1.Bagaimanakah caranya untuk mengenali 'e' taling dan 'e' pepet dalam satu perkataan. 2.Apakah sebutan untuk perkataan PANEL. terima kasih | 1. Dalam sistem ejaan baru bahasa Melayu, bunyi e seperti yang terdapat dalam perkataan 'leka' dan bunyi e dalam perkataan 'besar' diwakili oleh huruf yang sama, iaitu e. Huruf 'e' dalam 'leka' yang merupakan vokal depan separuh sempit disebut e taling manakala huruf e dalam 'besar' yang merupakan vokal tengah separuh luas disebut e pepet. Hanya tiga vokal, iaitu i,a, dan u dapat hadir pada awal, tengah dan akhir perkataan. Vokal e (e taling), o dan e (e pepet) hanya hadir pada awal dan tengah perkataan. Vokal e (e taling) dan o hanya hadir pada akhir perkataan dalam suku kata terbuka dalam kata pinjaman seperti sate, tauge, logo dan polo. Untuk keterangan lanjut, sila rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. 2. panel (e pepet) | Ejaan | 08.02.2011 |
Salam sejahtera, Adakah kedua-dua ayat di bawah juga betul? Ali kenal benar akan lelaki yang sedang berbual-bual dengan ayahnya. Ali kenal amat akan lelaki yang berbual-bual dengan ayahnya. sekian. | Kedua-dua ayat adalah salah. Ayat yang betul ialah: 1. Ali amat mengenali lelaki yang berbual dengan ayahnya. 2. Ali benar-benar mengenali lelaki yang sedang berbual-bual dengan ayahnya. | Tatabahasa | 11.01.2012 |
soalan kefahaman Pemahaman dan penghayatan semangat 1 malaysia sebenarnya tidak terbatas pada keadaan saling mengenali dalam kalanan masyarakat majmuk ini tetapi sebenarnya ia menuntut pemahaman yang lebih mendalam terhadap adat dan kebudaya sesuatu kaum,berikan pendapat anda?? bagaimanakah saya menjawab soalan ini??apakah isi yang diperlukan? | Bagi menjawab soalah jenis pendapat, tuan perlu memahami pertanyaan utama. Tuan perlu mengemukakan idea mengenai masyarakat majmuk, adat dan kebudayaan sesuatu kaum. Tuan juga perlu memberi pandangan berkenaan isu dan idea baru pemahaman terhadap adat dan kebudayaan. Bagi tujuan itu, tuan perlu banyak membaca tentang adat dan kebudayaan. | Tatabahasa | 25.10.2013 |
Assalamualaikum, Saya ada dua soalan 1. Apakah perbezaan antara rangkai kata dengan frasa? 2. Dalam Kamus Dewan, hampir semua perkataan yang digunakan oleh masyarakat bahasa dirakam atau didokumentasikan. Jadi ada perkataan yang boleh digunakan dalam bahasa Melayu yang betul atau standard dan sebaliknya. Bagaimanakah pengguna bahasa dapat mengenali atau membezakan perkataan-perkataan yang boleh digunakan dalam bahasa Melayu standard berbanding perkataan-perkataan yang tidak sesuai digunakan berdasarkan entri dalam kamus? | 1. Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, rangkai kata ialah kelompok beberapa kata. Frasa bermaksud kumpulan kata yg membentuk unit sintaksis sesuatu klausa. 2. Untuk mengenali atau membezakan perkataan yang boleh digunakan dalam bahasa Melayu standard dalam Kamus Dewan, saudara boleh melihat pada label bp (bahasa percakapan) sebagai pemakluman kepada pengguna supaya menggunakan kata berkenaan sesuai dengan konteksnya. Maknanya kata yang berlabel bp tidak sesuai digunakan dalam situasi rasmi, tetapi tidak salah digunakan di luar konteks rasmi, seperti di kedai kopi, di rumah atau semasa bersembang-sembang dengan rakan sebaya. Saudara juga boleh merujuk Pendahuluan Kamus Dewan Edisi Keempat, halaman xv untuk keterangan lanjut. | Tatabahasa | 09.07.2010 |
Tuan, Dalam karya fiksyen, bagaimanakah ketetapan menulis angka? Adakah semuanya harus dieja? Contohnya: 1) Dia membawa dua puluh empat kilo beras. 2) Hantaran yang diberikan oleh Razak kepada isterinya adalah sembilan ribu sembilan ratus sembilan puluh sembilan ringgit sembilan puluh sembilan sen. | Jawapan: Nombor 1 hingga 9 hendaklah dieja. Nombor 10 dan seterusnya hendaklah ditulis dalam bentuk angka. Contoh: 1. Saya mengenali dia lima tahun yang lalu. 2. Ayah saya berusia 65 tahun. | Lain-lain | 14.02.2012 |
