Salam sejahtera. 1. Dia mengeluarkan sayur itu dari / daripada peti sejuk. 2. Raju mengambil buku cerita dari / daripada rak itu. Terima kasih & selamat Hari Raya Aidilfitri. | 1. Dia mengeluarkan sayur itu daripada peti sejuk. 2. Raju mengambil buku cerita daripada rak itu. | Tatabahasa | 16.08.2012 |
Salam sejahtera tuan. Bolehkah tuan terangkan kepada saya ayat yang berikut: 1. Ali mengeluarkan wang dari / daripada mesin ATM. 2. Mesin ATM dalam ayat ini menunjukkan sumberkah ataupun tempat? 3. Bagaimanakah kita hendak membezakan sumber dengan tempat ? 4. Kalau tempat itu menunjukkan seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan sebagainya kita senang membezakan tetapi kalau seperti ayat di atas ada yang mengatakan mesin ATM itu tempat dan ada pula yang mengatakan itu tempat, keadaan seperti ini amat mengelirukan saya. 5. Berharap agar tuan dapat mengajar saya cara untuk membezakan antara tempat dan sumber. Sekian, terima kasih. | 1. Ali mengeluarkan wang daripada mesin ATM. - Ungkapan yang betul ialah daripada kerana merujuk punca duit itu dikeluarkan, manakala tempat ialah ruang berlakunya sesuatu. Seperti yang saudara nyatakan tempat ialah Kuala Lumpur, Pulau Pinang, utara, selatan dan sebagainya. Untuk lebih memahami perbezaan penggunaan dari dan daripada, rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 268-272. | Tatabahasa | 13.08.2011 |
Selamat pagi dan salam 1 Malaysia. Jika sebatang kayu dipotong mengeluarkan getah dipanggil getah pokok.. tetapi bagi batang yang mengeluarkan air apa yang harus kita panggil adakah jus batag pokok atau air batang pokok.. | Istilah yang sesuai ialah air batang pokok. | Istilah | 06.05.2014 |
apakah maksud produktif dan kompetitif dalam maksud yang tepat | Produktif bermaksud 1. berupaya atau boleh mengeluarkan hasil yg banyak; 2. mencapai banyak hasil, berhasil; 3. berupaya membiak, melahirkan anak atau menyebabkan kelahiran, subur. Kompetitif pula bermaksud bersifat persaingan, cenderung atau suka bersaing. | Makna | 18.04.2007 |
1. Ali menabung wang di /ke dalam tabung. 2. Ali mengeluarkan wang dari/daripada tabungnya. Bolehkah memberikan penjelasan? 3. Setakat ini, saya masih tidak dapat membezakan antara keterangan dengan penerangan walaupun saya telah merujuki beberapa buah kamus.Boleh pihak tuan membina beberapa ayat untuk saya 4. Saya berasa senorok yang tidak terhingga. Betulkah ayat ini? Di sini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak DBP kerana betul-betul memberikan bantuan dalam masalah tatabahasa saya. | Puan Ming Hui, Berikut penjelasan terhadap kemusyikalan puan tentang tatabahasa: 1. Ali menabung wang di dalam tabung. (Nota: Kata sendi di digunakan khusus di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat. Dalam konteks ayat ini, tabung merujuk tempat untuk disimpan duit). 2. Ali mengeluarkan wang daripada tabungnya. (Nota: Kata sendi daripada untuk menyatakan punca misalnya manusia, benda, haiwan dan unsur mujarad. Dalam konteks ayat ini, daripada merujuk punca benda, iaitu tabung). 3. Yang dimaksudkan dengan "diterangkan" dan "menerangkan" ialah merujuk hukum D-M. Penjelasan hukum D-M bermaksud D(iterangkan) dan M(enerangkan). Unsur yang diterangkan itu merupakan unsur inti yang hadir pada kedudukan pertama dan unsur menerangkan merupakan unsur penerang yang hadir pada kedudukan kedua. Contoh, Restoran Aminah, hari esok dan sebagainya. 4. Saya berasa senorok yang tidak terhingga. | Tatabahasa | 12.04.2009 |
Selamat Hari Raya Aidilfitri! Kata adjektif yang tepat 1. Ketika berasa di tempat yang sejuk, tubuhnya ________. 2. Hatinya kembali _______ apabila mendapat tawaran pekerjaan di kilang itu. 3. Badannya berbau _____ selepas mengeluarkan peluh yang banyak. Terima kasih. | 1. Ketika berasa di tempat yang sejuk, tubuhnya ____menggigil____. 2. Hatinya kembali ____lega___ apabila mendapat tawaran pekerjaan di kilang itu. 3. Badannya berbau ___hangit__ selepas mengeluarkan peluh yang banyak. | Tatabahasa | 19.08.2012 |
