Salam sejahtera, Meneroka ilmu atau menerokai ilmu? Bila boleh guna menerokai? Sila tunjuk ajar. Terima Kasih | Frasa yang betul ialah menerokai ilmu. Berdasarkan Kamus Dewan Perdana (DBP, 2021), halaman 2347, perkataan menerokai bermaksud mempelajari atau melibatkan diri dalam sesuatu bidang, kegiatan dan sebagainya sebelum mendalami dan menguasainya. | Makna | 02.07.2024 |
Betulkah ayat ini: Oleh itu, kita harus gunakan peluang ini untuk meneroka muzium tersebut. | Ayat yang betul ialah "Oleh itu, kita harus menggunakan peluang ini untuk meneroka muzium tersebut." | Tatabahasa | 11.04.2023 |
Maaf, jawapan yang PALING SESUAI ialah... A atau B? 1. Para pelabur dalam negara digalakkan untuk A. meneroka B. mencari peluang pelaburan di luar negara bagi memajukan perniagaan mereka. 2. Pelajar cemerlang itu tidak dapat meneruskan ucapannya dalam majlis anugerah tersebut kerana perasaannya A. bergelora B. bercelaru melihat tetamu yang ramai. | 1. Meneroka dan dan mencari, kedua-duanya boleh melengkapkan ayat tersebut. Meneroka bermaksud menyelidiki untuk mengetahui sesuatu, biasanya yang belum diketahui lagi dan mencari bermaksud berusaha untuk mendapat (memperoleh) sesuatu. 2. Kedua-duanya betul kerana menggambarkan perasaan yang dialami. Bergelora bermaksud sangat gelisah (perasaan) dan bercelaru bermaksud tidak tentu arah. | Tatabahasa | 07.07.2011 |
1. AIDS ialah penyakit yang boleh (menghapuskan / melumpuhkan) keupayaan semula jadi badan untuk melawan penyakit. 2. Para pelabur dalam negara digalakkan untuk ( merintis / meneroka / mencari) peluang pelaburan di luar negara bagi memajukan perniagaan mereka. 3. Pelajar cemerlang itu tidak dapat meneruskan ucapannya dalam majlis anugerah tersebut kerana perasaannya (bergelora / bercelaru / bergemuruh / bergelombang) melihat tetamu yang ramai. Manakah jawapan yang betul? Terima kasih. | 1. AIDS ialah penyakit yang boleh (menghapuskan / melumpuhkan) keupayaan semula jadi badan untuk melawan penyakit. - perlu rujuk fakta sebenar tentang AIDS, jika menghilangkan sama sekali jawapan yang betul ialah menghapuskan, tetapi jika hanya melemahkan ... maka jawapannya ialah melumpuhkan. 2. Para pelabur dalam negara digalakkan untuk meneroka/mencari peluang pelaburan di luar negara bagi memajukan perniagaan mereka. 3. Pelajar cemerlang itu tidak dapat meneruskan ucapannya dalam majlis anugerah tersebut kerana perasaannya bergelora/bercelaru melihat tetamu yang ramai. | Tatabahasa | 04.07.2011 |
Assalamualaikum. sy Nor Idayu merupakan pelajar Universiti Putra Malaysia di bawah tajaan Kementerian Pelajaran Malaysia. Saya sedang membuat kajian tentang sensemaking guru perakaunan. Tajuk kajian adalah: Meneroka sensemaking guru Perakaunan tentang pengajaran dan pembelajaran atas talian. Akan tetapi, untuk term 'sensemaking' di dalam tajuk, saya mempunyai kesukaran untuk mencari term yang sesuai digunakan di dalam bahasa melayu. Saya berharap, pihak DBP dapat membantu saya dalam menggunaan istilah yang betul dan sesuai. Segala kerjasama daripada pihak tuan didahului dengan ucapan terima kasih | Kami mencadangkan padanan bahasa Melayu bagi perkataan “sensemaking” ialah “kepekaan deria” dan “pengamatan rasa”. | Penyemakan dan penterjemahan | 10.06.2020 |
Assalamualaikum wbt dan selamat sejahtera. Saya ingin bertanya boleh ke jika saya menterjemahkan 'sensemaking' sebagai "pertimbangan"? Selain kepekaan dan pengamatan? Hal ini kerana kajian ini untuk mendalami dan meneroka secara lebih mendalam proses pertimbangan (sensemaking) guru perakaunan tentang PdP secara atas talian? Tambahan pula, kajian ini menggunaan teori organisasi konsep pertimbangan daripada Weick 1995. Terima kasih Tn. | Kami mencadangkan padanan bahasa Melayu bagi perkataan “sensemaking” ialah “kepekaan deria” dan “pengamatan rasa". | Lain-lain | 06.10.2021 |