1.Apakah ciri-ciri ayat dasar? 2.Ayat2 berikut yang manakah bukan ayat dasar? a.Mereka akan tiba tidak lama lagi. b.Irama muzik itu sungguh mengasyikkan. c.Anak muda lebih suka bekerja di bandar besar. d.Cuaca pada hari ini merimaskan peserta pertandingan. 3.Adakah utk mengenali ayat dasar,kita perlu mengetahui ayat dasar, perlu mengenalpasti pola ayat dasar terlebih dahulu?TQVM | 1. Ayat dasar ialah ayat yang menjadi dasar atau sumber bagi pembentukan semua ayat lain yang berasal daripada beberapa pola tertentu. Empat pola ayat dasar bahasa Melayu ialah FN + FN, FN + FK, FN + FA dan FN + FS. Rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 437. 2. Kesemua contoh ayat yang diberikan ialah ayat dasar. Untuk lebih menguasai tajuk ini, kami sarankan saudara rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 437-439. | Tatabahasa | 23.07.2011 |
a. Adakah ayat di bawah betil? 1. Dapat menguasai semua huruf. 2. Masih perlu berusaha. 3. Masih ada huruf-huruf yang perlu dikuasai. 4. Sangat memuaskan. 5. Pembentukan suku kata sangat memuaskan. 6. Masih belum menguasai suku kata yang dipelajari. 7. Sederhana dalam pembentukan suku kata. 8. Ada kemajuan dalam mengenali suku kata. 9. Sebutan suku kata yang lancar. 10. Pencapaian yang bagus dalam ejaan. 11. Masih ada ruang untuk kemajuan. 12. Masih belum boleh bercerita tetapi kopmunikasi yang mudah dapat difahami. 13. Masih dalam proses untuk kemajuan. 14. Pencaipaian yang memuaskan dalam segi cerita dan komunikasi. 15. Dapat menyusun semula ayat dengan penuh keyakinan. 16. Penyusunan semula ayat masih perlu diperhatikan. 17. Dapat membaca ayat dengan penuh keyakinan. 18. Pembacaan ayat tidak lancar. 19. Bacaan kurang lancar. 20. Masih belum boleh membaca ayat. 21. Perlu bimbingan yang lebih dari guru. 22. Tulisan yang kemas. 23. Masih perlu latihan yang lebih dalam teknik menulis. | 1. Dapat menguasai semua huruf. - Ayat ini tidak lengkap kerana tidak ada subjeknya. 2. Masih perlu berusaha. - Tidak lengkap kerana tiada subjek. 3. Masih ada huruf-huruf yang perlu dikuasai. - Ayat tidak lengkap. Untuk soalan 4 - 23, sila rujuk kamus dan buku Tatabahasa Dewan. Sebahagian besar daripada contoh yang diberikan bukan ayat lengkap, tidak ada subjek atau pelaku dalam ayat tersebut. Untuk membina ayat dengan lengkap, rujuk buku Tatabahasa Dewan, di bawah tajuk Pembentukan Kata dan Pembentukan Ayat. | Tatabahasa | 14.05.2012 |
tolong semak ayat saya... adakah ayat yang saya senaraikan ini mengandungi frasa kerja tak transitif? 1. lelaki itu menghulurkan sekeping kertas kosong kepada perempuan itu. 2. kelihatan di sedang menulis sesuatu di kertas iitu dan dihulurkan kepada lelaki itu. 3. lelaki itu membaca dan kemudian menggelengkan kepala. 4. perempuan itu merenung tajam ke arah lelaki itu. 5. dia diam seketika, sambil matanya terkelip-kelip memandang syiling wad yang kaku itu. 6. siang dan malam lelaki itu menunggu perempuan itu dengan tabah dan sabar. 7. anak di rumah, pandai-pandai sahaja unutk mengurus diri sendiri. 8. sambil tersenyum, dia menegurku mesra. 9. dia tidak sanggup meninggalkan isterinya tanpa ditemani walau sesaat pun. 10. dua belas tahun yang lalu di telah dibedah di Singapura. 11. aku sangat kagum dengan lelaki itu dan terkesan dengan kesabarannya melayani karenah isterinya yang pelbagai macam itu. 12. calang-calang suami tidak akan sanggup membelai isterinya yang terbujur di katil itu. 13. perlahan-lahan dia duduk di atas kerusi di sisi katil isterinya. 14. saya gembira ibu melawat saya. 15. ketika akau melangkah pulang aku melihat bahawa dia masih tersenyum riang. 16. dia mencapai tanganku dan menciumnya. 17. hati kecilnya tidak putus-putus mendoakan semoga dia akan pulih. 