Mohon penjelasan tentang penggunaan "mempererat"/"mempereratkan" kerana maklumat drp pihak Khidmat Nasihat Bahasa sebelum ini bercanggah. | Penggunaan yang betul ialah mempererat. Pihak kami akan mengemas kini data dalam KNB. | Tatabahasa | 11.06.2019 |
Sesuaikah ayat ini : Mempereratkan hubungan di antara kakitangan dengan orang ramai menerusi amalan kualiti. | Salam sejahtera, Tuan, Ayat yang betul ialah: 1. Mempererat hubungan di antara kakitangan dengan orang ramai menerusi amalan kualiti. 2. Mengeratkan hubungan di antara kakitangan dengan orang ramai menerusi amalan kualiti. Sekian, terima kasih. | Tatabahasa | 20.09.2017 |
1) Dalam Kamus Dewan dinyatakan bahawa sebutan 'erat' menggunakan e pepet. Namun, mengapakah komuniti masih menggunakan e taling untuk sebutan erat itu ? Justeru, adakah kita perlu mengikut Kamus Dewan ataupun kebiasaan dalam komuniti? Contoh: Bersukan mampu mempererat hubungan antara satu sama lain. 2) Apakah perbezaan antara 'bersama' dengan 'bersama-sama' ? | 1. Walaupun perkataan ini tidak tergolong dalam homonim (seperti sepak dan sepak), masyarakat wajar menyebutnya seperti dalam pedoman/kamus. 2. Bersama membawa pelbagai maksud, antaranya ialah bergandingan dengan, serentak dengan ataupun bersama-sama. Dalam hal ini bersama membawa banyak makna tetapi bersama-sama hanya bermaksud bergandingan dengan. | Tatabahasa | 01.04.2010 |
1. "Pasukan polis dan pasukan bomba berkawad.","Pasukan polis dan bomba berkawad". Ayat manakah yang betul? 2. "Azman hendak ke kedai tetapi Azman tiada teman.","Azman hendak ke kedai tetapi tiada teman." Ayat manakah yang betul? 3. "Jangan kamu kesali akan kejadian itu.","Jangan kamu menyesal akan kejadian itu." Ayat manakah yang betul? Sila berikan sebab dan contoh ayat(kesali/menyesal). Terima kasih. 4. "Kata-kata nasihat itu akan saya renungi.","kata-kata nasihat itu akan saya renungkan." Ayat manakah yang betul? Sila berikan sebab dan contoh ayat (renungi/renungkan). 5. "Jangan kamu cuba mengaburi mata saya dengan wang ringgit.", "Jangan kamu cuba mengaburkan mata saya dengan wang ringgit." Ayat manakah yang betul? Sila berikan sebab dan contoh ayat (mengaburi/mengaburkan). 6. "Matlamat pertandingan itu adalah untuk mengeratkan hubungan.", "Matlamat pertandingan itu adalah untuk mempererat hubungan." Ayat manakah yang betul? Sila berikan sebab dan contoh ayat (mengeratkan/mempererat). Terima kasih. | 1. Pasukan polis dan bomba berkawad. 2. Azman hendak ke kedai tetapi tiada teman. 3. Jangan kamu kesali akan kejadian itu. Ayat pasif bagi orang kedua menggunakan akhiran -i. 4. Kata-kata nasihat itu akan saya renungi. Ayat pasif bagi orang pertama menggunakan akhiran -i. 5. Jangan kamu cuba mengaburi mata saya dengan wang ringgit. Mengaburi bermaksud menjadi kabur dan mengaburkan bermaksud menyebabkan menjadi kabur. 6. Matlamat pertandingan itu adalah untuk mengeratkan/mempereratkan hubungan. Mengeratkan dan mempereratkan boleh digunakan dalam konteks ayat tersebut. Sila rujuk kamus untuk melihat contoh penggunaan kata tersebut dalam ayat dan rujuk buku Tatabahasa Dewan untuk membina ayat dengan imbuhan yang betul. | Tatabahasa | 05.11.2014 |