Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[me.nge.te.pi.kan] | مڠتڤيکن

Definisi : 1. memindahkan ke tepi, meletakkan (menaruh) di tepi: Pak Leman pun membentangkan tikar dan ~ kain-kain buruk yg berselerak di rumah itu; 2. tidak memen­tingkan, mengesampingkan: oleh sebab kesulitan kewangan ini, maka ter­paksalah dia ~ harga dirinya; 3. tidak me­ngen­dahkan, tidak mempedulikan: pengkritik sastera hendaknya seberapa daya ~ idea politiknya dlm memberi nilai kpd sesuatu karya sastera; 4. memencilkan, memulaukan, menyingkirkan: sudah ternyata cita-cita Seri Nara hendak ~ Datuk Bendahara; 5. menge­luarkan (drpd pertandingan dsb), menyingkir­kan, mengesampingkan: Belanda dgn Rusia telah ~ semua pasukan terkemuka dunia; 6. membatalkan (keputusan dll): mahkamah ini berkuasa ~ keputusan Mahkamah Tinggi; (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[me.nge.te.pi.kan] | مڠتڤيکن

Definisi : 1 membawa atau menolak ke tepi: Apabila kami sampai, Adli sibuk ~ barang-barang permainan adiknya yg berselerak di tengah rumah. 2 ki tidak mementingkan; tidak mengutamakan; tidak mengendahkan: Mereka membincangkan perkara yg mus­tahak saja dan ~ perkara yg tidak penting. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Tesaurus
 
tepi (kata nama)
Bersinonim dengan pinggir, pesisir, tebing, tubir, ufuk, sisi, birai, aris, bibir, bingkai, rangka, bikar, bira, birih, biring, gigi, sempadan, perbatasan;,
Kata Terbitan : mengetepikan, bertepi, menepi,


Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
tuan, beberapa orang pemuda telah membantu mengetepikan kereta. atau beberapa orang pemuda telah membantu menepikan kereta TQBeberapa orang pemuda telah membantu mengetepikan kereta. Mengetepikan bermaksud memindahkan ke tepi.Tatabahasa19.09.2011
salam apakah perbezaan antara mengetepikan dengan mengenepikan.sekian terima kasih

Perkataan yang betul ialah 'mengetepikan' yang bermaksud memindahkan ke tepi, meletakkan (menaruh) di tepi: Pak Leman pun membentangkan tikar dan mengetepikan kain-kain buruk yang berselerak di rumah itu; 2. tidak mementingkan, mengesampingkan: oleh sebab kesulitan kewangan ini, maka terpaksalah dia mengetepikan  harga dirinya; 3. tidak mengendahkan, tidak mempedulikan: pengkritik sastera hendaknya seberapa daya mengetepikan  idea politiknya dlm memberi nilai kpd sesuatu karya sastera; 4. memencilkan, memulaukan, menyingkirkan: sudah ternyata cita-cita Seri Nara hendak mengetepikan Datuk Bendahara; 5. mengeluarkan (drpd pertandingan dsb), menyingkirkan, mengesampingkan: Belanda dgn Rusia telah mengetepikan  semua pasukan terkemuka dunia; 6. membatalkan (keputusan dll): mahkamah ini berkuasa mengetepikan  keputusan Mahkamah Tinggi. Tiada perkataan 'mengenepikan kerana kata dasarnya ialah 'ketepi'. Oleh itu, huruf yang gugur hanya di awal, iaitu 'k'. 