Soalan seperti di lampiran. | Ayat nombor 1, 4 dan 5 diberikan penambahbaikan, seperti yang berikut: 1. "Analisis faktor komponen utama menggunakan putaran varimax telah dijalankan ke atas 81 item untuk meneroka bilangan konstruk." 2. "Analisis faktor komponen prinsipal menggunakan putaran varimax dijalankan melibatkan 81 item dengan meneroka bilangan konstruk." Perkataan "buah" dalam konteks ini tidak perlu digunakan. 3. "Analisis faktor komponen prinsipal menggunakan putaran varimax dijalankan ke atas 81 item bagi meneroka bilangan konstruk." Perkataan "kepada" digantikan dengan "ke atas" mengikut konteks penggunaan dalam ayat. | Tatabahasa | 24.01.2025 |
saya seorang yang suka berkarya tetapi tidak berani menunjukkan bakat yang saya miliki...soalan,bagaimana saya boleh memberanikan diri untuk berdepan dengan pengkarya seperti saya ini????? | Pertamanya, saya ingin mengucapkan syabas kepada saudari kerana mempunyai keberanian untuk bertanya tentang bakat dan potensi diri kepada pihak kami. Sebagai seorang manusia, setiap daripada kita mempunyai bakat yang dianugerahkan oleh Tuhan kepada setiap hamba-Nya untuk kita melalui perjalanan hidup ini di muka buminya. Justeru, seseorang itu harus mencari dan meneroka bakat ada ada pada diri sehingga seseorang itu tahu bahawa itulah potensi dirinya yang sebenar dan seterusnya memberikan fokus kepada bakat tersebut. bakat yang dimaksudkan di sini ialah pelbagai jenis kemahiran semula jadi seperti memasak, bertukang, menjahit, dan termasuklah menulis atau mengarang. Memang semua perkara tersebut boleh dipelajari, namun bakat semula yang ada pada seseorang itu akan menjadi sesebuah hasil itu lebih baik dan tinggi mutunya. Persoalan di sini sekarang ialah saudari merasakan diri seorang mempunyai bakat dan saudari juga telah menulis, tetapi yang menjadi masalah sekarang ialah ketidak beranian saudari untuk menonjolkan karya saudari itu di khalayak ramai atau pembaca. Bagi kami, langkah pemula yang harus saudari ambil ialah yakin bahawa saudari harus menghantar karya saudari itu kepada mana-mana pihak penerbit. Langkah kedua, saudari boleh menyertai mana-mana bengkel penulis atau kursus penulisan yang dianjurkan oleh pihak-pihak tertentu. Langkah ketiga, saudari boleh mengikuti mana-mana seminar yang berkaitan dengan kesusasteraan atau penulisan. Semua langkah yang diberi ini akan menambahkan keyakinan saudari terhadap diri sendiri dan bakat yang ada. Seterusnya, saudari juga harus berani bertemu atau menelefon mana-mana pihak penerbit untuk bertanya dan berbincang tentang karya yang saudari hasilkan itu sama ada sesuai atau tidak untuk diterbitkan. Jika saudari tidak melakukan, bakat dan potensi diri saudari itu akan terhakis sedikit demi sedikit. Oleh itu saudari harus memulakan. Semua bergantung kepada diri saudari sendiri. Bagi pihak DBP, kami mencadangakan saudari merujuk laman web DBP untuk mengetahui bengkel, kursus atau seminar yang dianjurkan oleh pihak kami. Sekian, terima kasih. | Lain-lain | 06.10.2009 |
Ada dua tiga perkara, yang pertama tidak mudah masuk air, yang kedua sukar diganggu oleh teritip, yang ketiga, tahan lama.Oleh kerana ia menggunakan bahan daripada kulit kayu gelam, bot akan bertahan sangat lama. Saya tidak tahu berapa puluh tahun ianya mampu bertahan, tetapi ia sangat lama. Bot-bot yang dibuat semasa saya kecil sehingga sekarang masih boleh digunakan lagi. Begitulah istimewanya pengunaan kulit kayu gelam. Tetapi pokok gelam yang digunakan bukanya yang ada pada waktu sekarang, tetapi adalah kayu gelam asal yang lama, benihnya berasal dari sini. Kayu gelam ini kulitnya berbeza serta tahan lama. Kita mengharapkan generasi muda berminat untuk menyambung warisan dan tradisi nenek moyang kita sejak dahulu. Melatih anak-anak muda kita supaya minat dalam usaha membuat bot secara tradisional ini. Diharap ada pihak yang berani meneroka bidang ini dan menarik minat anak-anak muda kita dalam bidang ini. | Kami menghargai perkongsian maklumat tersebut dan terima kasih kerana memggunakan laman web kndbp.gov.my. | Lain-lain | 24.11.2021 |