Yang manakah subjek dan predikat dalam ayat ini? Para petani giat menanam pokok durian ini kerana harganya mencecah RM40 sekilogram. moga saya dapat jawapan secepat mungkin. terima kasih | Pembagian subjek dan pradikat dalam ayat "Para petani giat menanam pokok durian ini kerana harganya mencecah RM40 sekilogram." "Para petani" ialah subjek, manakala "giat menanam pokok durian ini kerana harganya mencecah RM40 sekilogram" ialah pradikat. | Tatabahasa | 12.02.2022 |
1. Pilih ayat-ayat yang menggunakan perkataan "segar" dengan betul. I. Peristiwa lucu itu masih segar dalam ingatannya. II. Ayah suka makan buah-buahan segar untuk mengalas perut. III. Udara di kaki bukit pada waktu pagi sungguh nyaman dan segar. IV. Badan Ali kembali segar setelah dia mandi di perigi itu. A. I dan IV sahaja B. I, II dan III sahaja C. II, III dan IV sahaja D. I, II, III dan IV 2. Pilih ayat-ayat yang menggunakan perkataan "mencecah" dengan betul. I. Cikgu Ujang menegur Saidin kerana rambutnya mencecah telinga. II. Adik mencecah hujung jari telunjuknya pada permukaan air yang sejuk itu. III. Datuk mencecah biskut dengan air kopi sewaktu minum petang. IV. Air sungai itu telah mencecah paras bahaya. A. I dan III sahaja B. I, II dan IV sahaja C, II, III dan IV sahaja D. I, II, III dan IV | Sdr. Ong, Bagi soalan pertama jawapannya ialah D, semuanya betul. Manakala soalan kedua pula jawapannya ialah B, i,ii,dan iv. | Tatabahasa | 08.04.2010 |
maksud mececah | Mencecah bermaksud menyentuh sedikit. | Makna | 29.05.2013 |
MAKNA BAGI PERKATAAN MENYAPU DAN MENYIRAM. | Makna bagi perkataan menyapu ialah 1. membersihkan lantai dgn sapu, 2. mengesat, menghapuskan, mengusap, 3. menyapunyapu, mengesat-ngesat, menggosok-gosok, mengusap-usap, 4. mencecah ke (kerana terlalu tinggi), 5. melumas (dgn cat, kapur, dll): 6. melumur (bedak ke muka dll), 7. bp melenyapkan sama sekali (wang dll), mengambil habis, mengambil (memperoleh, memenangi, dsb) kesemuanya. Menyiram pula ialah 1. mencurahkan air dll pd, mendirus, menjirus 2. menjirus dgn air dll (supaya bersih). Namun penggunaan kata ini dalam ayat adalah bergantung pada penggunaan konteks dan situasi. | Makna | 02.02.2010 |
saya hendak bertanya definisi yang betul dan tepat tentang 1. warga tua 2. penjagaan sosial 3. hubungan sosial 4. pengurusan kebajikan ribuan terima kasih atas bantuan yang telah diberikan. sekian. | 1. warga tua : Definisi warga tua di Malaysia ialah apabila seseorang mencecah usia persaraan iaitu pada 55 atau pilihan persaraan pada 56 tahun. 2. penjagaan sosial : menjaga pergaulan 3. hubungan sosial : hubungan kemasyarakatan 4. pengurusan kebajikan : perihal mengurus sesuatu yg membawa kebaikan | Lain-lain | 05.01.2009 |
1.Adik menyarungkan kasut dekat kakinya lalu keluar dari rumah. 2.Walaupun sudah berusia,namun datuk masih teguh ke hutan mencari akar kayu. 3.Amboi,murah sekali telefon bimbit di kedai ini! 4.Sebaik sahaja kami melalui jalan ini,bangunan itu belum terbakar. 5.Pendapatannya sudah mencecah RM 10 000 sebulan sejak berniaga. 6.Linie yang sedang demam panas itu sering mengacau dengan memanggil-manggil nama ayah. 7.Pokok-pokok yang tumbang itu menahan perjalanan kenderaan. Soalan-soalan tersebut mana salah? | Semua soalan tersebut tidak gramatis, contohnya ayat pertama: penggunaan frasa 'dekat pada kaki' dan 'keluar dari rumah' adalah tidak tepat. Sepatutnya ayat tersebut menjadi: Adik menyarungkan kasut lalu keluar daripada rumah. Untuk soalan kedua hingga ketujuh, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, Edisi Ketiga. | Tatabahasa | 18.02.2012 |
Salam sejahtera, Adakah "Sigung" sesuai digunakan untuk terjemahan "Nudge"? Perkataan ini digunakan dalam tetapan aplikasi/perisian. Terima kasih. | Merujuk kepada Kamus Inggeris-Melayu Dewan maksud Nudge ialah menyiku, menyigung, menolak perlahan-lahan, menggerakkan, atau hampir mencecah. Perkataan Sigung tidak sesuai digunakan kerana memberi maksud menyigung menyentuh kuat-kuat atau menghentak dgn siku, menyiku, atau menyinggung. Sila berikan konsep yang digunakan dalam aplikasi tersebut supaya kami dapat memberikan padanan yang sesuai bagi aplikasi tersebut. | Makna | 29.07.2018 |
Adakah padanan (main encat - stone skipping/skimming) diambil berdasarkan cadangan saya yang dimajukan dalam bentuk soalan melalui Khidmat Nasihat DBP yang bertarikh 14/08/2018 dan dijawab pada 17/08/2018? | Hasil carian dalam data kami, perkataan encat diambil daripada glosari dialek pahang yang bermaksud pergerakan batu leper yang mencecah permukaan air secara berulang-ulang kali setelah dilayangkan batu leper. | Lain-lain | 05.11.2018 |
Perbezaan perkataan hasil kutipan dan kutipan hasil serta cara penggunaannya di dalam ayat. | Kedua-dua perkataan “hasil kutipan” dan “kutipan hasil” boleh digunakan bergantung pada konteks penggunaan dalam ayat. Contohnya, “Dia mencatat kutipan hasil jualan harian tertinggi pada hari Selasa.” dan “Hasil kutipan daripada jualan amal itu mencecah sebanyak RM3,000.00.”. Untuk maklumat lanjut yang berkaitan dengan makna “hasil” dan “kutipan”, sila rujuk Kamus Dewan Perdana (DBP, 2021), halaman 787 dan 1241. | Lain-lain | 28.07.2025 |
Dia menyapu jem pada roti atau Dia menyapukan jem pada roti Apakah perbezaan antara ayat -ayat di atas? | Kata dasar “sapu” boleh menerima awalan meN- dan meN-…-kan. Namun dalam konteks ayat yang diberikan, perkataan “menyapu” tidak sesuai digunakan. Kamus Dewan Perdana (DBP, 2021), halaman 1964 - 1965, menyatakan perkataan “menyapu” bermaksud “membersihkan sesuatu, mengesat, mengelap dan mencecah.”, manakala perkataan “menyapukan” bermaksud “melumurkan sesuatu kepada sesuatu yang lain.” Oleh yang demikian, ayat yang lebih tepat ialah “Dia menyapukan jem pada roti.” Untuk maklumat lanjut yang berkaitan dengan ayat, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2014), halaman 432 - 575. | Tatabahasa | 15.10.2024 |