Memperluaskan Memperluas mana satu yang betul Tuan?? | Kata terbitan yang betul ialah memperluas. | Ejaan | 27.09.2017 |
Apakah imbuhan yang sesuai untuk 'luas'? Adakah perkataan 'memperluaskan' itu betul? | Yang betul ialah memperluas. | Lain-lain | 05.08.2014 |
Tlg beri pejelasan kenapa apitan memper-...-kan tidak boleh digunakan untuk kata adjektif. Contoh: memperluaskan dikatakan salah dan yg betulnya memperluas shj. Apa justifikasinya? | Mengikut Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, awalan memper- digunakan dengan kata adjektif untuk membawa maksud menjadi lebih atau bertambah. Contohnya, memperluas - bermaksud menjadi lebih atau bertambah luas. Penggunaan bentuk kata adjektif dengan apitan memper...kan seperti memperluaskan adalah tidak tepat. Oleh itu, perkataan yang betul memperluas. | Tatabahasa | 02.03.2020 |
Tuan, saya ingin bertanya... kata luas(adjektif) - menjadi - memperluas . (bukan memperluaskan) maka bagaimana pula dengan kata damai (adjektif) ? mengapakah dibolehkan (memperdamaikan). Saya minta penjelasan yang arif. | Saudara, Mengikut rumus tatabahasa terkini damai(kata adjektif) apabila mendapat imbuhan memper... menjadi memperdamai seperti juga dengan memperluas. | Tatabahasa | 27.08.2010 |
assalamulikum wb wt saya ingin menulis dan menghantar hasil cerpen,sajak,syair dan sebagainya...untuk memperluaskan lagi hasil karya saya tapi saya tidak tahu caranya...maaf | Kami mengalu-alukan sebarang karya daripada para pembaca. Sekiranya tuan sedang menuntut di universiti, tuan masih boleh menghantar puisi kepada majalah Dewan Siswa. Tuan juga boleh menghantar puisi kepada majalah terbitan DBP yang lain, seperti Tunas Cipta,Dewan Budaya, dan Pelita Bahasa dan puisi yang dihantar hendaklah sesuai dengan majalah masing-masing. Majalah Dewan Pelajar pula dikhususkan kepada karya oleh pelajar sekolah yang berusia antara 7 hingg 13 tahun.Kiriman puisi ke majalah terbitan DBP bolehlah dialamatkan kepada: Editor, Majalah Dewan Pelajar/Majalah Dewan Siswa/Majalah Dewan Sastera/Majalah Pelita Bahasa (pilih mana yang berkenaan), Dewan Bahasa dan Pustaka, Peti Surat 10803, 50926 Kuala Lumpur. Sekian, selamat berkarya dan selamat berjaya! | Lain-lain | 29.11.2013 |
Assalamualaikum, Saya ingin mendapatkan pengesahan sama ada istilah 'perluasan' atau 'peluasan' yang digunakan untuk ayat berikut: KWSP telah memperluaskan manfaat pengeluaran kepada ahli yang berstatus bukan warganegara Malaysia selain dari pengeluaran yang telah dibenarkan sebelum ini iaitu Pengeluaran Meninggalkan Negara, Pengeluaran Hilang Upaya dan Pengeluaran Kematian. 'Perluasan' / 'Peluasan' Manfaat ini diberikan kepada Ahli Bukan Warganegara yang bekerja atau berkhidmat di Malaysia. Mohon pengesahan pihak DBP berkaitan perkara ini. Kerjasama dan perhatian tuan/puan amat dihargai. Sekian, terima kasih. | Peluasan bermaksud usaha meluaskan, manakala perluasan bermaksud hasil daripada usaha memperluas (menjadikan lebih luas). Penggunaan kata memperluas dalam konteks ayat tersebut adalah betul. | Tatabahasa | 21.07.2016 |
1)apakah perbezaan antara pelbagai dan berbagai 2) jika ada perkataan mem.....kan tak perlu ada perkataan "tentang" 3) memperluas atau memperluaskan 4) bagaimana penggunaan mem...per...kan | 1. Pelbagai sama makna dengan berbagai-bagai. 2. Terdapat beberapa peraturan dalam penggunaan apitan meN-...-kan, iaitu: i. bentuk apitan meN-...-kan, ii. golongan kata yang boleh bergabung dengan meN-...-kan, iv. jenis kata kerja yang terbentuk, dan iv. aspek makna apitan me-...-kan. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 190 - 197 untuk mengetahui setiap peraturan yang tersebut. Sementara itu, salah satu makna tentang ialah mengenai, dan penggunaan kata tentang perlu disesuaikan dengan makna yang tersebut. 3. Kata terbitan yang betul ialah memperluas. 4. Kata nama dan kata kerja boleh bergabung dengan apitan memper-...-kan untuk membentuk kata kerja, contohnya: isteri (kata nama) - memperisterikan, dengar (kata kerja) - memperdengarkan. Untuk maklumat lanjut sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 209. | Tatabahasa | 22.04.2010 |
Nisha Naviletchu Aug 25th, 10:48pm Maaf, tumpang tanya, boleh tak kalau sesuatu perkataan ada imbuhan, memper- , belakangnya ditambah -kan- , contoh: mempergunakan, memperluaskan terima kasih | Apitan memper... digunakan dengan kata adjektif. Apitan memper...kan digunakan dengan kata kerja dan kata nama. Apitan memper...kan dengan kata kerja membawa maksud menyebabkan orang lain melakukan perbuatan yang terkandung dalam maksud kata kerja. Apitan memper...kan dengan kata nama membawa maksud kuasatif. | Tatabahasa | 25.08.2014 |
Mengapakah terdapat perkataan dalam Kamus Dewan Bahasa yang dianggap tidak boleh digunakan ataupun menyalahi hukum Tatabahasa sedangkan perkataan tersebut dicetak dalam Kamus Dewan? Contoh: memperbaiki (memper + KA............ maka tidak boleh mempunyai apa-apa imbuhan di belakang pun)..sedangkan dalam Kamus Dewan wujudnya perkataan tersebut. Banyak lagi...contoh "memperluaskan"....??? Diharap boleh mendapat penjelasan | Kami akui terdapat beberapa ayat contoh bagi beberapa entri dalam Kamus Dewan menyalahi hukum tatabahasa bahasa Melayu. Hal ini berlaku demikian kerana ayat contoh tersebut diambil daripada sistem data korpus dan data tersebut adalah dalam bentuk asli, iaitu sama seperti teks asal. | Lain-lain | 31.10.2011 |
Memperlebar dan memperlebarkan,apa bezanya? | Mengikut Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, awalan memper- digunakan dengan kata adjektif untuk membawa maksud menjadi lebih atau bertambah. Contohnya, memperbesar dan memperindah. Penggunaan bentuk kata adjektif dengan apitan memper...kan seperti memperbesarkan dan memperluaskan adalah tidak tepat. Oleh itu, perkataan yang betul memperlebar. | Tatabahasa | 17.01.2011 |