Memperluaskan Memperluas mana satu yang betul Tuan?? | Kata terbitan yang betul ialah memperluas. | Ejaan | 27.09.2017 |
Jawapan yang manakah betul berdasarkan soalan berikut? Apakah tujuan penganjuran lawatan sambil belajar? a. Tujuan penganjuran lawatan sambil belajar ialah memperluas ilmu pengetahuan di samping mengeratkan hubungan antara guru dan murid. b. Tujuan penganjuran lawatan sambil belajar adalah untuk memperluas ilmu pengetahuan di samping mengeratkan hubungan antara guru dan murid. | Kata pemeri ialah perkataan yang digunakan untuk memerihalkan bahagian subjek dan predikat sesuatu ayat. Terdapat dua kata pemeri, iaitu kata ialah dan adalah. Kata pemeri ialah digunakan dalam ayat yang berpola frasa nama + frasa nama. Oleh itu, kata pemeri ialah digunakan sebelum kata nama atau frasa nama. Contoh dalam ayat: i) Mata pelajaran yang paling saya minati ialah Matematik (FN+FN), ii) Kegiatan kokurikulum ialah kegiatan yang dijalankan di luar bilik darjah(FN+FN). Kata pemeri adalah digunakan dalam ayat yang berpola frasa nama + frasa adjektif dan frasa nama + frasa sendi nama. Kata pemeri adalah tidak boleh diikuti oleh frasa kerja dan frasa nama. Contoh dalam ayat: i) Perlawanan pada malam ini adalah sangat penting (FN+FA), ii) Teh herba yang sedang diminum oleh ibu adalah baik untuk kesihatan (FN+FA). Oleh itu, berdasarkan keterangan di atas, jawapan yang dicadangkan untuk persoalan daripada tuan/puan ialah: Tujuan penganjuran lawatan sambil belajar adalah untuk memperluas ilmu pengetahuan di samping mengeratkan hubungan antara guru dan murid. | Tatabahasa | 25.08.2019 |
Tuan, saya ingin bertanya... kata luas(adjektif) - menjadi - memperluas . (bukan memperluaskan) maka bagaimana pula dengan kata damai (adjektif) ? mengapakah dibolehkan (memperdamaikan). Saya minta penjelasan yang arif. | Saudara, Mengikut rumus tatabahasa terkini damai(kata adjektif) apabila mendapat imbuhan memper... menjadi memperdamai seperti juga dengan memperluas. | Tatabahasa | 27.08.2010 |
Soalan: 1. fluctuation: turun naik atau naik turun? 2. perluasan liputan atau peluasan liputan? Sekian terima kasih. | 1. turun naik 2. Peluasan bermaksud perihal atau perbuatan meluaskan atau memperluas, manakala perluasan ialah hasil daripada perbuatan memperluas. | Ejaan | 28.01.2015 |
1.perbezaan imbuhan i dan kan .contohnya memasuki dan memasukkan 2.memperluas ,memperbaiki, mempertingkat .adakah betul? 3.'olehkerana' perkataan ini adakah betul? {terima kasih atas jasa anda yang disumbangkan} | 1. Semua golongan kata utama, iaitu kata nama, kata kerja, kata adjektif boleh menerima akhiran kan dan akhiran i untuk membentuk kata kerja. Untuk maklumat lanjut sila rujuk Buku Tatabahasa Dewan, muka surat 183 - 190. 2. Yang betul ialah memperluas, mempertingkat dan memperbaik. Memperbaiki bermaksud berbuat baik kpd seseorang (sastera lama) 3. Ungkapan yang betul ialah 'oleh sebab' kerana oleh merupakan kata sendi , oleh yang demikian kata yang mengikutinya hendaklah kata nama; iatu sebab. 'Kerana ialah kata sendi dan dengan itu tidak boleh digunakan selepas kata oleh dalan ungkapan tersebut. | Tatabahasa | 26.10.2008 |
Tlg beri pejelasan kenapa apitan memper-...-kan tidak boleh digunakan untuk kata adjektif. Contoh: memperluaskan dikatakan salah dan yg betulnya memperluas shj. Apa justifikasinya? | Mengikut Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, awalan memper- digunakan dengan kata adjektif untuk membawa maksud menjadi lebih atau bertambah. Contohnya, memperluas - bermaksud menjadi lebih atau bertambah luas. Penggunaan bentuk kata adjektif dengan apitan memper...kan seperti memperluaskan adalah tidak tepat. Oleh itu, perkataan yang betul memperluas. | Tatabahasa | 02.03.2020 |