Tuan, apakah beda antara "membincangkan" dengan "memperbincangkan", "mengatakan" dengan "memperkatakan", "membahas" dengan "memperbahaskan", dan kata-kata lain? Sila rujuk WordPad saya untuk pemahaman lanjut dan saya meminta keterangan tuan yang lebih terang. Terima kasih. | Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, membincangkan bermaksud memperkatakan atau membicarakan. Mengatakan bermaksud 1. mengeluarkan kata-kata (bahawa), mengucapkan, menyebutkan, menuturkan 2 menceritakan, mengisahkan, memberitahukan, menyampaikan 3. memisalkan, mengandaikan 4. mencakapkan (untuk atau sebagai melahirkan pandangan dan lain-lain tentang sesuatu). Memperkatakan bermaksud 1. melahirkan (dengan kata-kata), mempercakapkan, menceritakan 2. membincangkan, membicarakan. Membahas bermaksud 1. menyatakan tidak setuju dengan sebab-sebab tertentu. 2. menyelidik; memeriksa. Memperbahaskan bermaksud menjadikan sesuatu sebagai bahan berbahas; memperdebatkan. Untuk maklumat lanjut mengenai perkataan yang tidak ada dalam Kamus Dewan, sila hubungi Bahagian Perkamusan, DBP. | Makna | 13.12.2016 |
Betul atau salah? 1. keluar rumah 2. keluar dari rumah 3. mengemas katil 4. mengemaskan katil 5. peti kecemasan 6. peti pertolongan cemas 7. ambulans 8. kereta ambulans 9. Adik menangis kerana sakit. 10. Adik menangis kerena dia sakit. 11. terjaga dari tidur. 12. terjaga daripada tidur 13. mengeluarkan wang dari dompet 14 mengeluarkan wang daripada dompet 15. terjaga dari tidur 16 terjaga daripada tidur 17. Dia ada hanya sebatang pen. 18. Dia hanya ada sebatang pen. 19. Tiada sesiapa yang datang menolongnya. 20. Tiada sesiapa pun yang datang menolongnya. 21. Tanam-tanaman dihanyutkan air. 22. Tanam-tanaman dihanyutkan oleh air. 23. menggantung belon 24. menggantungkan belon Saya difahamkan bagi benda abstrak, kita tidak boleh menggunakan penjodoh bilangan. Mengapakah saya masih nampak frasa seperti sebuah lagu? Apakah penjodoh bilangan bagi lagu, cerita, tin dan negeri? | Ayat yang betul ialah ayat no. 2, 4, 6, 7, 9, 12, 14, 16, 18, 19 & 20, 21, 24. Penjodoh bilangan dengan kata nama abstrak sangat terbatas penggunaannya. Selama ini hanya terdapat dua penjodoh bilangan sahaja yang digunakan dalam konteks berkenaan, iaitu patah untuk perkataan dan buah untuk cerita, puisi, negara, masyarakat, parti politik, persatuan dsbnya. | Tatabahasa | 25.10.2010 |
1.Jelaskan maksud antara menyakiti dan menyakitkan 2.Dia menyakiti/menyakitkan hati saya kerana mengeluarkan kata-kata kesat terhadap saya. | Fungsi apitan meN-...i -kan dengan meN-...-i terbahagi tiga: (1) Fungsi apitan meN-...-kan untuk menandakan kausatif, manakala apitan meN-...-i menandakan lokatif, contohnya; a. Pak Osman menghadiahkan basikal kepada Ahmad. b. Pak Osman menghadiahi Ahmad sebuah basikal. (2) Bagi kata tertentu, perbezaan penggunaan apiatan meN-...-i adalah dari segi objek tepat yang boleh mengikutinya, iaitu apitan meN-...-kan lazimnya menerima objek tidak bernyawa dan apitan meN-...-i menerima objek bernyawa. Contohnya; a. Ali memberi kucing makanan. b. Ali memberikan makanan kepada kucing. Perkataan memberi dalam ayat (b) sebenarnya terdiri daripada kata dasar beri yang menerima apitan meN-...-i, tetapi telah digugurkan. (3) Bagi sebilangan kecil kata kerja yang menerima apitan meN-...--kan dan meN-...-i, penggunaannya saling berganti tanpa membezakan makna. Contohnya; a. Ali membaiki kereta yang rosak itu. b. Ali membaikkan kereta yang rosak itu. | Tatabahasa | 04.01.2018 |
Assalamaualaikum & salam 1 Malaysia, Saya ingin bertanyakan soalan tentang cara-cara untuk penerbitan buku kerana saya sudah mempunyai skrip penulisan cerita hasil karya saya sendiri. Untuk pengetahuan tuan/puan genre buku saya adalah berkaitan tentang kisah teladan kanak-kanak. Justeru itu, saya ingin menerbitkan himpunan cerita-cerita kanak ini dalam bentuk buku sebagai teladan kepada kanak-kanak sekarang. Persoalan saya disini, saya baru hendak mula menerbitkan buku, jadi saya tidak tahu cara sebetulnya kemana skrip ini harus dihantar untuk dinilai?? dan adakah saya perlu mengeluarkan sebarang kos dalam penerbitan buku saya ini? Mohon bantuan daripada tuan/puan atas masalah saya ini. | Anda perlu menghantar cadangan penulisan(contoh penulisan dan maklumat diri) atau manuskrip lengkap untuk penilaian pihak kami. Anda tidak perlu mengeluarkan sebarang kos untuk penerbitan karya anda termasuk menyediakan lukisan. Sila hantar karya anda ke alamat berikut: Ketua Pusat Penyelidikan dan Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja(PURNAMA), Tingkat 21, Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur | Lain-lain | 12.06.2010 |