1. "Kepala" seluar itu telah koyak. Penggunaan "kepala" dalam ayat ini betul ? Atau ialah Bahagian atas seluar? 2. Hei , jangan bermain dengan mancis! Penggunaan kata seru " Hei " dalam ayat ini betul ? Terima kasih. | 1. Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, penggunaan perkataan kepala pada pakaian selalunya merujuk kain (sarung), Oleh itu, dicadangkan penggunaan untuk seluar ialah bahagian atas seluar. 2. Hei bukan kata seru. Ayat ini merupakan ayat larangan yang menggunakan kata larangan jangan sebelum kata kerja dengan tujuan menegah seseorang melakukan sesuatu . | Tatabahasa | 28.06.2010 |
Salam 1.Mohon pihak tuan untuk jelaskan ayat perintah & contohnya. 2.Saya keliru dengan kata dasar yang menerima Imbuhan apitan .. Apakah ejaan yang betul bagi perkataan --menaikkan --kebanyakkan ---masukkan ---masukkan (Bagaimanakah mengetahui ejaan itu ada 1 K atau 2 K ? Terima kasih. | Mengikut Tatabahasa Dewan Edisi Baharu, ayat perintah ialah ayat yang diucapkan dengan tujuan untuk menimbulkan sesuatu tindakan. Ayat perintah boleh dibahagikan kepada 4 jenis berikut. 1. AYAT SURUHAN Ayat suruhan ialah ayat yang diucapkan dengan tujuan memberi perintah atau arahan.Dalam ayat suruhan subjek ialah kata ganti nama orang kedua seperti awak,kamu,engkau, dan selainnya yang biasanya digugurkan. Contohnya: Pergi kamu dari rumah ini! 2. AYAT LARANGAN Ayat larangan ialah ayat yang menggunakan kata larangan seperti jangan,usah atau tak usah sebelum kata kerja dengan tujuan menegah seseorang melakukan sesuatu. Contohnya: Jangan ambil harta orang. 3. AYAT SILAAN Ayat silaan ialah ayat yang menggunakan kata silaan seperti sila hantar jemput sebelum kata kerja dengan tujuan menjemput atau mempersilakan seseorang. Lazimnya kata silaan digunakan pada permulaan ayat seperti contoh berikut: Sila serahkan borang permohonan tersebut ke pejabat. 4. AYAT PERMINTAAN Ayat permintaan ialah ayat yang menggunakan kata permintaan,seperti minta dan tolong dengan tujuan memohon permintaan dan pertolongan seperti yang terdapat dalam contoh berikut : Minta kamu semua bertenang. Cara untuk mengetahui sama ada perkataan tersebut 1 k atau 2 k ialah: Penggunaan satu k atau dua k dalam sesuatu perkataan bergantung pada apitan yang digunakan. Kata dasar yang berakhir dengan huruf k yang menerima apitan meN-...-kan akan menghasilkan kata kerja transitif menggalakkan. Tetapi hanya satu huruf k digunakan sekiranya menerima apitan peN-...-an. | Tatabahasa | 08.03.2016 |
Tajuk Soal: "Di satu pihak" atau "Pada satu pihak"? Selamat petang tuan DBP. Saya kurang pasti akan pemilihan antara dua frasa, "di satu pihak" atau "pada satu pihak". Satu ayat misal saya nukilkan daripada buku Warna dan Suasana Perancangan Bahasa Melayu di Malaysia (2000) oleh Awang Sariyan: (1) Ertinya saya tidak menitikberatkan soal wujudnya golongan pengguna bahasa Melayu tinggi yang sekali gus membayangkan kelas menegah atau atasan di satu pihak dan golongan pengguna bahasa Melayu rendah yang terdiri daripada kelas bawahan di satu pihak. Adakah frasa "di satu pihak" tepat akan peraturan kata sendi? Setahu saya, kata sendi "di" digunakan untuk menunjukkan tempat sesuatu benda atau orang berada. Walau bagaimanapun, saya merasakan bahawa "pada satu pihak" lebih ghalib digunakan orang