Yang mana satu lebih tepat: 1) "Jika bumi mendekati atau menjauhi matahari sebanyak sepuluh peratus, semua benda hidup di bumi 'akan menjadi sama ada'mati terlecuh atau beku" atau 2) "Jika bumi mendekati atau menjauhi matahari sebanyak sepuluh peratus, semua benda hidup di bumi 'sama ada akan menjadi' mati terlecuh atau beku" | Yang lebih tepat ialah : Jika bumi mendekati atau menjauhi matahari sebanyak sepuluh peratus, semua benda hidup di bumi akan sama ada mati terlecuh atau menjadi beku. | Tatabahasa | 06.03.2008 |
Adakah ayat ini betul? Budak yang mendekati orang tua itu bertanyakan asal-usul peristiwa yang berlaku. | Ayat yang betul ialah "Budak yang mendekati orang tua itu bertanyakan rentetan/punca peristiwa yang berlaku." | Tatabahasa | 21.07.2013 |
Salam sejahtera Pertama sekali, syabas saya ucapkan pada PRPM kerana berjaya mendekati masyarakat dengan lelaman interaktifnya. Soalan saya berkenaan penggunaan perkataan 'gejala'. Menurut Kamus Dewan, gejala bermaksud sesuatu hal yg menjadi tanda akan terjadinya sesuatu, tanda-tanda akan berlakunya sesuatu, atau keadaan yg menjadi tanda-tanda penyakit. Dewasa ini kita lihat ramai yang mengggunakan frasa "gejala sosial" atau "gejala seks rambang". Perkataan 'gejala' seakan-akan membawa maksud masalah. Apa ini dapat diterima? Terima kasih. | Menurut Kamus Dewan Edisi ke-4, gejala bermaksud: tanda-tanda (akan terjadinya sesuatu), alamat atau petanda. Menurut contoh yang terdapat dalam kamus dan istilah, memang padanan yang kerap diberikan adalah gejala (petanda) yang membawa masalah. Walau bagaimanapun, ia boleh digunakan untuk maksud yang bukan mendatangkan masalah seperti gejala klinikal dan gejala tunggal (istilah perubatan). | Tatabahasa | 06.02.2009 |
Salam, sila jelaskan maksud perkataan: terseok-seok Contoh ayat: Dengan langkah terseok-seok, nenek tua itu mendekati keramaian. Saya telah mencari dalam kamus dewan edisi 3 dan juga melalui carian kata tetapi tidak menemui maksud perkataan ini. Saya dapati perkataan ini banyak digunakan dalam sebuah buku yang saya baca dan saya dapati penulis tersebut menggunakan perkataan ini berulang kali. Sila jelaskan maksud perkataan tersebut. Terima kasih. | Istilah ini tidak terdapat dalam mana-mana sumber rujukan kami. Mohon saudara menjelaskan lebih lanjut judul/tajuk buku yang saudara baca, nama pengarang dan syarikat penerbitan buku tersebut bagi membolehkan pihak kami membantu saudara dalam perkara ini. Kemungkinan perkataan tersebut seharusnya berengsot-engsot yang bermaksud bergerak (beralih) sedikit-sedikit (perlahan-lahan). | Istilah | 25.05.2010 |
Apakah ganti nama bagi raja yang zalim. Contoh ayat: Para pengawal membawa Sarah kepada Raja Mesir. Apabila beliau mendekati Sarah, tiba-tiba tangan dan kakinya lumpuh. **Raja Mesir dalam cerita ini digambarkan sebagai seorang raja yang zalim dan suka merampas isteri orang** | Kata ganti nama yang tepat ialah baginda. Baginda merupakan kata ganti nama ketiga yang digunakan untuk raja, sultan atau kerabat diraja. Untuk keterangan lanjut atau contoh sila rujuk Tatabahasa Dewan. | Tatabahasa | 12.04.2013 |
Mohon beri penjelasan lanjut/ perbezaan antara rujukan dan akses | rujukan bermaksud keterangan lanjutan mengenai sesuatu perkara atau sumber untuk dirujuk manakala akses bermaksud: 1. proses atau cara untuk mencapai (memperoleh, menggunakan) sesuatu data, maklumat, capaian 2. peluang untuk mendekati seseorang. | Tatabahasa | 13.10.2011 |
Adakah betul untuk menggunakkan ungkapan capai hati? Terima kasih | Ungkapan capai hati tidak terdapat dalam data kami. Dalam Kamus Dewan, capai bermaksud ; mencapai 1. hendak memegang atau mengambil (dengan menghulurkan tangan dll); 2. bertemu dengan, sampai ke: Jerman berusaha menghalang bahan-bahan perbekalan dan alat-alat perang ~ Army ke-5; ia bernasib baik dapat meneruskan pelajarannya sehingga ~ tingkatan lima; 3. mendekati, memikat (hati dll): dengan bahasa Belanda, kami tidak lekas ~ jiwa manusia yang bersahaja itu, tetapi dengan bahasa Melayu lancar sekali; 4. menjayakan (harapan, rancangan, tujuan, dll), menghasilkan, menjadikan kenyataan (sesuatu matlamat dll): ia terpaksa memberanikan hatinya untuk ~ cita-cita itu; 5. mendapat (memperoleh, menghasilkan) sesuatu menerusi usaha: bagi ~ pengeluaran yang sebanyak itu, kita harus melipatgandakan bilangan buruh. | Tatabahasa | 16.09.2013 |
