Kemusyikilan 1: Kamus Pelajar: menambahkan asid pd bes. Penerangan DBP: menambah gula dalam air kopi. Kamus Pelajar: menambah bilangan penuntutnya Penerangan DBP: menambahkan produktiviti Persoalannya, yang manakah yang betul? Kemusykilan 2: Mempertambah bermaksud memperbanyak, memperbesar, memperluas Persoalannya, kalau kata "tambah" bukan kata adjektif, apakah jenis golongan kata? Dan, bolehkah 'tambah' menerima awalan rangkap memper-, dan adakah kata adjektif "banyak", "lebar" dan "luas" mengungkapkan maksud "tambah"? Kemusykilan 3: Tatabahasa Dewan: ... membaca karangan yang terbaik kepada murid-muridnya. membacakan = membaca sst untuk sso. mengambilkan = mengambil sst untuk sso. Mengapakah Tatabahasa Dewan menggunakan kata sendi "kepada" dalam ayat tersebut? Kemusykilan 4: Pertanyaan kewujudan kata nama terbitan "pelibatan" dan "pelihatan" belum dijawab lagi. Sekian. | 1. Tidak nampak perbezaan yang nyata (hampir sama) antara makna menambah dan menambahkan. Oleh itu ayat menambahkan asid pd bes, menambah gula dalam air kopi, menambahkan produktiviti, semuanya betul. 2. Tambah ialah Kata Kerja, mempertambah bermaksud memperbanyak, memperbesar, memperluas. Walau bagaimanapun dalam entri banyak, lebar, luas tidak mengungkapkan maksud tambah. Kata tambah boleh menerima awalan memper... untuk membentuk kata terbitan mempertambah. 3. Ayat, membaca karangan yang terbaik kepada murid-muridnya, betul dan kata sendi nama kepada hadir di hadapan kata nama/frasa nama yang menjadi sasaran. 4. Kata terbitan pelibatan/penglibatan dan pelihatan/penglihatan wujud dan membawa makna yang sama antara kedua-duanya. Walaupun melibatkan - pelibatan, melihat - pelihatan, berdasarkan korpus penglibatan dan penglihatan banyak digunakan dan sama situasinya dengan pelibatan dan pelihatan. Sekian. | Tatabahasa | 19.07.2008 |
Adakah kata "tambah" kata adjektif? Dan, bolehkah kata "tambah" menerima awalan rangkap "memper-"? Yang mana betul: (a) menambah produktiviti atau menambahkan produktiviti (b) menambah gula dalam air kopi atau menambahkan gula dalam air kopi? Hal ini demikian kerana maksud dan contoh penggunaannya agak mengelirukan dalam Kamus Dewan Edisi Keempat. Sekian, terima kasih. | Tambah - bukan keta adjektif. Merujuk Kamus Dewan, tambah boleh menerima awalan memper... - mempertambah bermaksud memperbanyak, memperbesar, memperluas. Menambah bermaksud menjadikan lebih banyak/besar/kuat dsb, atau memberi tambah/menokok, manakala menambahkan bermaksud menambahkan sesuatu pada yang sudah ada supaya jadi besar. Oleh itu yang betul ialah, a)menambahkan produktiviti (b) menambah gula dalam air kopi. | Tatabahasa | 08.07.2008 |
Assalamualaikum.... 1. Apakah maksud 'tawas' secara terperinci? sila sertakan ayat bagi menambahkan kefahaman saya. 2. Apakah maksud 'ekahala'? sila sertakan ayat bagi menambahkan kefahaman saya. | Tawas ialah sejenis garam galian berwarna putih serta kelat rasanya, manakala ekahala bermaksud mempunyai atau mengikut satu hala sahaja. | Makna | 16.01.2010 |
Skema warna (menambah/menambahkan) keceriaan.Yang mana satukah betul?Jika boleh tolong berikan maksud dua perkataan itu.Saya sering keliru mengenai kena guna -kan atau tidak............ | Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, menambah bermaksud 1. menjadikan lebih banyak (besar, kuat, dll) 2. memberi tambah, menokok 3. menjumlahkan dengan, mencampur. Menambahkan bermaksud menambah sesuatu pada yang sudah ada supaya jadi besar (banyak dll). Berdasarkan maksud yang diberikan, ayat yang betul ialah 'Skema warna menambah keceriaan'. | Makna | 18.01.2012 |
