektif cepat apabila menerima imbuhan memper... menjadi mempercepat bukan mempercepatkan. Bagi kata memperoleh 'memper... 'apabila bergabung dengan kata dasar daripada kata tugas untuk membentuk kata kerja membawa makna mendapat sesuatu. | Tatabahasa | 29.05.2007 |
mempercepatkan langkah atau mempercepat langkah? | Kata adjektif cepat apabila menerima imbuhan memper... menjadi mempercepat bukan mempercepatkan. | Tatabahasa | 18.07.2013 |
Kemasukan pendatang asing ke Malaysia boleh mempercepat pembangunan negara, namun secara tidak langsung telah (membawa/mengundang) gejala sosial. Perkataan "membawa/mengundang" sesuai digunakan dalam ayat di atas? Boleh berikan penjelasan?Terima kasih. | Ayat yang betul ialah; Kemasukan pendatang asing ke Malaysia boleh mempercepat pembangunan negara, namun secara tidak langsung telah membawa gejala sosial. - membawa bermaksud mendatangkan, mengakibatkan, menyebabkan. | Tatabahasa | 30.11.2010 |
Makna perkataan PEMANGKIN | Pemangkin bermaksud faktor dan sebagainya yang mempercepat sesuatu tindakan (proses, perubahan dan sebagainya). | Makna | 07.07.2010 |
mohon beri makna dengan kata lain "PEMANGKIN" | Pemangkin ialah faktor atau persekitaran yang mempercepat sesuatu tindakan atau perubahan. | Makna | 12.04.2011 |
kekeliruan tentang penggunaan kata kerja transitif. Perbezaan penggunaan imbuhan awalan dan akhiran -memper.....kan, memper......i dan memper...... .Contoh perkataan mempercepatkan , mempercepat | Kata kerja transitif ialah kata kerja yang mengandungi objek yang terdiri daripada frasa nama untuk melengkapkan maksudnya; contohnya, menendang bola, memukul gendang, menghulurkan tali, membuka pintu, membaca buku. Apitan memper-...-kan boleh bergabung dengan kata nama dan kata kerja untuk membentuk kata kerja. Contohnya: memperisterikan, memperbudakkan, mempersendakan, memperdengarkan, memperlihatkan, mempertunjukkan. Manakala untuk kata adjektif hanya memper-... digunakan. Apitan meN-...-kan lazimnya menerima objek yang tidak bernyawa dan apitan meN-...-i menerima objek yang bernyawa. Apitan memper-...-i tidak begitu produktif dan kata-kata yang dapat bergabung dengan apitan ini tidak banyak, seperti`memperingati`, `memperkawani`, `memperisteri`dan `mempersuami`. | Tatabahasa | 17.07.2013 |
apakah definasi pengusahawanan | Kata terbitan pengusahawanan tidak ada, yang ada ialah keusahawanan bermaksud segala-gala yang berkaitan dengan usahawan atau kegiatan dan kemahiran usahawan: contoh ayat - kita perlu mencari kaedah-kaedah baru guna membantu mempercepat pembangunan pengurusan dan pembangunan keusahawanan di negara ini. | Makna | 06.06.2009 |
nak tanya maksud perkataan berikut 1. merit 2. mangkin 3. malim 4.maya 5.mapan sekian terima kasih | 1. Merit ialah sifat, kualiti, perbuatan, dan sebagainya yang patut layak mendapat kepujian atau penghargaan.2. Mangkin bermaksud faktor yang dapat mempercepat atau menyegerakan berlakunya sesuatu perkembangan. 3. Malim ialah orang yang alim. 4. Maya ialah sesuatu yang kelihatannya ada tetapi sebenarnya tidak ada. 5. Mapan bermaksud tidak berubah-ubah atau sudah diterima umum. | Makna | 13.02.2009 |
