Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[mem.per.hé.bat] | ممڤرهيبت

Definisi : menjadikan lebih hebat (ba­nyak, besar, dll), menambah supaya jadi lebih hebat (banyak, besar, dll): polis telah ~ usaha utk meng­hancurkan kongsi-kongsi gelap; (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[mem.per.hé.bat] | ممڤرهيبت

Definisi : menjadikan lebih hebat: Polis sedang ~ kegiatan mencari perompak-perompak itu. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Tesaurus
 
hebat (adjektif)
1. Bersinonim dengan unggul: agung, handal, ternama, terkenal, termasyhur, terbilang, gah,

2. Rujuk hangat 3

Kata Terbitan : menghebat, menghebatkan, memperhebat, hebat-hebatan, kehebatan,


Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
Puan, Apakah perbezaan antara " memperhebat" dengan " menghebatkan"? Tolong berikan ayat contoh. Terima kasih.Menghebatkan: menjadikan hebat (kuat, besar dll): Pekerja-pekerja telah menghebatkan usaha mereka utk menyiapkan projek yg besar itu. Memperhebat: menjadikan lebih hebat: Polis sedang memperhebat kegiatan mencari perompak-perompak itu.Makna06.03.2013
Pihak polis akan memperhebat / memperbanyak kempen keselamatn jalan raya pada musim perayaan. Penggunaan perkataan manakah yang paling sesuai, memperhebat atau memperbanyak?kedua-dua jawapan adalah betulTatabahasa16.09.2012
1) Apakah perbezaan memperhebat dan memperhebatkan?Dalam konteks ayat di bawah, apakah perkataan yang sesuai digunakan dan mengapa? -Pasukan SK Ali __________ latihan bola sepak bagi menghadapi pertandingan tersebut. 2)Apakah perbezaan memperoleh dan memperolehi? Dalam konteks ayat di bawah, apakah perkataan yang sesuai digunakan dan mengapa? Dina _______________kejayaan cemerlang dalam peperiksaan UPSR tahun lepas kerana usahanya yang gigih.1. Pasukan SK Ali memperhebat latihan bola sepak bagi menghadapi pertandingan tersebut.
2. Dina memperoleh kejayaan cemerlang dalam peperiksaan UPSR tahun lepas kerana usahanya yang gigih.
Perkataan yang betul ialah memperhebat dan memperoleh, tidak ada perkataan memperhebatkan dan memperolehi dalam bahasa Melayu.
Tatabahasa16.08.2012
Salam Ramadan, 1. Apakah golongan kata bagi: a) atas? b) di atas? 2. Dalam buku Tatabahasa Dewan, kata 'atas' merujuk kepada kata arah sedangkan ada Munsyi Dewan yang mengatakan bahawa 'atas' ialah KATA SENDI NAMA manakala frasa 'di atas' ialah KATA ARAH. Apakah pendapat tuan dalam hal ini? 3. Apakah penjodoh bilangan bagi klip kertas atau klip besi? 4. Mengapakah perkataan memperolehi, mempersetujui, memperbaiki, memperdalami dan memperhalusi dianggap tidak gramatis dalam bahasa Melayu? 5. Apakah bedanya kata 'meningkatkan' dan 'mempertingkatkan'? 6. Ayat: Malangnya, kini, pemimpin-pemimpin negara khasnya pemimpin Melayu seolah-olah menganggap perjuangan mendaulatkan bahasa Melayu sudah sampai ke penghujungnya. Betul atau salah rangkai kata 'sudah sampai ke penghujungnya'? Terima kasih.

1 dan 2.  Atas ialah kata arah dan kata arah lazimnya hadir sebelum frasa nama atau sesudah kata sendi nama untuk menunjukkan hala atau jurusan. Perkataan "di" merupakan kata sendi nama. Oleh itu frasa di atas ialah frasa sendi nama.

3. Apakah penjodoh bilangan bagi klip kertas atau klip besi? 

Penjodoh bilangan yang paling hampir untuk digandingkan dengan klip kertas ialah keping. Walau bagaimanapun lazimnya klip kertas dikira dalam bentuk unit, iaitu satu, dua dan tiga atau dalam jumlah yang lebih besar sekotak klip.

 
4. Mengapakah perkataan memperolehi, mempersetujui, memperbaiki, memperdalami dan memperhalusi dianggap tidak gramatis dalam bahasa Melayu?
Apitan memper.....i wujud hasil daripada perkembangan bahasa, iaitu keperluan menyatakan makna khusus bagi sesuatu perbuatan kata kerja, yang sebelum ini tidak terungkap dalam bahasa Melayu. Setakat ini hanya bentuk yang berikut sahaja yang wajar dianggap sebagai jenis kata kerja yang terbentuk dengan apitan memper.....i iaitu: memperingati, memperkawani, mempersuami, dan memperisteri  sebenarnya berbentuk mempersuamii dan memperisterii  tetapi telah berlaku pengguguran satu huruf i dalam kedua-dua perkataan ini  Bentuk yang lazim digunakan merupakan bentuk terbitan yang lewah dan sepatutnya dieja seperti yang berikut: memperolehi seharusnya memperolehmemperbaiki seharusnya memperbaikmemperkuasai seharusnya menguasaimemperdalami seharusnya mendalami memperakui seharusnya mengakui/ memperakukan mempersetujui seharusnya menyetujui memperhalusi seharusnya menghalusi.

5. Apakah bedanya kata 'meningkatkan' dan 'mempertingkatkan'?

Meningkatkan ialah meninggikan kedudukan (taraf dll), membesarkan (pengeluaran dll), memperhebat: daya usaha ini akan ~ kemungkinan pertumbuhan ekonomi; kerjasama antara parti-parti komponen BN perlu ditingkatkan lagi; ~ diri

Mempertingkatkan ialah menjadikan lebih tinggi atau lebih besar lagi (kedudukan, taraf, mutu, hasil pengeluaran, dll), menjadikan lebih hebat (giat, erat, dll), memperhebat: peranan ~ mutu bahasa Melayu tidak terletak di bahu pengkaji dan peminat bahasa sahaja; sikap kejam Soviet itu telah menambah keazaman Mujahideen utk ~ perjuangan mereka;

6. Ayat: Malangnya, kini, pemimpin-pemimpin negara khasnya pemimpin Melayu seolah-olah menganggap perjuangan mendaulatkan bahasa Melayu sudah sampai ke penghujungnya.

Ayat tersebut betul.

Tatabahasa19.07.2013

Kembali ke atas