Tuan, adakah ayat ini berkesalahan? Jika berkesalahan, minta betulkan ayat tersebut. 1. Narut memutuskan untuk ke Chonburi. | Ayat di atas adalah betul. | Tatabahasa | 22.03.2015 |
Menilai kepada prestasi kerja dan tingkah laku yang baik ditunjukkan oleh saudari, pihak kilang telah memutuskan untuk mengesahkan saudari ke jawatan tetap sebagai Operator Am di Syarikat AAA bermula pada 1hb Januari 2009 | Berdasarkan penilaian prestasi kerja dan tingkah laku yang ditunjukkan oleh saudari, pihak kilang telah memutuskan saudari diserapkan ke jawatan tetap sebagai Operator Am di Syarikat AAA bermula 1 Januari 2009. | Tatabahasa | 10.02.2009 |
Menilai kepada prestasi kerja dan tingkah laku yang baik ditunjukkan oleh saudari, pihak kilang telah memutuskan untuk mengesahkan saudari ke jawatan tetap sebagai Operator Am di syarikat AAA bermula pada 1hb Januari 2009. (Sila Komen ayat ini) | Cadangan daripada kami ialah, "Berdasarkan penilaian prestasi kerja dan tingkah laku yang ditunjukkan oleh saudari, pihak kilang telah memutuskan saudari diserapkan ke jawatan tetap sebagai Operator Am di Syarikat AAA bermula 1 Januari 2009." | Tatabahasa | 09.02.2009 |
Assalamualaikum, 1. Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) atau kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT). Kemahiran ini menjadi fokus dalam sistem pendidikan di negara kita sekarang. Soalannya, dari segi ejaan, DBP memutuskan ejaan yang bagaimana? Huruf awalnya berhuruf besar atau semuanya huruf kecil? Terima kasih. | KBAT ialah singkatan atau akronim bagi frasa “Kemahiran Berfikir Aras Tinggi“ yang terbentuk melalui cantuman huruf awal perkataan. Oleh itu, huruf awal perkataan hendaklah berhuruf besar. Contoh lain seperti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB). | Ejaan | 21.09.2018 |
Mengapa ayat-ayat yang berikut salah? 1. Ali yang benar bersalah dalam pergaduhan itu. 2. Tanah itu milik Pak Ali yang benar. 3. Fius berfungsi memutuskan elektrik apabila voltan yang mengalir berlebihan dan menyelamatkan peralatan elektrik daripada rosam. 4. Adik sering berlawan cakap kakak apabila kakak memarahinya. 5. Sudah menjadi lumrah kehidupan yang kaya sentiasa dikenang. 6. Menjadi gila anak-anak muda dengan nyanyian lagu artis popular itu. 7. Penyair terkenal itu mendendangkan syair hasil nukilan sasterawan negara. | Berikut ayat yang telah dipinda. 1. Ali yang bersalah dalam pergaduhan itu. 2. Tanah itu sebenarnya milik Pak Ali. 3. Fius berfungsi mematikan aliran elektrik apabila voltan mengalir berlebihan dan menyelamatkan peralatan elektrik daripada rosak. 4. Adik sering melawan cakap kakak apabila dimarahi. 5. Sudah menjadi lumrah kehidupan, yang kaya sentiasa dipuji. 6. Nyanyian lagu artis popular itu menjadi kegilaan anak-anak muda. 7. Penyair terkenal itu mendeklamasikan syair hasil nukilan sasterawan negara. | Tatabahasa | 19.07.2013 |
Mengapakah DBP memutuskan untuk menggunakan istilah lohong hitam untuk padanan 'black hole' dan bukannya 'lubang hitam'. Adakah terdapat maklumat tentang keputusan tersebut daripada bahagian pembentukan istilah? | Keputusan memilih istilah tersebut ditetapkan oleh Jawatankuasa Istllah yang dianggotai oleh pakar-pakar dalam bidang berkaitan. Bahagian Peristilahan dan Leksikologi, Dewan Bahasa dan Pustaka selaku urus setia akan menyusun dan menyebarluaskan istilah yang telah diputuskan melalui media cetak (penerbitan Glosari) dan media elektronik (PRPM- Pusat Rujukan Persuratan Melayu).1"> | Istilah | 12.04.2019 |