1. menambah ilmu atau menambahkan ilmu? | Frasa yang betul ialah menambah ilmu. | Tatabahasa | 11.03.2010 |
APAKAH MAKSUD INTERPRETASI? SERTAKAN CONTOH AYAT BAGI MENAMBAHKAN KEFAHHAMAN. | interpretasi - (interprétasi) tafsiran, penjelasan (tentang makna, tujuan, implikasi, dsb sesuatu): berbagai-bagai ~ telah diberikan terhadap peristiwa tersebut; Contoh: Selama kita berpegang pada hakikat ini, selama itu pula kita tidak mungkin memberikan interpretasi baru terhadap karya sastera lama kita; | Makna | 19.06.2009 |
1.mereka ke kampung seberang dengan menaiki bot. 2.Pelajar perlu banyak membaca untuk menambahkan pengetahuan. soalan;adakah ayat tersebut terdiri daripada dua klausa? | Ayat tersebut mengandungi dua klausa. | Tatabahasa | 10.08.2008 |
Assalamualaikum. Pertanyaan saya. 1.Bagaimana ingin menyumbang karya atau penulisan kearah mana perlu dituju. 2. bagaimana Panduan penulisan yang baik 3. adakah dengan berkarya boleh menambahkan pendapatan saya. bagaimana? 4. saya bukanlah seorang mahir untuk berkarya cuma ada idea-idea kecil untuk sumbangan kearah kebaikkan. | Terima kasih atas pertanyaan Sdr. Sdr boleh menghantar karya Sdr kepada: Pengarah Penerbitan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Jalan Dewan Bahasa, 50460 KUALA LUMPUR. Sila sertakan maklumat tentang diri Sdr untuk memudahkan pihak kami menghubungi Sdr semula. Sdr boleh merujuk buku-buku yang diterbitkan untuk mendapatkan maklumat panduan penulisan yang baik. Perkara ini bergantung pada bidang penulisan, peringkat pembaca, jenis penulisan dan sebagainya. Bergantung pada bahan tulisan Sdr. dari segi mutu penulisan, sasaran pembaca, persembahan dan pendekatan, dan pelbagai faktor lagi. Mudah-mudahan Sdr berjaya.
| Lain-lain | 19.04.2011 |
Salam. a. Barangkali b. sering kali acap kali kerap kali Mengapa bentuk pengejaan antara a dengan b berbeza? Mengapa a tidak dieja mengikut rumus kata majmuk. Bukankah pelbagai rumus yang berbeza akan menambahkan lagi kekeliruan pengguna bahasa Melayu | Dalam hal ini tiada rumus yang boleh dijadikan panduan untuk mengeja perkataan, kecuali merujuk kamus. Sebahagian kecil perkataan dianggap kekecualian dalam bahasa Melayu dan tidak dieja mengikut rumus tertentu. Kekecualian dalam bahasa menunjukkan keunikan sesuatu bahasa. Penyusun tatabahasa terdiri daripada kalangan para sarjana bahasa lebih memaklumi hal ini dan telah memutuskan kekecualian perlu ada bagi sebahagian kecil perkataan yang telah mantap penggunaannya dalam kalangan masyarakat. | Ejaan | 10.05.2012 |
Saya ingin bertanya, apakah kepentingan penguasaan bahasa asing untuk kemajuan negara? Bagaimanakah cara untuk mengekal dan mendaulatkan bahasa Malaysia di samping menguasai bahasa asing sperti bahasa Jepun, Rusia dan Inggeris? | Bahasa asing perlu juga dikuasai untuk menambahkan pengetahuan dan ilmu dalam pelbagai bidang. masih terdapat banyak buku rujukan dalam bahasa asing yang belum lagi diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Cara yang terbaik untuk mengekalkan dan mendaulatkan bahasa Melayu adalah dengan mengamalkannya dalam urusan harian kita dan juga di peringkat antarabangsa. Sebagai rakyat Malaysia kita seharusnya berasa bangga dengan bahasa kebangsaan kita dan mengamalkannya seharian hingga ke peringkat antarabangsa. | Lain-lain | 27.04.2008 |