apakah maksud "sangga" | Sangga I : benda yang digunakan untuk menopang (menahan dll) dari bawah. Sangga II : ; ~ berduri sj tumbuhan (pokok renek), Sida rhombifolia. Sangga III : Kelantan 1. balasan hantaran (pd hari perkahwinan); 2. menahan (menepis, me-nangkis) serangan atau pukulan dgn tangan. Sangga IV : Jawa; ukuran banyak padi (banyaknya lima ikat). Sangga V: Kedah; tak ~ terlalu, sangat: besar tak ~. | Makna | 11.01.2013 |
Salam sejahtera. 1. Adakah ayat ini betul? Semoga puan akan menjalankan tugas dengan lebih cemerlang lagi di masa akan datang. 2. Saya tidak dapat cari perkataan "menghadang" dan "bola lisut" dalam Kamus Dewan, adakah perkataan ini masih wujud? Terima kasih. | 1. Semoga puan menjalankan tugas dengan lebih cemerlang lagi pada masa akan datang. 2. Dalam data kami tiada perkataan menghadang tetapi mempunyai perkataan menghalang, iaitu menahan sesuatu supaya tidak dapat bergerak, mengalir dll: Beting pasir itu ~ air mengalir ke laut. 2 tidak membenarkan seseorang melakukan sesuatu; menahan; menegah; melarang: Maka hulubalang Melaka itu pun dihalang oleh Bendahara, tiada diberinya melawan. 3 menutupi atau melindungi: Jerebu ~ pemandangan kami. Perkataan bola lisut masih digunakan selain perkataan sofbal. | Tatabahasa | 08.10.2013 |
Alatan untuk menahan sampah ketika menyapu sampah sama ada pongkes, pencedok atau penadah sampah. Terima kasih | Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, pongkes bermaksud sejenis bakul yang tohor untuk mengisi dan mengangkat tanah (sampah dan lain-lain), pengki. Pencedok bermaksud 1. alat untuk mencedok 2. alat seakan-akan sudu bulat yang jeluk, biasanya digunakan untuk mencedok aiskrim, tembikai dan sebagainya. Dalam Kamus Inggeris-Melayu Dewan, penadah sampah ialah padanan untuk bahasa Inggeris dustpan. Berdasarkan ayat yang diberikan, perkataan yang paling sesuai ialah penadah sampah. | Makna | 11.05.2012 |
Assalamualaikum tuan, Pertanyaan saya ialah : 1. Apakah maksud rangkai kata MENYITA KETIRISAN dan mohon tuan berikan satu contoh ayat tentangnya. 2. Apakah makna kata KOLERASI? Mohon tuan berikan contoh ayat. TERIMA KASIH. | Ketirisan bermaksud kebocoran seperti ketirisan atap rumah, ketirisan rahsia. Namun rangkai kata menyita ketirisan tidak sesuai digandingkan kerana menyita bermaksud merampas (mengambil/menahan). Perkataan kolerasi tiada dlm sumber yang ada korelasi bermaksud hubungan atau kaitan secara timbal balik, hubung kait. | Makna | 24.07.2007 |
1.Adik menyarungkan kasut dekat kakinya lalu keluar dari rumah. 2.Walaupun sudah berusia,namun datuk masih teguh ke hutan mencari akar kayu. 3.Amboi,murah sekali telefon bimbit di kedai ini! 4.Sebaik sahaja kami melalui jalan ini,bangunan itu belum terbakar. 5.Pendapatannya sudah mencecah RM 10 000 sebulan sejak berniaga. 6.Linie yang sedang demam panas itu sering mengacau dengan memanggil-manggil nama ayah. 7.Pokok-pokok yang tumbang itu menahan perjalanan kenderaan. Soalan-soalan tersebut mana salah? | Semua soalan tersebut tidak gramatis, contohnya ayat pertama: penggunaan frasa 'dekat pada kaki' dan 'keluar dari rumah' adalah tidak tepat. Sepatutnya ayat tersebut menjadi: Adik menyarungkan kasut lalu keluar daripada rumah. Untuk soalan kedua hingga ketujuh, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, Edisi Ketiga. | Tatabahasa | 18.02.2012 |
1. Pengawas meminta para pelajar membetulkan barisan yang condong. Perkataan (condong) salah dan apakah kata adjektif yang patut digunakan untuk membetulkan ayat ini? 2. Bukit di Kampung Serdang mejadi (rendah) akibat proses pembangunan. Perkataan (rendah) salah dan apakah kata adjektif yang patut digunakan untuk membetulkan ayat ini? 3. Jika generasi kini terlalu mengagungkan budaya barat, kemungkinan besar budaya tersebut boleh (menahan) kemurnian budaya timur. (menelan) Betul? 4. Walaupun Ali anak angkat, namun ibu angkatnya mencurahkan kasih sayang (mengira-gira) terhadapnya. (tidak terkira) Betul? 5. Bermain sepak takraw merupakan aktiviti harian (semasa) para belia di Kampung Selamat pada waktu petang. Apakah perkataan yang patut menggantikan (semasa) 6. Warga emas itu terpaksa menjadi penghuni rumah kebajikan (semasa) anak-anaknya berjawatan tinggi. (sedangkan) Betul? 7. Penggunaan racun serangga tanpa kawalan (amat sangat) berbahaya jika racun tersebut meresapi sayur-sayuran. (Penggunaan amat sangat dibenarkan atau tidak?) | 1. Pengawas meminta para pelajar membetulkan barisan yang tidak lurus/bengkok/lengkung. 2. Bukit di Kampung Serdang mejadi gondol akibat proses pembangunan. 3. Jika generasi kini terlalu mengagungkan budaya barat, kemungkinan besar budaya tersebut boleh menjejaskan/menghapuskan kemurnian budaya timur. 4. Walaupun Ali anak angkat, namun ibu angkatnya mencurahkan kasih sayang tidak terkira terhadapnya. 5. Bermain sepak takraw merupakan aktiviti harian para belia di Kampung Selamat pada waktu petang. 6. Warga emas itu terpaksa menjadi penghuni rumah kebajikan sedangkan anak-anaknya berjawatan tinggi. 7. Penggunaan racun serangga tanpa kawalan amat/sangat berbahaya jika racun tersebut meresapi sayur-sayuran. Untuk menyemak penggunaan perkataan yang sesuai, sila rujuk laman web kami www.prpm.dbp.gov.my dan taipkan perkataan yang hendak dicari. Untuk memastikan penggunaan kata penguat yang betul seperti dalam soalan ketujuh (7) rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 259. | Tatabahasa | 21.10.2011 |