Salam, Saya telah menulis buku yang berjudul Tip dan Trik Usrah. Mohon pandangan dan nasihat pihak Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia berhubung penggunaan kalimah "trik" dalam konteks budaya dan kesesuaian bahasa. Apakah trik itu dikaitkan dengan konotasi negatif sekiranya disandarkan kepada perkara baik. Sebagai contoh Trik Usrah. Mohon pandangan pihak Tuan/Puan Terima kasih. | Dalam Kamus Dewan tip bermaksud petua, manakala trik bermaksud teknik atau membuat sesuatu dengan cepat dan betul. Trik dalam bahasa percakapan bermaksud helah dan dalam penggunaan harian penggunaan trik lebih banyak menggambarkan maksud tersebut. Oleh itu, dalam hal menamakan buku kami cadangkan pihak tuan menggunakan nama lain yang lebih tepat dan santun seperti Panduan Mendekati Usrah. | Tatabahasa | 03.07.2012 |
Assalamualaikum wr.wb. dan salam 1Malaysia, Tuan, Saya ada beberapa soalan. 1. Apakah maksud serta perbezaan kata berikut: -Pelan Strategi -Pelan Taktikal -Pelan Operasi -Pelan Tindakan 2. Apakah pula maksud serta perbezaan kata berikut: -Teknik -Cara-cara -Kaedah -Pendekatan 3. Apa pula perbezaan kata: -Rangkai kata -Sari kata -Kota kata 4. Apakah maksud 'keanekaragaman susuk ayat'? Mohon penjelasan dengan segera. Terima kasih. Wassalam Ahmad Nasrun Kudat Sabah 2. | 1. Pelan strategi bermaksud rancangan yg teratur (yg memperhitungkan pelbagai faktor) utk mencapai matlamat atau kejayaan. Pelan taktikal berkaitan dgn taktik yg digunakan utk menjayakan sesuatu rancangan atau mencapai tujuan. Pelan operasi berkait dengan perjalanan atau kegiatan yang dilaksanakan. Pelan tindakan ialah langkah-langkah tindakan yg diambil utk mencapai sesuatu tujuan. 2. Teknik - 1. pengetahuan yg berkaitan dgn pembuatan barang-barang hasil industri (spt jentera, kenderaan, bangunan, dll): kita sekarang hidup dlm zaman ~ dan sains; 2. kaedah mencipta sesuatu hasil seni (muzik, karang-mengarang, dll): ~ melukis sedikit sahaja diajar di sekolah rendah. Cara-cara - 1. berbagai-bagai cara; 2. aturan-aturan, contoh-contoh; 3. upacara. Kaedah - cara atau peraturan membuat sesuatu (terutamanya yg bersistem atau yg biasa); ~ mengajar cara mengajar (berdasarkan prinsip-prinsip tertentu). Pendekatan - 1. perihal (perbuatan dsb) mendekati atau mendekatkan: ~ diri kpd Allah; 2. kaedah (cara, langkah-langkah, dsb) yg diambil bagi memulakan dan melaksanakan tugas (mengatasi masalah dll): dlm beberapa aspek, mereka terpaksa berbalik semula kpd ~ yg digunakan ketika mereka mula berusaha meningkatkan pembangunan dan kemajuan negara mereka. 3. Rangkai kata ialah kelompok beberapa kata. Sari kata ialah terjemahan dialog dlm filem yg disiarkan serentak dgn tayangan filem berkenaan. Kota kata (yang tepat ialah mengotakan) bermaksud menepati (melaksanakan) janji dll. 4. Keanekaragaman susuk ayat bermaksud bentuk atau susunan ayat yg beraneka ragam. | Istilah | 02.03.2010 |
APAKAH MAKSUD STRATEGI?ADAKAH SAMA MAKSUD DENGAN CARA,KAEDAH DAN PENDEKATAN? | Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, disertakan maksud keempat-empat istilah tersebut untuk makluman saudara, iaitu: strategi ditakrifkan sebagai 1. ilmu tentang cara-cara merancang dan melaksanakan tindak-tanduk peperangan, ilmu siasat perang; 2. siasat perang, taktik perang; 3. bp siasat (muslihat) utk mencapai sesuatu maksud; 4. rancangan yg teratur (yg memperhitungkan pelbagai faktor) utk mencapai matlamat atau kejayaan; ~ dua (tiga) serampang strategi yg terdiri drpd dua (tiga) rancangan atau pendekatan yg utama yg dilaksanakan sekali gus atau secara bersepadu. Cara bermaksud 1. aturan (sistem, jalan) membuat sesuatu: kalau sudah tahu ~ menyimpan wang di bank senanglah; 2. gaya (spt bentuk, fesyen, rupa, dll): cerita itu banyak mengikut ~ drama Shakespeare; 3. laku, macam, ragam, seperti: elok kita selesaikan perkara ini ~ adik-beradik sahaja; 4. adat resam, keadaan (aturan) yg lazim dilakukan, kebiasaan: tiap-tiap satunya menimbulkan suatu ~ hidup yg tertentu dan berhubung dgn ini pula terdapat larangan-larangan; 5. dlm bahasa atau loghat: bertanya ~ Cina. Kaedah ialah cara atau peraturan membuat sesuatu (terutamanya yg bersistem atau yg biasa); ~ mengajar cara mengajar (berdasarkan prinsip-prinsip tertentu). Pendekatan bermaksud 1. perihal (perbuatan dsb) mendekati atau mendekatkan: ~ diri kpd Allah; 2. kaedah (cara, langkah-langkah, dsb) yg diambil bagi memulakan dan melaksanakan tugas (mengatasi masalah dll): dlm beberapa aspek, mereka terpaksa berbalik semula kpd ~ yg digunakan ketika mereka mula berusaha meningkatkan pembangunan dan kemajuan negara mereka. | Istilah | 15.01.2010 |