Saya ingin mendapat kepastian samada menerimapakai atau menerima pakai Terima kasih | Istilah yang betul ialah menerima pakai yang ditulis terpisah sebagai dua perkataan. | Istilah | 18.08.2009 |
Tun Dr. Mahathir Mohamad menggunakan perkataan dianya dalam blognya. Oleh sebab beliau seorang negarawan dan sangat mencintai bahasa Melayu, ada pendapat mengatakan kita patut menerima pakai perkataan dianya yang diketengahkan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia itu. Mohon penjelasan. | Penggunaan yang betul ialah 'ia' , 'dia', 'nya' kerana kata-kata ini merupakan kata ganti nama diri orang ketiga, manakala kata 'dianya' tidak boleh digunakan kerana kedua-duanya ialah kata ganti nama diri orang ketiga. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Keempat, halaman 86 - 87. | Tatabahasa | 19.09.2009 |
salam tuan kenapa kata adjektif tidak boleh menggunakan imbuhan memper...kan apa rasionalnya. | Hal ini telah ditetapkan dalam buku Tatabahasa Dewan. Oleh itu, kita menerima pakai panduan dalam buku tersebut. Lihat buku Tatabahasa Dewan, halaman 210 Awalan memper-... digunakan dengan kata adjektif untuk membawa maksud menjadikan lebih atau bertambah seperti memperbesar. Dalam hubungan ini, penggunaan bentuk kata adjektif dengan apitan memper-...-kan seperti memperbesarkan dianggap tidak tepat. | Tatabahasa | 02.03.2012 |
bagaimana hendak membezakan penggunaan 'baru' dan 'baharu'? | Kamus Dewan edisi keempat menerima pakai penggunaan baru dan baharu adalah sama dalam konteks 'new' dalam bahasa Inggeris seperti tahun baru atau tahun baharu. Namun begitu, baru dalam konteks 'just' dalam bahasa Inggeris hanya merujuk kepada baru dalam bahasa Melayu. Hanya perkataan baharu boleh menerima apitan memper-...-i iaitu memperbaharui. | Tatabahasa | 23.02.2011 |
Ingin tahu tafsir perkataan yang betul" Production" yang digunakan dalam penghasilan audio video. Apabila saya membuat semakan "Produksi" (Bahasa indonesia) Cth: Produksi, pra-produksi, pasca produksi Jika diguna perkataan "Penerbitan" pula sering dikaitkan dengan pencetakan atau "Publication". Adakah perkataan Produksi Audio Video diterima pakai dalam Bahasa Malaysia yang betul? | Terjemahan pelbagai istilah production ke dalam bahasa Melayu ialah penerbitan, pengeluaran dan penyiaran mengikut konteks penggunaannya. Bidang Komunikasi Massa menerima pakai istilah penerbitan, manakala bidang Teknologi Maklumat menerima pakai istilah pengeluaran dan penyiaran. Berdasarkan konteks penggunaan istilah tersebut, padanan yang sesuai ialah production - penerbitan/pengeluaran, preproduction - prapenerbitan, postproduction - pascapenerbitan. Dalam Daftar Istilah MABBIM perkataan produksi digunakan di Indonesia tetapi Malaysia dan Brunei tidak menerima pakai istilah tersebut. | Istilah | 27.03.2012 |
Assalamualaikum, Dalam bukunya Sains Matematik dalam acuan bahasa Melayu dan Islam , Shaharir Mohamad Zain ada kemukakan istilah - istilah seperti barangkalianisme, nyataisme, hubunganisme, kebendaanisme, kejasmanisme. Saya tidak pernah dengar istilah - istilah ini dan saya ingin tahu jika DBP menerima pakai istilah tersebut dan mempunyai entri di PRPM? | Akhiran "-isme" digunakan bagi perkataan bermaksud fahaman. Contohnya, nasionalisme, komunisme, sosialisme.Untuk makluman tuan, buku Sains Matematik dalam Acuan Bahasa Melayu dan Islam karya Shaharir Mohamad Zain,bukan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Istilah yang tuan senaraikan, iaitu barangkalianisme, nyataisme, hubunganisme, kebendaanisme, kejasmanisme tidak ada dalam pangkalan DBP. | Makna | 16.10.2017 |
merujuk soalan 3 yang dimaksudkan adalah sekiranya bahasa inggeris (b.i),good afternoon merujuk waktu selepas jam 12.01 tengah hari hingga ptg, manakala good evening antara jam 7mlm-12. soalannya di sini, adakah tepat sekiranya b.M juga menerima pakai sistem sebegitu?? kerana tengah hari dlm b.i merujuk hanya jam 12 noon sahaja | Dalam bahasa Melayu, terdapat sistem yang tersendiri. Waktu pagi dari pukul 1.00 hingga 11.59 pagi, waktu tengah hari adalah di antara pukul 12.00 hingga 1.59 tengah hari, dan waktu petang dari pukul 2.00 hingga 6.59 petang. Bagi waktu malam pula ialah pukul 7.00 hingga 11.59 malam dan dari pukul 12.00 hingga12.59 ialah waktu tengah malam. | Lain-lain | 06.10.2010 |
Saya merupakan pelajar Sarjana yang menuntut di Universiti Malaysia Sabah. Saya mempunyai satu kekeliruan istilah iaitu Adakah istilah Teknologi Maklumat dan Komunikasi sama makna dengan istilah Teknologi Komunikasi Maklumat? | Istilah yang betul ialah teknologi maklumat dan komunikasi atau singkatannya ICT yang menerima pakai singkatan dari sudut universal. | Istilah | 29.03.2009 |
TERJEMAHAN Terdapat beberapa laman web yang menterjemahkan 'setting' kepada 'seting' sbg contoh: http://www.microsoft.com/windowsphone/ms-my/howto/wp7/start/recommended-settings-in-phone-setup.aspx Pandangan DBP dialukan. | Dalam daftar istilah DBP bidang Kesusasteraan dan Komunikasi Massa yang menerima pakai seting sebagai padanan daripada setting, manakala bidang-bidang lain menerima pelbagai istilah yang sesuai mengikut konteks dan penggunaan seperti pengesetan, latar dan persekitran. Untuk mendapatkan maklumat lanjut lihat http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=setting. | Istilah | 08.03.2012 |
Salam Tuan. Saya ingin bertanya. Adakah benar ejaan papaya dalam tulisan jawi ditulis sebagai ڤڤايا؟ Bukankah ia serapan Inggeris ڤاڤايا? | Ejaan bagi perkataan tiga suku kata atau lebih dengan pola kvkvkv dan v pada setia suku kata berbunyi [a], bunyi vokal [a] pada suku kata pertama hendaklah ditulis tanpa huruf alif. Hukum /a/ tiga suku kata atau lebih ini terpakai pada kata Melayu jati. Kami beranggapan kata papaya telah diserap masuk dalam kata Melayu jati dan menerima pakai hukum ini. | Ejaan | 06.08.2018 |