18. kita janganlah lupa untuk terus beristighfar dan reda dengan apa-apa yang berlaku,. 19. aku terkesima dan kagum dengan ketabahan isterinya,. | Seperti yang telah dijelaskan sebelum ini kata kerja tak transitif yang tidak memerlukan penyambut atau objek sesudahnya. Walau bagaimanapun terdapat sejumlah kata kerja tak transitif yang mesti diikuti oleh pelengkap, namun unsur ini bukanlah dianggap sebagai objek (tidak boleh dipasifkan), sementara yang lainnya tidak perlu diikuti oleh pelengkap. Contoh kata kerja tak transitif berpelengkap: beransur (pulih), tinggal (di bandar), menjadi (guru), berbuat (baik), ada (keluarga) dan berbantalkan (lengan) Contoh kata kerja tak transitif tak berpelengkap: bangun, tumbang, pulang, menangis, menjerit, berkibaran, berjalan, tersenyum, terpegun, menguning, melancong dan meninggi. Sebagai seorang bakal guru saudara perlu lebih mengenali pelbagai aspek tatabahasa termasuklah kata kerja tak transitif dan kata kerja transitif. Merujuk ayat Lelaki itu menghulurkan sekeping kertas kosong kepada perempuan itu - menghulurkan ialah kata kerja transitif yang memerlukan objek sebagai pelengkap. Untuk ayat yang seterusnya sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 88-90 dan halaman 385-394. | Tatabahasa | 24.03.2011 |
Saya berasa musykil tentang diftong, vokal berganda, digraf dan konsonan berganda yang diajar dlm buku teks tahun 2 KSSR. Dan saya bukan orang pertama yang keliru dengan pendekatan dalam buku teks itu. Adakah wajar perkara yang mengelirukan itu diajar dengan sekadar touch n go kepada kanak-kanak yang baru hendak mengenal bahasa?Bukan itu sahaja, ayat majmuk dan ayat tunggal juga di ajar dengan hanya mewarnakan perkataan itu dengan harapan murid tahun dua dapat membezakannya. Sesuatu perlu dilakukan oleh DBP sebagai penasihat bahasa kebangsaan untuk mengubah isu/cara touch n go ini bagi terbitan buku teks seterusnya. | Untuk makluman puan, penyediaan bahan dalam buku teks Bahasa Malaysia Tahun 2 SK tidaklah dibuat secara touch n go sahaja. KSSR pada Tahap 1 (Tahun 1-3) menitikberatkan kemahiran literasi dan aplikasi bahasa pada peringkat asas. Murid perlu menguasai asas kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis terlebih dahulu, manakala aspek seni bahasa dan tatabahasa menyokong bahan yang dipersembahkan. Pendekatan untuk mengenali konsep diftong, vokal berganding, digraf dan konsonan berganda dalam buku teks Tahun adalah merupakan pendekatan pembelajaran bahasa yang lebih santai dan secara didik hibur sesuai dengan tahap murid Tahun 2. Hal ini sebagaimana yang telah dinyatakan dalam halaman pendahuluan (iv-v). Murid hanya diminta mengenali perkataan yang berkaitan yang ada dlm buku teks dan buku aktiviti dengan kemahiran dengar dan sebut/tutur, misalnya hlm 2, Kemahiran Membaca hlm 3 dan kemahiran Menulis hlm 4. Murid tidak diberatkan dengan penghafalan set definisi konsep tetapi lebih kepada upaya menyebut, membaca dan menulis perkataan yang berkaitan. Aktiviti ini seupaya mungkin diaplikasikan dalam pengajaran dalam bilik darjah oleh guru. Perincian tentang definisi/konsep diftong, vokal berganding digraf dan konsonan berganda kerana hanya didedahkan atau diperincikan dalam buku Bahasa Malaysia Tahun 3. Begitu juga halnya dengan kaedah mengenal pasti ayat majmuk dan ayat tunggal. Murid Tahun 2 hanya menggunakan kemahiran membaca ayat misalnya hlm 7, tidak perlu menghafal definisi ayat tunggal atau ayat majmuk secara terperinci tetapi sekadar boleh menyebut, membaca dan menulis jenis ayat tersebut. Pemeringkatan kefahaman tentang ayat tunggal dan ayat majmuk dilaksanakan lebih mendalam dalam buku Bahasa Malaysia Tahun 3. Perhatian puan dalam hal ini didahului dengan ucapan terima kasih. | Tatabahasa | 15.05.2013 |