Sila jelaskan perbezaan perkataan "mengaibkan" dan "mempermalukan" serta contoh penggunaannya. Terima Kasih. | Apitan memper-…-kan digunakan dengan kata nama dan kata kerja sahaja. Contohnya: memperjodohkan, memperlihatkan. Apitan memper-… digunakan dengan kata adjektif untuk maksud menjadikan lebih atau bertambah. Contohnya: memperbesar (menjadikan lebih besar), memperindah (menjadi lebih indah). Penggunaan apitan memper-…-kan dengan kata adjektif seperti memperbesarkan, memperindahkan tidak tepat. Malu ialah kata adjektif, oleh itu penggunaan perkataan mempermalukan adalah tidak tepat. (Rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga hlm. 208 – 210). Mengaibkan dan memalukan bermaksud memberi aib/malu. Contoh ayat: Kadi memberitahu perempuan-perempuan jalang itu bahawa mereka telah mengaibkan/memalukan agama Islam. | Makna | 09.06.2011 |
Apakah maksud fazihat, saya menjumpai perkataan ini dalam Syair Definisi Orang Berakal dalam Antologi Harga Remaja? | Perkataan fazihat (Fadhihat) berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud mengaibkan, mencela, atau menista. | Makna | 06.01.2011 |
apa itu bangkai | Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat perkataan bangkai bermaksud 1. binatang yg sudah mati: ~ kucing; 2. bk mayat manusia: ~ Hang Jebat; ~ bernyawa ki a) orang yg terlibat dlm penagihan dadah yg teruk sehingga kurus kering, tidak bermaya dan menimbulkan masalah kpd keluarga, masyarakat dsb, mayat hidup; b) seseorang yg tidak dipedulikan dan dipandang hina oleh keluarga: akhirnya dia tidak sanggup lagi menjadi ~ bernyawa dlm keluarga mereka; 3. ki sesuatu yg telah tua dan rosak: ~ kereta; ~ gajah bolehkah ditudung oleh nyiru prb kejahatan yg besar itu tidak dapat disembunyikan; ada ~ adalah hering prb di mana ada perempuan jahat tentu ada laki-laki yg jahat pula; menjemur ~ ke atas (ke puncak) bukit prb mengaibkan diri sendiri; | Makna | 16.09.2009 |
Salam, saya ingin bertanya apakah bezanya mantan dan bekas? Siapakah yang sesuai digunakan sebagai mantan dan bekas? Terima kasih | Menurut definisi Kamus Dewan, mantan : dahulunya pernah menjawat jawatan tertentu, tetapi sekarang tidak lagi, bekas: ayahnya seorang ~ ketua pengarang sebuah penerbitan; dia ialah ~ guru besar sekolah itu. bekas :1. tanda-tanda yg ditinggalkan, kesan: ~ tapak kaki di pasir; ~-~ kudis itu menghodohkan kakinya; ~-~ darah yg terdapat pd bajunya; 2. dahulunya (sekarang tidak lagi), pernah menjadi: ~ suami; duduk bersanding dan tepung tawar adalah ~-~ adat Hindu; 3. akibat (drpd sesuatu): perkahwinan campuran antara dua golongan itu membawa ~ yg mengaibkan; ~ luka parut (sesudah sembuh luka); ~ tangan a) tandatangan; b) tulisan tangan; c) hasil buatan sendiri; d) pukulan; ~ tubuh pakaian yg sudah dipakai; Berdasarkan pentakrifan dan penggunaan kedua-dua kata ini tidak salah digunakan, namun kata mantan kini lazim digunakan untuk seseorang yang pernah menjawat jawatan tertentu. | Makna | 25.06.2009 |