1)apakah perbezaan antara pelbagai dan berbagai 2) jika ada perkataan mem.....kan tak perlu ada perkataan "tentang" 3) memperluas atau memperluaskan 4) bagaimana penggunaan mem...per...kan | 1. Pelbagai sama makna dengan berbagai-bagai. 2. Terdapat beberapa peraturan dalam penggunaan apitan meN-...-kan, iaitu: i. bentuk apitan meN-...-kan, ii. golongan kata yang boleh bergabung dengan meN-...-kan, iv. jenis kata kerja yang terbentuk, dan iv. aspek makna apitan me-...-kan. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 190 - 197 untuk mengetahui setiap peraturan yang tersebut. Sementara itu, salah satu makna tentang ialah mengenai, dan penggunaan kata tentang perlu disesuaikan dengan makna yang tersebut. 3. Kata terbitan yang betul ialah memperluas. 4. Kata nama dan kata kerja boleh bergabung dengan apitan memper-...-kan untuk membentuk kata kerja, contohnya: isteri (kata nama) - memperisterikan, dengar (kata kerja) - memperdengarkan. Untuk maklumat lanjut sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 209. | Tatabahasa | 22.04.2010 |
Apakah imbuhan yang sesuai untuk 'luas'? Adakah perkataan 'memperluaskan' itu betul? | Yang betul ialah memperluas. | Lain-lain | 05.08.2014 |
Para pelajar akan dapat ........... perbendaharaan kata dan meningkatkan kemahiran berbahasa jika rajin membaca. Mana jawapan yang betul? A. Luaskan B. Meluaskan C. Perluaskan D. Memperluas Diharap pihak tuan dapat memberi penjelasan.Terima kasih. | Jawapan yang betul ialah: B. Meluaskan | Tatabahasa | 19.08.2013 |
Kemusyikilan 1: Kamus Pelajar: menambahkan asid pd bes. Penerangan DBP: menambah gula dalam air kopi. Kamus Pelajar: menambah bilangan penuntutnya Penerangan DBP: menambahkan produktiviti Persoalannya, yang manakah yang betul? Kemusykilan 2: Mempertambah bermaksud memperbanyak, memperbesar, memperluas Persoalannya, kalau kata "tambah" bukan kata adjektif, apakah jenis golongan kata? Dan, bolehkah 'tambah' menerima awalan rangkap memper-, dan adakah kata adjektif "banyak", "lebar" dan "luas" mengungkapkan maksud "tambah"? Kemusykilan 3: Tatabahasa Dewan: ... membaca karangan yang terbaik kepada murid-muridnya. membacakan = membaca sst untuk sso. mengambilkan = mengambil sst untuk sso. Mengapakah Tatabahasa Dewan menggunakan kata sendi "kepada" dalam ayat tersebut? Kemusykilan 4: Pertanyaan kewujudan kata nama terbitan "pelibatan" dan "pelihatan" belum dijawab lagi. Sekian. | 1. Tidak nampak perbezaan yang nyata (hampir sama) antara makna menambah dan menambahkan. Oleh itu ayat menambahkan asid pd bes, menambah gula dalam air kopi, menambahkan produktiviti, semuanya betul. 2. Tambah ialah Kata Kerja, mempertambah bermaksud memperbanyak, memperbesar, memperluas. Walau bagaimanapun dalam entri banyak, lebar, luas tidak mengungkapkan maksud tambah. Kata tambah boleh menerima awalan memper... untuk membentuk kata terbitan mempertambah. 3. Ayat, membaca karangan yang terbaik kepada murid-muridnya, betul dan kata sendi nama kepada hadir di hadapan kata nama/frasa nama yang menjadi sasaran. 4. Kata terbitan pelibatan/penglibatan dan pelihatan/penglihatan wujud dan membawa makna yang sama antara kedua-duanya. Walaupun melibatkan - pelibatan, melihat - pelihatan, berdasarkan korpus penglibatan dan penglihatan banyak digunakan dan sama situasinya dengan pelibatan dan pelihatan. Sekian. | Tatabahasa | 19.07.2008 |