Tatabahasa11.10.2010
Tuan, Mengapakah ejaan `mengetengahkan` betul . bukan `menenengahkan` ? Begitu juga `mengenepikan` salah,sebaliknya `mengetepikan`. Saya perlu menjelaskan kepada pelajar. Terima kasih.Perkataan mengetengahkan dan mengetepikan adalah betul. Perkataan mengetengahkan dan mengetepikan terbentuk apabila kedua-dua perkataan ini menerima imbuhan meN.Ejaan10.04.2009
Manakah ejaan yang betul di antara "mengenepikan" atau "mengetepikan" ?Menurut Kamus Pelajar Edisi Kedua ejaan yang betul ialah mengetepikan. Sila layari laman web PRPM sekiranya anda mempunyai masalah bahasa Melayu melalui http://prpm.dbp.gov.my/Badan Penulis12.09.2018
FAKTOR YANG MENYEBABKAN BERLAKUNYA KEKELIRUAN PENGGUNAAN KATA MENGENEPIKAN DAN MENGETEPIKAN.Kata tepi apabila mendapat imbuhan meN menjadi menepikan. Frasa ke tepi apabila mendapat imbuhan meN menjadi mengetepikan. Faktornya ialah kekeliruan antara kata tepi dan frasa ke tepi yang menerima imbuhan meN.   Ejaan07.04.2008
1. mengetengahkan atau mengenengahkan ? 2. mengetepikan atau mengenepikan ? 3. mengepalai atau mengkepalai ? 4. menunjangkan atau mentunjangkan ? 5. memastikan atau mempastikan ? 6. mencintai atau menyintai ? 7. menyukarkan atau mensukarkan ? 8. penyajak atau pensajak ? 9. pemelajaran atau pembelajaran ? 10. mensabitkan atau menyabitkan ?

1. mengetengahkan

2. mengetepikan

3. mengepalai

4. menunjang

5. memastikan

6. mencintai

7. menyukarkan

8. penyajak

9. pemelajaran

10. menyabitkan

Tatabahasa24.07.2011
mana yang betul mengenepikan atau mengketepikan atau mengtepikanIstilah yang betul ialah mengetepikan.Istilah02.03.2009
Sila gantikan perkataan yang berada dalam kurungan dengan perkataan yang betul dan tepat. (a) Encik Leong mengetepikan keretanya untuk memberi laluan kepada kereta ambulans yang (buta) itu. (b) Televisyen yang (buta) itu terpaksa diperbaiki semula. (c) Sesiapa pun tidak dibenarkan makan buah (asli) di hutan itu kerana beracun. (d) Datuk saya merupakan orang yang (asli) sekali dalam keluarga saya. (e) Makanan yang berlebihan itu disimpan di dalam peti sejuk supaya tidak (mati). (f) Pensel yang sudah (mati) itu saya buangkan ke dalam tong sampah. (g) Gambar bintang filem itu tidak elok diletakkan di ruang tamu kerana kelihatan tidak (bahasa).Untuk makluman tuan, kami menyediakan perkhidmatan bagi membantu pelanggan menangani permasalahan bahasa seperti ejaan, istilah dan tatabahasa. Contohnya, kekeliruan tentang ejaan yang betul, penggunaan istilah yang tepat bagi sesuatu terminologi dan permasalahan tentang tatabahasa. Kami dapati pertanyaan tuan bukanlah berkisar tentang permasalahan yang tersebut, tetapi lebih kepada memberikan jawapan kepada soalan yang dibekalkan seperti lazimnya soalan peperiksaan dan buku rujukan. Kami tidak menyediakan perkhidmatan memberikan jawapan kepada soalan yang dibina; sebaliknya pihak tuan perlulah merujuk kamus dan buku tatabahasa, atau berbincang dengan panel penggubal soalan yang lain. Jika ada pertikaian tentang sesuatu isu tatabahasa yang menjadi jawapan kepada soalan tersebut, seperti "menemukan mayat atau menemui mayat", tuan boleh menghubungi pihak kami semula.Lain-lain08.12.2015
Mohon jawapan mengetengahkan atau mengenegahkan mana yang betul dan justifikaskannya.Ejaan yang betul ialah mengetengahkan. Perkataan mengetengahkan dan mengetepikan terbentuk apabila kedua-dua perkataan ini menerima imbuhan meN.Ejaan13.05.2014
maksud pengenepian dan penepian. adakah berbeza? ejaan yang betul pengenepian atau penepian?Salam sejahtera,
Puan,

Tiada perkataan pengenepian dan penepian dalam Kamus Dewan. Kata terbitan untuk perkataan tepi ialah mengetepikan, terketepi, pengetepian, bertepi, bertepikan, menepi dan menepikan sahaja. Untuk makluman lanjut, sila rujuk Kamus Dewan.

Sekian, terima kasih.
Tatabahasa16.01.2019
12

Kembali ke atas