salam hormat.. saya ingin tahu bagaimana sesebuah novel itu boleh dikategorikan sebagai novel yang mempunyai nilai komersial & nilai intelektual serta bagaimana pula sebaliknya? | Salam hormat. Untuk pengetahuan saudara, novel yang mempunyai nilai komersial ialah novel yang lebih mengutamakan keuntungan daripada penjualan novel tersebut atas kemampuannya menambat hati pembaca untuk membelinya. Antara ciri-ciri novel komersial ialah mempunyai tema cerita yang banyak menekankan persoalan cinta yang sememangnya memenuhi ruang kehidupan muda-mudi, ceritanya santai yang tidak meninggalkan kesan pembacaan, dan plot cerita yang mudah yang tidak perlu menggunakan daya intelektual yang tinggi untuk memahaminya. Biasanya novel komersial juga merupakan novel popular yang diminati oleh golongan remaja. Novel intelektual pula ialah novel yang memberi banyak maklumat dalam pelbagai bidang ilmu yang dapat menambah pengetahuan pembaca. Tema dan persoalannya serius yang memaparkan tentang keagungan tamadun bangsa, mengandungi unsur falsafah dan pemikiran, dan plot cerita yang kompleks yang memerlukan daya berfikir yang tinggi daripada pembaca untuk memahaminya. Dengan membaca novel intelektual, pembaca akan mendapat kesan intelektual yang tinggi yang dapat memberi manfaat kepada kehidupan. | Lain-lain | 08.01.2010 |