Assalammualaikum Tuan/Puan Pengurusan JPJ Kelantan telah memutuskan untuk membuat papan tanda/bunting sebagai mengalu-alukan kedatangan pelancong yang masuk melalui sempadan Thailand ke Rantau Panjang. Jabatan ini memohon pandangan pihak Tuan. apakah susunan ayat yang lebih tepat bagi maksud mengalu-alukan kedatangan masyarakat daripada sempadan Thailand ke Rantau Panjang. Berikut adalah cadangan ayat untuk perkara tersebut daripada pihak Jawatankuasa: Cadangan 1 : SELAMAT DATANG RANTAU PANJANG Cadangan 2 : SELAMAT DATANG KE RANTAU PANJANG Untuk makluman Tuan, cadangan ayat di atas dicadangkan untuk diletakkan pada "bunting" di hadapan Pejabat Kawalan Sempadan oleh JPJ dan papan tanda di atas premis Stesen Kawalan Sempadan. Segala tunjuk ajar daripada pihak Tuan amatlah dihargai dan diucapkan terima kasih. | Ayat yang gramatis ialah "Selamat Datang ke Rantau Panjang". Jika kita mengungkapkan Selamat Datang Rantau Panjang maknanya kita mengalu-alukan kedatangan orang yang bernama Rantau Panjang seperti Selamat Datang Ahmad. | Tatabahasa | 04.07.2012 |
Catatan dalam minit mesyuarat. Betulkah penggunaan ayat. "Mengambil Maklum'. Contoh 1: Mesyuarat mengambil maklum laporan oleh Akauntan Jabatan mengenai status keseluruhan perbelanjaan mengurus untuk setengah tahun 2018. |Contoh 2: Pengerusi mengambil maklum aduan Pegawai Tadbir mengenai kelewatan pegawai mengemukakan tuntutan perbelanjaan bulanan. | Penggunaan kata "mengambil maklum" dalam kedua-dua ayat tersebut betul. Lazimnya minit mesyurat mencatatkan mengambil maklum atau memutuskan.
| Tatabahasa | 25.07.2018 |
Dalam penulisan minit mesyuarat, adakah perlu mencatat nama orang yang mencadangkan/melapor/menyatakan sesuatu perkara. Contoh : 1) Mesyuarat menerima maklum bahawa ... atau 2) Mesyuarat dimaklumkan bahawa ... atau 3) Mesyuarat dimaklumkan oleh En. Abdullah bin Kassim... Yang mana satu boleh diterima pakai? Atau perlu menyatakan nama individu tersebut sebagaimana contoh 3. Terima kasih. | Lazimnya mesyuarat hanya mencatatkan perkara yang telah dimaklumkan dan diputuskan dalam mesyuarat. Tidak perlu ditulis siapa yang memaklumkan atau yang memutuskan perkara itu kerana hanya perkara pemakluman dan keputusannya sahaja diminitkan. | Tatabahasa | 02.07.2012 |
Salam sejahtera, Saya merujuk kepada jawapan pihak KNDBP bertarikh 16/3/2010 kepada soalan saya tentang 'black sheep' vs 'scapegoat' vs kambing hitam yang mana pihak KNDBP menyatakan akan menyemak huraian istilah untuk pembetulan. Setakat hari ini masih dapat dilihat huraian dalam Kamus Dewan mahupun Kamus Inggeris-Melayu Dewan adalah tetap sama: 'black sheep' adalah kambing hitam. Soalan saya: 1) Adakah pihak DBP telah menyemak huraian tersebut dan memutuskan pembetulan tidak perlu dibuat kerana tiada kesilapan? 2) Sekiranya tiada kesilapan, bolehkah kita katakan bahawa guru-guru BI di Malaysia perlu memberikan DUA makna untuk penggunaan 'black sheep' di Malaysia: (a) penggunaan di Malaysia, DAN (b) penggunaan di luar Malaysia (yang tidak membawa maksud 'kambing hitam')?. Terima kasih. | Untuk makluman saudara, Kamus Inggeris - Melayu (KIMD) Dewan disusun dengan kerjasama pelbagai pihak termasuklah pihak Australian National University. Oleh sebab DBP tidak mempunyai korpus bahasa Inggeris, maka DBP sangat bergantung pada kamus ekabahasa Inggeris untuk mendapatkan maklumat tentang bahasa tersebut. Ketika kamus ini disusun (diterbitkan pada 1991) hanya terdapat makna kiasan bagi perkataan black sheep dalam kamus ekabahasa (bahasa Inggeris) rujukan, maka entri kata tersebut hanya memberi terjemahan makna yang ada. DBP sentiasa membuat penambahbaikan dalam buku terbitannya. Pada setiap kali terbitan edisi baharu bagi mana-mana kamus peluasan makna bagi setiap entri akan dimasukkan. Hal ini telah dimaklumkan kepada Bahagian Perkamusan, dan KIMD Edisi Baharu masih dalam peringkat manuskrip. Pada pandangan kami tidak salah untuk memaklumkan maklumat terkini entri kamus yang diketahui kepada khalayak, malah pemberian maklumat ini dialu-alukan untuk manfaat bersama. | Istilah | 19.10.2011 |