Salam sejahtera.. Sekiranya merujuk kepada kamus, memang jelas bahawa perkataan-perkataan ini wujud dan mempunyai maksud yang tersendiri. Namun malangnya, apabila latihan tatabahasa dikemukakan. lain pula jawapan yang diterima: 1) memperakui - tidak wujud? 2) memperakukan - mengesahkah / certify 3) memperhamba - menjadikan seseorang sebagai hamba 4) memperhambakan - mengabdikan diri sebagai hamba 5) menghambakan (diri) - mengabdikan diri sebagai hamba 6) menghambai (??) - "tidak wujud"?? 7) mempersenjatai - memberikan/membekalkan senjata kepada 8) mempersenjatakan - tidak wujud 9) menghujani - mencurahkan/"bertanya" dengan banyak 10) menghujankan - melepaskan sesuatu Saya dimaklumkan bahawa perkataan "segala" adalah salah manakala perkataan "segala-galanya" adalah betul. Namun bukankah: 1) segala - semua 2) segala-galanya = semua-muanya (????) | 1) Memperakui = mengesahkan 2) Memperakukan = menyetujui serta menyokong 3) Memperhamba = memperlakukan sebagai hamba 4) Memperhambakan = menjadikan diri sendiri atau seseorang lain sebagai hamba kepada 5) Menghambakan (diri) = menjadikan hamba 6) Menghambai = mengabdi (kepada) 7) Mempersenjatai = melengkapi dengan senjata 8) Mempersenjatakan = tidak wujud, perkataan yang betul ialah bersenjatakan 9) Menghujani = 1. mendatangkan (melepaskan) dengan banyak-banyak (peluru dan lain-lain) dan 2. mendatangi sesuatu dengan banyak-banyak 10) Menghujankan = 1. menurunkan hujan pada, membasahkan seseorang atau sesuatu dalam hujan dan 2. (maksud kiasan) menjatuhkan atau melepaskan (bom, soalan, dll) banyak-banyak 11) Segala sama maksudnya dengan semua, sekelian, seluruh dan segenap. | Tatabahasa | 28.09.2012 |
Adakah perkataan "pengabdian" hanya digunakan dalam konteks positif, contohnya pengabdian kepada negara, pengabdian kepada Tuhan? Bolehkah saya gunakan perkataan ini dalam konteks seperti pengabdian rakyat di bawah raja yang zalim, pengabdian kepada kuasa autokrasi? | Pengabdian boleh digunakan untuk konteks positif dan negatif. Seseorang boleh juga mengabdikan dirinya kepada raja yang zalim. | Istilah | 05.09.2016 |
Selamat sejahtera.Nak tanya,apakah perbezaan antara ukhuwah dengan silaturahim? | Makna kata ukhuwah dan silaturahim ialah seperti yang berikut: ukhuwah kata nama perhubungan sebagai saudara; persaudaraan: Contoh penggunaan Masjid bukan hanya menjadi tempat kita mengabdikan diri kepada Allah, tetapi tempat mempererat ukhuwah sesama kita. Manusia yang baik ialah manusia yang dapat menjalin dan mempererat ukhuwah antara sesama manusia. ukhuwah Islamiah persaudaraan dalam Islam; silaturahim kata nama 1 hubungan persaudaraan melalui kekeluargaan dan perkahwinan: Contoh penggunaan Janganlah kamu memutuskan silaturahim dengan keluarga kalian, sekalipun mereka menyakitimu. 2 hubungan persaudaraan antara orang-orang Islam: Contoh penggunaan Sedekah dapat mengeratkan silaturahim sesama umat Islam. Daripada takrif tersebut dapatlah diketahui perbezaan dan persamaan makna kata tersebut. Untuk mendapatkan keterangan lanjut, sila rujuk Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020). | Makna | 03.12.2023 |
Selamat Pagi,Tuan/Puan. Apakah kesalahan bahasa dalam beberapa ayat yang di bawah? 1.Berbeza keadaannya dengan kita di negara bertuah ini, walaupun merasai nikmat keamanan dan kesejahteraan, namun kita sebenarnya menghadapi serangan musuh Islam. 2.Jika kita tidak mempertahankan cara pemikiran Islam, maka aliran pemikiran yang terpesong mudah mempengaruhi kita. 3.Ia semakin mempengaruhi umat Islam sehinggakan tidak lagi berkesempatan untuk berfikir amal baik apakah yang perlu dipersiapkan untuk hari esok. 4.Justeru, marilah kita bulatkan tekad, beristiqamah melaksanakan perintah Allah dan Rasul, berusaha mempersiapkan bekalan amalan baik dengan ibadah sebanyak-banyaknya di samping ikhlas mengabdikan diri kepada Allah SWT. 5.Setiap kita mempunyai peranan dan tanggungjawab untuk berjihad mempertahankan kesucian Islam di negara ini. 6.MUSLIM tidak hanya dianjurkan memerhatikan hubungan vertikalnya dengan Allah SWT, sebaliknya perlu menjaga hubungan horizontal dalam konteks hidup bermasyarakat. 7.Keperluan memelihara lidah daripada menyakiti saudaranya juga sangat penting hingga Imam al-Ghazali memperuntukkan satu bab dalam kitabnya, Ihya’ Ulumuddin. | - Berbeza keadaannya dengan kita di negara bertuah ini, walaupun merasai nikmat keamanan dan kesejahteraan, namun kita sebenarnya menghadapi serangan musuh Islam.
- Jika kita tidak mempertahankan cara pemikiran Islam, maka aliran pemikiran yang terpesong mudah mempengaruhi kita.
- Ia semakin mempengaruhi umat Islam sehinggakan tidak lagi berkesempatan untuk berfikir amal baik yang perlu dipersiapkan untuk hari esok.
- Selain itu, marilah kita bulatkan tekad, beristiqamah melaksanakan perintah Allah dan Rasul, berusaha mempersiapkan bekalan amalan baik dengan ibadah sebanyak-banyaknya di samping ikhlas mengabdikan diri kepada Allah SWT.
- Setiap kita mempunyai peranan dan tanggungjawab untuk berjihad mempertahankan kesucian Islam di negara ini.
- Orang Muslim tidak hanya dianjurkan memerhatikan hubungan vertikalnya dengan Allah SWT, sebaliknya perlu menjaga hubungan horizontal dalam konteks hidup bermasyarakat.
- Keperluan memelihara lidah daripada menyakiti saudaranya juga sangat penting hingga Imam al-Ghazali memperuntukkan satu bab dalam kitabnya, Ihya’ Ulumuddin.
| Tatabahasa | 01.07.2021 |