Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[me.nga.du] | مڠادو

Definisi : 1. mempertemukan (dua benda), meletakkan dsb berdekatan, mendekatkan (utk membandingkan dsb); 2. menyentuhkan (gelas dll), menghantukkan (gelas, kepala, dll), melagakan: ~ kepala ke dinding; ~ tuntung jarum prb menyatukan fikiran yg sukar itu sangat susah; 3. memperlagakan, menyabung: ~ ayam; 4. mempertandingkan, mem­perlawankan: ~ layang-layang; ~ tenaga mempertandingkan kekuatan; 5. mem­beri­tahu seseorang mengenai sesuatu (yg tidak menyenangkan dsb) utk mendapatkan per­tolongan (sokongan, simpati, dsb): dia ~ kpd ibunya apabila dia dicubit oleh kakaknya; dia tidak ~ kpd sesiapa tentang layanan buruk yg dialaminya itu; 6. meminta ke­adilan: ~ kpd hakim; ~ lidah berbantah; ~ nasib = ~ untung mencuba untung, beradu nasib; (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[me.nga.du] | مڠادو

Definisi : 1 menjadikan binatang (spt ayam) berlaga; melagakan: ~ ayam. 2 memberitahu seseorang (utk mendapat belas kasihan, pertolongan dsb): Sejak ayah dan ibunya meninggal, tiada lagi tempat ia hendak ~. 3 menyampaikan sesuatu utk memburuk-burukkan orang lain: Kita harus berhati-hati kerana ada antara kita di sini yg suka ~. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Tesaurus
Tiada maklumat tesaurus untuk kata mengadu

Puisi
 

Rumah besar tiang seribu,
     Rumah kecil tiangnya sepuntung;
Kecil mengikut ibu,
     Sudah besar mengadu untung.


Lihat selanjutnya...(9)
Peribahasa

Mengadu kucing dengan babi.

Bermaksud :

Bermain ceki dengan bertaruh wang. ceki = sejenis permainan judi Cina.

 

Lihat selanjutnya...(6)


Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
Apabila seseorang hamba ingin mengadu/memaklumkan sesuatu peristiwa/perkara kepada raja, apakah perkataan yang digunakan untuk merujuk “mengadu” (bahasa istana)? Contohnya, bahasa istana bagi “tidur” ialah beradu. Saya telah merujuk beberapa laman web yang memberikan bahasa istana. Namun demikian, saya tidak dapat mencari perkataan yang digunakan untuk merujuk “mengadu”. Bolehkah perkataan “mengadu” digunakan atau apakah perkataan yang lebih sesuai untuk digunakan? Mohon beri tunjuk ajar. Terima kasih.Dalam sumber rujukan kami tidak ada padanan untuk perkataan mengadu dalam bahasa diraja, lagipun bahasa diraja terhad perbendaharaan katanya dan tidak semua kata ada padanannya dalam bahasa diraja.  Untuk maklumat lanjut sila rujuk buku Bahasa Diraja yang ditulis oleh Prof. Emeritus Asmah Haji Omar, terbitan DBP. Tatabahasa07.06.2010
Apakah maksud simpulan bahasa "hujung jarum"?Peribahasa 'mengadu hujung jarum' bermaksud melakukan sesuatu pekerjaan yang sangat sukar.Lain-lain13.05.2010
Penduduk di situ membuat pengaduan kepada pihak polis Tuan, adakah pengaduan atau aduan yang sesuai digunakan? TQFrasa yang betul ialah membuat aduan. Pengaduan menceritakan perihal perbuatan mengadu.Tatabahasa07.02.2012
Adakah ayat dibawah adalah betul? sekirannya salah,tolong jelaskan (a)Amir mencongkak muka alya beberapa kali sebelum memberi gula-gula kepadanya.. terima kasih Makna congkak ialah sombong, bongkak, pongah; ~-bongkak = ~-bongkah terlalu congkak, ter­lalu sombong; kerana ~ badan binasa prb a) kerana sombong, tidak mahu mengadu hal, badan sendiri mendapat celaka; b) kerana suka berjoli, diri sendiri jadi celaka; kecongkakan kesombongan, kebongkakan, kepongahan. Berdasarkan makna dan ayat yang diberikan, perkataan yang digunakan tidak tepat. Tatabahasa20.08.2010
apakah perbezaan antara hujung dan penjuru

