1)apakah perbezaan antara pelbagai dan berbagai 2) jika ada perkataan mem.....kan tak perlu ada perkataan "tentang" 3) memperluas atau memperluaskan 4) bagaimana penggunaan mem...per...kan | 1. Pelbagai sama makna dengan berbagai-bagai. 2. Terdapat beberapa peraturan dalam penggunaan apitan meN-...-kan, iaitu: i. bentuk apitan meN-...-kan, ii. golongan kata yang boleh bergabung dengan meN-...-kan, iv. jenis kata kerja yang terbentuk, dan iv. aspek makna apitan me-...-kan. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 190 - 197 untuk mengetahui setiap peraturan yang tersebut. Sementara itu, salah satu makna tentang ialah mengenai, dan penggunaan kata tentang perlu disesuaikan dengan makna yang tersebut. 3. Kata terbitan yang betul ialah memperluas. 4. Kata nama dan kata kerja boleh bergabung dengan apitan memper-...-kan untuk membentuk kata kerja, contohnya: isteri (kata nama) - memperisterikan, dengar (kata kerja) - memperdengarkan. Untuk maklumat lanjut sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 209. | Tatabahasa | 22.04.2010 |
Terjumpa istilah ini: SCIENCE POPULARIZATION. Apa terjemahan dalam bahasa Melayu? Adakah PEMPOPULARAN SAINS? Bagi perkataan dengan imbuhan "memper...kan", benarkah imbuhan "kan" dalam perkataan itu perlu/boleh digugurkan dalam penggunaannya? Contoh, cukup sekadar "mempertajam ilmu" bukan lagi "mempertajamkan ilmu." Adakah syarat ini terpakai dalam semua keadaan, dengan kata lain, apa-apa perkataan yang menerima imbuhan "memper...kan" boleh digugurkan imbuhan "kan"nya itu. Mohon nasihat. Terima kasih. | 1. Untuk makluman, tidak terdapat istilah khusus untuk SCIENCE POPULARIZATION. Walau bagaimanapun, terdapat istilah bahasa Melayu untuk popularization, iaitu popularisasi. Dalam Kamus Inggeris-Melayu Dewan, popularization diterjemahkan sebagai usaha mempopularkan. 2. Awalan memper- dapat bergabung dengan kata dasar yang terdiri daripada kata nama, kata adjektif dan kata tugas. Contohnya: memperalat (kata nama 'alat'), memperluas (kata adjektif 'luas' dan memperoleh (kata tugas 'oleh). Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (ms. 177 - 181) | Istilah | 02.08.2011 |
Tlg beri pejelasan kenapa apitan memper-...-kan tidak boleh digunakan untuk kata adjektif. Contoh: memperluaskan dikatakan salah dan yg betulnya memperluas shj. Apa justifikasinya? | Mengikut Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, awalan memper- digunakan dengan kata adjektif untuk membawa maksud menjadi lebih atau bertambah. Contohnya, memperluas - bermaksud menjadi lebih atau bertambah luas. Penggunaan bentuk kata adjektif dengan apitan memper...kan seperti memperluaskan adalah tidak tepat. Oleh itu, perkataan yang betul memperluas. | Tatabahasa | 02.03.2020 |
penggunaan imbuhan awalan memper- contoh perkataan memperbesar. Pertanyaannya mana yang betul memperbesar atau memperbesarkan..dan kenapa imbuhan akhiran -kan digugurkan penggunaannya dalam menggambarkan sesuatu konteks | Kata adjektif menerima awalan memper- bukan apitan memper-...-kan. Contohnya memperbesar, memperluas dan mempercantik. | Tatabahasa | 20.07.2012 |
penggunaan imbuhan 'memper' tidak 'consistent' antara guru-guru dan penulis buku bahasa seperti memperoleh,memperkaya dll. Perlukah akhiran 'kan' dan 'i' dijatuhkan jika imbuhan 'memper' digunakan?b | Awalan memper- dapat bergabung dengan kata dasar yang terdiri daripada kata nama, kata adjektif dan kata tugas. Contohnya, memperalat, memperluas dan memperoleh. Hanya terdapat dua pengertian khusus yang timbul melalui penggunaan apitan memper-...kan dengan kata dasar, iaitu 'yang membawa pengertian kausatif (menjadikan atau menyebabkan)' seperti mempertemukan; dan 'yang membawa pengertian menyebabkan orang lain melakukan perbuatan' seperti memperdengarkan. Sila rujuk Tatabahasa Dewan halaman 170. | Tatabahasa | 03.03.2007 |
Adakah perkataan "memperuntuk" salah dari segi penggunaan imbuhan? Adakah perkataan yang diterima adalah memperuntukkan? dan apakah kata dasar perkataan ini? | Perkataan “memperuntukkan” merupakan kata kerja terbitan yang menerima imbuhan apitan mempeR...kan daripada kata dasarnya, “untuk”. Kata “untuk” ialah kata sendi nama yang digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama, dengan fungsi menunjukkan kegunaan untuk sesuatu dan menyatakan maksud bahagian yang ditentukan atau diperuntukkan. Oleh itu, kata “memperuntuk” adalah tidak tepat dari segi penggunaan imbuhan kerana imbuhan awalan mempeR- hanya bergabung dengan kata dasar yang terdiri daripada kata nama, kata adjektif dan kata tugas. Contohnya, memperalat (kata nama “alat”), memperluas (kata adjektif “luas”) dan memperoleh (kata tugas “oleh”), sedangkan kata “untuk” ialah kata sendi nama dan tidak boleh menerima awalan mempeR- untuk membentuk kata kerja terbitan. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2014) halaman 177, 208, dan 276 dan laman web prpm.dbp.gov.my. | Tatabahasa | 06.04.2024 |