Tepat atau tidak ayat di bawah: Jawatankuasa ini bertanggungjawab mengenalpasti beberapa garis panduan untuk diperkenalkan dengan tujuan untuk meningkatkan kecekapan dan mempercepatkan adjudikasi kes-kes pertikaian. | Ayat yang betul : Jawatankuasa ini bertanggungjawab untuk mengenal pasti beberapa garis panduan bagi diperkenalkan dengan tujuan untuk meningkatkan kecekapan dan mempercepat adjudikasi kes-kes pertikaian. | Tatabahasa | 12.05.2008 |
Mohon pihak tuan untuk membetulkan ayat di bawah: i) Mesyuarat dimaklumkan slip gaji diperlukan bagi mempercepatkan dan memudahkan proses pembayaran tuntutan ii) Mesyuarat mencadangkan supaya kehadiran anggota ke perjumpaan tersebut digiliri. iii) Lagu tersebut telah dipersembahkan oleh Cik Munira atau Cik Munira telah mempersembahkan sebuah lagu di majlis tersebut Pohon pihak tuan supaya dapat menerangkan struktur ayat 'di.....i' dan 'di......kan', 'me/meng/mem....i' dan ' me/mem/meng....kan' kerana terdapat kekeliruan dalam penggunaan kata imbuhan tersebut. Sekian, terima kasih. | i) Mesyuarat dimaklumkan bahawa slip gaji diperlukan bagi mempercepat dan memudahkan proses pembayaran tuntutan. Kata adjektif cepat apabila menerima imbuhan memper... menjadi mempercepat bukan mempercepatkan. ii) Mesyuarat mencadangkan supaya kehadiran anggota ke perjumpaan tersebut dilakukan secara bergilir. iii) Lagu tersebut telah dipersembahkan oleh Cik Munira atau Cik Munira telah mempersembahkan sebuah lagu di majlis tersebut. Kedua-dua ayat terebut betul. Fungsi apitan meN-...i -kan dengan meN-...-i terbahagi tiga: (1) Fungsi apitan meN-...-kan untuk menandakan kausatif, manakala apitan meN-...-i menandakan lokatif, contohnya; a. Pak Osman menghadiahkan basikal kepada Ahmad. b. Pak Osman menghadiahi Ahmad sebuah basikal. (2) Bagi kata tertentu, perbezaan penggunaan apiatan meN-...-i adalah dari segi objek tepat yang boleh mengikutinya, iaitu apitan meN-...-kan lazimnya menerima objek tidak bernyawa dan apitan meN-...-i menerima objek bernyawa. Contohnya; a. Ali memberi kucing makanan. b. Ali memberikan makanan kepada kucing. Perkataan memberi dalam ayat (b) sebenarnya terdiri daripada kata dasar beri yang menerima apitan meN-...-i, tetapi telah digugurkan. (3) Bagi sebilangan kecil kata kerja yang menerima apitan meN-...--kan dan meN-...-i, penggunaannya saling berganti tanpa membezakan makna. Contohnya; a. Ali membaiki kereta yang rosak itu. b. Ali membaikkan kereta yang rosak itu. Untuk maklumat lanjut, lihat buku Tatabahasa Dewan, halaman 207. 1. Apitan di-…i ialah bentuk pasif bagi meN-…-i . Contoh: kata kerja aktif mendapati, kata kerja pasifnya didapati. Apitan mempeR-…-i tidak begitu produktif. Kata-kata yang bergabung dengan apitan ini tidak banyak. Setakat ini hanya empat perkataan yang terbentuk dengan apitan ini iaitu memperingati, memperkawani, mempersuami(i), memperisteri(i). Berlaku pengguguran huruf i pada perkataan mempersuami dan memperisteri. Bentuk lazim memperolehi sebenarnya bentuk terbitan yang lewah, untuk membawa pengertian yang lazimnya dikaitkan dengan perkataan di atas. Memperolehi seharusnya menerima awalan memper-. Oleh itu memperolehi seharusnya memperoleh. Sebagaimana hal yang berlaku pada memper-...-i, demikian juga pada bentuk apitan dipeR-...-i. Bentuk yang lazim digunakan iaitu diperolehi, sebenarnya merupakan bentuk terbitan yang lewah. Kata dasar bentuk apitan ini seharusnya menerima awalan diper- , yakni diperolehi seharusnya diperoleh. (Rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga hlm. 208, 211 – 217) | Tatabahasa | 21.11.2013 |