Merujuk Kamus Dewan Edisi Empat, Hujung ialah 1. bahagian yg terakhir dr sesuatu yg panjang (spt jalan, tali, dll), punca, lwn pangkal: rumahnya terletak nun di ~ jalan; ~ galah; 2. akhir (bulan, minggu, tahun, dll): saya akan bercuti panjang pd ~ tahun ini; ia pulang ke kampung tiap-tiap ~ minggu; yg paling ~ yg kemudian (penghabisan dll) sekali; 3. kesudahan (percakapan, mesyuarat, dll): kedua-dua pihak telah mengeluarkan suatu kenyataan bersama di ~ pertemuan; 4. tempat yg terjauh dr orang yg bercakap, tempat yg terjauh dr pusat, yg dekat dgn tepi (bandar, kampung, dll): saya tinggal di ~ bandar Kuala Lumpur; suara azan dr langgar di ~ kampung sudah hilang; 5. bahagian yg tajam (lancip): ~ hidung (kepala, lembing, panah, pensel, pokok, tanduk, dll); 6. bahagian tanah (daratan) yg menganjur ke laut dll; ~ tanah bahagian selatan sekali dr Semenanjung Malaysia; 7. tujuan (maksud) perkataan dll: barangkali tuan-tuan dapat menangkap ~ percakapan saya itu; ~ lidah a) bahagian lidah yg di hadapan sekali; b) = sambungan ~ Mn orang yg menyampaikan ucapan (pesanan dll) orang lain pd sesuatu majlis dll; ~ mata a) penjuru mata yg di sebelah luar, ekor mata; b) bahagian yg tajam pd alat pemotong (kikir, pisau, dll); ~ Subhanallah bp di hujung yg jauh (tidak tahu hujungnya); ~ sut hujung sekali; mengadu ~ lidah berbahas (bertengkar dll); mengadu ~ penjahit (dgn) a) bertemu muka atau mulai berkenalan (dgn); b) saling menunjukkan keahliannya, kepintarannya, kepandaiannya, dll); c) berusaha mendapatkan nafkah dgn susah payah; nyawa tinggal di ~ rambut hampir-hampir mati, tidak ada harapan lagi (sakratulmaut); se~ rambut = (sampai ke) ~ rambut (sampai kpd yg) sekecil-kecilnya (sangat berkira); tidak tentu (ada, tahu) ~ pangkal tidak tentu hala tujuannya (hubung an satu sama lain); jadi ~ (penghujung) lidah prb jadi jurubicara dlm sesuatu perundingan dll; Pejuru pula ialah pojok, sudut; ~ sudut tepat (Mat) pen­juru yg luasnya 90º. Penggunaannya bergantung kepada konteks ayat.

Lain-lain11.10.2010
saya nak tanya pasal suami.kami dah pisah selama 2tahun dan anak kami dia yg jaga.saya ada aduan mengenai suami saya.dia tak nak bagi saya jumba anak saya dan ada sekali saya nak jumba anak saya dia datang untuk memukul saya,sbb takut saya tak jumba anak saya..kalau saya jumba pun saya pergi ke sekolah mereka.saya belum cerai dgn suami saya tapi kami berpisah selama dua tahun.masalahnya dua hari lepas dia memukul anak saya sampai mukanya cedera...saya minta dia,yang saya nak jaga anak,dia tak nak bagi.saya skg kerja kat kuala lumpur dan saya tak tahu macam mane nak tangani masalah ini.. dan saya skg dah memeluk islam dgn suka hati..keluaga saya tak tahu mengenai memeluk islam.bolehkah saya ambil hak jaga anak saya?dan bagai mana?saya dah memeluk islam bagaimana nak cerai dgn suami saya??saya confuse tak tahu cara macam mane nak tangani masalah ini!!!tolong saya!!!

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) hanya memberi jawapan kepada soalan yang berkenaan dengan Bahasa, Sastera, dan perkara-perkara yang berkaitan dengan Dewan Bahasa dan Pustaka sahaja.  Soalah puan berkenaan rumah tangga, tidak ada kena mengena dengan pihak DBP, jadi kami tidak dapat melayani pertanyaan puan.  Saya sarankan puan mengadu ke pejabat agama tempat tuan memeluk Islam, atau ke pejabat PERKIM, saya pasti mereka akan membantu.  Berkenaan anak puan yang dipukul oleh suami, jika ternyata benar, dan puan mempunyai bukti, puan boleh membuat pengaduan ke balai polis terdekat supaya anak puan boleh dilindungi.  Berkenaan keluarga puan yang tidak mengetahui tentang keadaan puan yang telah memeluk Islam mungkin boleh juga puan bincangkan dengan pejabat agama.  Mungkin pejabat agama juga boleh memberi bantuan dari segi bantuan guaman untuk membantu puan dalam menangani masalah penjagaan anak.

Saya bagi pihak DBP berharap puan dapat menyelesaikan masalah puan dengan baik, kerana sememangnya masalah puan tidak dapat kami tangani kerana di luar bidang kuasa kami.

Lain-lain01.08.2009

Kembali ke atas