marcapada, tetapi apakah rasional atau dasar di balik penggunaan itu? Penggunaan tersebut bersandarkan peraturan apa? Minta tuan tafsir soal ini. | Penggunaan yang betul ialah pada satu pihak. Kata sendi nama pada digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menunjukkan keterangan waktu atau tempat, dan digunakan dalam ungkapan ada + pada (manusia dan haiwan) dalam beberapa situasi tertentu serta sebagai perkataan yang terletak di hadapan kata nama yang menunjukkan tempat bagi perbuatan sesuatu kata kerja. | Tatabahasa | 14.08.2016 |
Askm.Saya ingin bertanyakan beberapa soalan mengenai maksud arahan dan soalan:ARAHAN:-Tulis perkataan BETUL pada penyataan betul dan SALAH pada penyataan salah dibawah. Soalan: Ayah,boleh saya tolong ayah mencuci kereta. Jawapan - BETUL. 1. Apakah maksud penyataan dalam konteks arahan ini? 2. Perlukah ayat (soalan)perlu diletak tanda soal di akhir ayat?(kerana tidak salah saya hanya ada perkataan kata tanya sahaja perlu diletak ini kerana ia adalah ayat penyata). 3. Kalau perlu diletak tanda baca,adakah ayat itu salah dan jawapannnya adalah SALAH dalam konteks arahan?kenapa? terima kasih. | Puan Norsyariza,Berdasarkan ayat yang diberikan oleh puan, iaitu: Ayah, boleh saya tolong ayah mencuci kereta. (1) Dalam menentukan jenis ayat ini, puan disarankan agar mengenal pasti jenis-jenis ayat dalam bahasa Melayu. Ayat bahasa Melayu boleh dibahagikan kepada empat jenis, iaitu (i) ayat penyata, (ii)ayat tanya, (iii) ayat perintah dan (iv) ayat seruan.(i) Ayat penyata ialah ayat yang diucapkan dengan maksud membuat satu pernyataan. Ayat penyata mempunyai tujuan menyatakan atau memberikan keterangan tentang sesuatu hal. Contoh ayat: Abdullah sedang tidur.(ii) Ayat tanya ialah ayat yang digunakan untuk tujuan menanyakan sesuatu hal. Contoh ayat: Siapakah orang itu?(iii) Ayat perintah ialah ayat yang digunakan dengan tujuan untuk menimbulkan sesuatu suruhan, larangan, silaan dan permintaan. Ayat perintah boleh dibahagikan kepada empat jenis berikut:(i) Ayat suruhan (ii) Ayat larangan (iii) Ayat silaan dan (iv) Ayat permintaan. Ayat suruhan ialah ayat yang digunakan dengan tujuan memberi perintah atau arahan. Contoh ayat: Keluar kamu dari bilik ini!. Ayat larangan ialah ayat yang menggunakan kata larangan seperti jangan, usah, atau tak usah sebelum kata kerja dengan tujuan menegah seseorang melakukan sesuatu. Contoh ayat: Jangan ambil harta orang. Ayat silaan ialah ayat yang menggunakan kata silaan seperti sila atau jemput sebelum kata kerja dengan tujuan menjemput atau mempersilakan seseorang. Contoh ayat: Sila serahkan borang ke pejabat. Ayat permintaan ialah ayat yang menggunakan kata permintaan, seperti minta dan tolong, dengan tujuan memohon permintaan dan pertolongan. Contoh ayat: Tolong tutup pintu itu. Ayat seruan ialah ayat yang disertai kata seru dan diakhiri dengan tanda seru (!). Contohnya: Aduh, sakitnya kepalaku! Berdasarkan ayat puan seperti di atas, maka jelaslah ayat ini merupakan ayat permintaan. Hal ini demikian, kerana anaknya memohon permintaan untuk menolong ayahnya mencuci kereta. Tambahan kata yang digunakan ialah "tolong". (2) Contoh ayat yang puan berikan ini tidak perlu diletakkan tanda tanya (?) kerana ayat ini bukan ayat tanya atau ayat seruan. | Tatabahasa | 23.03.2009 |