Salam sejatera. Saya medapati ramai guru sering menegaskan bahawa perkataan yang indah dan klasik tidak patut digunakan dalam PMR atau SPM tetapi saya berpendapat bahawa pelajar perlu dipupuk untuk mempelajari dan mencintai bahasa melayu demi memartabatkan bahasa kebangsaan kita bukan merisaukan tanggapan pemeriksa semata-mata . Jika pelajar tidak dapat meggunakan perkataan bahasa melayu yang berkualiti dalam peperiksaan, mereka tidak dapat menggunakannya lagi selepas alam persekolahan. Rentetan daripada itu, banyak perkataan bahasa melayu tidak akan dikenali oleh rakyat kita sendiri dalam dunia yang semakin meminggirkan tradisi. Pelajar sering dimomokkan dengan tanggapan pemeriksa yang tidak gemar melihat perkataan indah atau klasik justeru menyebabkan mereka tidak ingin mempelajari perkataan baru dan berpuas hati dengan ilmu yang dimiliki. Jika setiap pelajar perlu menjadikan kamus dbp sebagai rujukan utama, apa salanya jika menggunakan perkataan yang terdapat dalam kamus yang menjadi akar tunjang kepada bahasa melayu? Jika benar perkataan sedemikian tidak wajar digunakan, mengapakah perkataan ini wujud dalam kamus? Jika perkataan bombastik tidak sesuai dalam karangan peperiksaan, bilakah perkataan-perkataan ini sesuai digunakan? Tujuan saya bukan untuk berperang pena tetapi sebagai anak malaysia yang bertanggungjawab saya agak risau akan situasi ini. Saya berharap pihak dbp dapat memberi penjelasan. Sekian. Bahasa Jiwa Bangsa | Penulisan yang baik lazimnya terletak pada kekuatan wacana yang dikupas dan diolah dengan baik, disokong dengan pembentukan ayat yang berkesan melalui kosa kata yang tepat dan indah. Kekuatan kosa kata yang baru atau melankolik tidak menjamin penulisan yang baik. | Istilah | 17.08.2010 |
Bagaimana membezakan kata penegas "tah" dengan "lah" dalam menegaskan bahagaian ayat? | 'kah' dan 'tah' ialah partikel untuk menyatakan pertanyaan dan soalan. Yang membezakan antara dua kata penegas ini ialah 'tah' untuk menyatakan pertanyaan kepada diri sendiri. | Tatabahasa | 07.09.2008 |
Bagaimana menulis nama perjanjian. Perlukah diitalikkan atau bagaimana? Contoh: Penulis ingin menegaskan, Injil khususnya perjanjian baru iaitu Gospel of Matthew, Gospel of Mark, Gospel of Luke, dan Gospel of John, hanya kata-kata Jesus. | Nama perjanjian tidak perlu ditulis dengan huruf condong. | Ejaan | 26.03.2012 |
Ingin meminta tunjuk ajar bagaimana untuk menerangkan kepada murid sekolah rendah cara menggunakan kata penegas dalam ayat. | Kata penegas ialah sejumlah perkataan yang memberikan penekanan pada bahagian-bahagian tertentu dalam ayat. Terdapat dua jenis kata penegas, iaitu pertama yang menegaskan hanya frasa predikat, contohnya -kah, -tah dan -lah; dan kedua yang menegaskan subjek dan predikat ayat, contohnya juga, jua dan pun. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 261. | Tatabahasa | 18.04.2013 |
Apakah kata berlawanan untuk PAGI. Banyak bahan rujukan di pasaran memberikan jawapan MALAM tetapi pihak sekolah menegaskan jawapan yang tepat ialah PETANG. Minta pencerahan. Terima Kasih. | Pertentangan perkataan tidak berlaku pada semua perkataan. Perkataan lawan/antonim pagi perkataan pagi bukanlah satu lawan satu seperti hitam lawannya putih, tinggi lawan rendah. Perkataan pagi berantonim dengan maghrib, malam, petang, senja. | Tatabahasa | 14.10.2014 |
Tuan, saya ingin bertanya frasa : dalam sekelip mata. Dalam sekelip mata sudah hari kedua. Adakah frasa ini diterima dalam ayat ini? Saya ingin menegaskan bahawa hari berlalu dengan sangat cepat, oleh itu saya guna dalam sekelip mata. Betulkah ayat ini dengan penggunaan dalam sekelip mata? Ribuan terima kasih saya ucapkan terlebih dahulu kepada pihak tuan. | Penggunaan ayat "Dalam sekelip mata sudah hari kedua" betul. | Tatabahasa | 09.02.2022 |
ayat tanya yang meliputi partikel -kah dan -lah..apa fungsinya.. terima kasih | Partikel lah digunakan untuk menegaskan kata yang mendahuluinya serta terikat dengannya. Contohnya, Makanlah kuih itu. Partikel kah pula merupakan penegas untuk mementingkan predikat dalam ayat tanya. Contohnya, Bukankah hari ini hari ulang tahunnya? | Tatabahasa | 31.03.2010 |
salam,,,,saya nak tanya apa makna ASERTIF.. | Perkataan ini tiada dalam rujukan kami. Bagaimanapun merujuk Kamus Bahasa Inggeris-Bahasa Melayu, assert merujuk kepada menyatakan, menegaskan. Untuk keterangan lanjut sila rujuk buku yang berkenaan. | Makna | 04.05.2009 |
Saya ingin mendapatkan khidmat nasihat berhubung penggunaan perkataan "lah" dalam ayat. | Penggunaan kata penegas lah ialah partikel atau kata tugas yg digunakan untuk menegaskan kata yang mendahuluinya serta terikat dengannya. Contoh; Makanlah kuih itu. Janganlah kamu berasa segan. | Tatabahasa | 12.07.2016 |
Apakah fungsi kata -nya dalam perkataan "seterusnya" dan "esoknya" | Fungsi kata "nya" dalam perkataan "seterusnya" dan "esoknya" bermaksud untuk menegaskan atau menguatkan sesuatu maksud itu. | Tatabahasa | 28.08.2009 |