KENAPA SUSAH SANGAT NK CARI MAKNA ISTILAH DALAM LAMAN WEB INI | Puan Aina, saya ingin bertanya apakah makna istilah yang puan ingin cari? Sebenarnya DBP telah menggubal hampir dua juta istilah dalam pelbagi bidang. Dan istilah-istilah ini ada dijual di kedai buku yang menjadi pengedar kepada DBP. Jadi sila dapatkan istilah yang sesuai daripada kedai buku yang berhampiran .Terima kasih | Istilah | 13.01.2009 |
apakah maksud analitikal? berikan contohnya.terima kasih. | Tidak ada perkataan analitikal dalam bahasa Melayu. Padanan analytical dalam bahasa Melayu ialah analisis atau mencerakin, bukan analitikal. Contoh pengggunaan : 1. Menggubal sesuatu dasar memerlukan masa yang lama, penelitian dan analisis yang tajam dalam semua segi. 2. Jika kita mencerakin air, kita akan mendapati bahawa air terdiri drpd. hidrogen dan oksigen. | Istilah | 11.06.2010 |
Salam Tuan. Saya ingin memohon agar pihak DBP dapat membuat saranan kepada Menteri Pelajaran Malaysia agar memperkenalkan semula Tulisan Jawi kepada murid-murid sekolah melalui subjek Bahasa Melayu. Ini kerana KPM sedang membuka ruang dialog kpd rakyat Malaysia dalam menggubal kurikulum pendidikan negara yang baharu. Tulisan Jawi yang kini hanya dipelajari oleh murid Melayu dalam pelajaran Agama Islam perlu diperluaskan ilmu tentangnya seperti awal tahun 1970an. Amatlah menyedihkan apabila tulisan yang indah ini semakin dilupakan oleh bangsanya sendiri. Saya beranggapan memang menjadi tanggungjawab DBP memastikan kegemllangan tulisan jawi dan Bahasa Melayu di bumi tercinta ini. Sekian, terima kasih. | Kami bersetuju dengan pandangan puan. Molek kiranya kita bersama-sama dalam satu keluarga (Kementerian Pelajaran Malaysia) menyuarakan kepada pihak atasan agar perkara ini diambil perhatian dan tindakan. Hal ini elok dibangkitkan dalam suasana memartabatkan tulisan Jawi dan yang paling terbaharu Melaka akan melaksanakan papan tanda tulisan Jawi mulai bulan Jun 2012. | Lain-lain | 19.05.2012 |
Assalamualikum dan selamat sejahtera. Dewan bahasa dan Pustaka merupakan badan yang bertanggungjawab dalam pembentukan istilah bahasa Melayu. Oleh itu, terdapat beberapa pertanyaan mengenai peristilahan: 1. Apakah proses penting bagi DBP dalam pembentukan sesuatu istilah? 2. Bagaimanakah DBP memilih sesuatu istilah terutamanya yang wujud dari media sosial untuk dibentuk? Adakah dengan melihat dari segi populariti penggunaannya atau aspek lain? | Waalaikumsalam wbt. Terima kasih atas persoalan tentang pembentukan istilah DBP. Bagi soalan yang pertama, terdapat beberapa langkah yang penting untuk menggubal sesuatu istilah. Boleh rujuk Pedoman Umum Pembentukan Istilah Bahasa Melayu yang menggariskan beberapa langkah dalam proses pembentukan istilah, iaitu: 1. Perkataan bahasa Melayu yang lazim digunakan (umum). 2. Perkataan bahasa Melayu yang kurang lazim digunakan. 3. Perkataan bahasa serumpun atau dialek Melayu yang lazim digunakan. 4. Perkataan bahasa serumpun atau dialek Melayu yang tidak lazim digunakan. 5. Perkataan atau istilah daripada bahasa Inggeris. 6. Penggunaan perkataan daripada bahasa lain (Arab, Latin dan lain-lain). 7. Membuat pemilihan terbaik mengikut tertib antara langkah pertama hingga langkah keenam. Bagi soalan kedua pula, pihak DBP tidak hanya melihat populariti istilah di media sosial sahaja tetapi banyak faktor lain dalam menggubal padanan istilah bahasa Melayu, antaranya: 1. Melihat kepada konsep dalam bahasa sumber berdasarkan rujukan kamus dan korpus tempatan dan luar negara (Oxford, Collins, Cambridge). 2. Kepentingan istilah dalam pelbagai bidang baharu dan sedia ada, contohnya istilah-istilah dalam bidang Kecerdasan Buatan, Robotik dan sebagainya. 3. Kekerapan penggunaan istilah dalam korpus tempatan dan luar negara sama ada dalam bentuk penulisan ilmiah, berita dan artikel. Sekian. | Lain-lain | 16.10.2020 |
Apakah perkataan "isme" yg sesuai untuk sikap "determined"(tekad yang kuat). Contoh patriotisme, altruisme, positivisme...saya perlukan "isme" yang menunjukkan "determined". | Tiada kata yang berakhiran -isme yang menyatakan makna tekad yang kuat (determined) dalam bahasa Melayu. Kata yang merupakan contoh kata pinjaman seperti patriotisme, altruisme dan positivisme terdapat dalam bahasa sumbernya, iaitu bahasa Inggeris. Kami mencadangkan saudara berbincang dengan pakar bidang dan pakar bahasa untuk membentuk/menggubal istilah/kata yang sesuai dengan maksud dan konteks dalam bidang tersebut. | Lain-lain | 23.08.2023 |
Saya minta penjelasan ke atas penggunaan perkataan 'Rajah' dan 'Gambar rajah' terutamanya dalam penyediaan kertas soalan peperiksaan. Adakah kedua-dua ini boleh digunakan dengan maksud yang sama? Terima kasih. | Mengikut Kamus Dewan, gambar rajah ialah rangka atau pelan yg menerangkan sesuatu (hal, perkembangan, dll). Bagi penggunaan dalam penyediaan kertas peperiksaan, sila rujuk dengan pihak yang menggubal soalan tersebut. | Makna | 04.09.2014 |
(i ) perbezaan maksud sebentar & sekejap. Apabila merujuk kamus, maksudnya sama ttpi dalam soalan pmr, jawapan yg diterima sekejap dan bukannya sebentar (ii) Ayat: Asap-asap dari kilang-kilang mencemari alam sekitar. Mengapakah kata yg salah asap-asap dan bukannya mencemari | (i) Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, sebentar sama maksud dengan sekejap, seketika. Saudara digalakkan merujuk perkara ini kepada pihak yang menggubal soalan tersebut untuk mendapatkan penjelasan lanjut. (ii) Merujuk ayat tersebut, kilang-kilang sudah menunjukkan jamak, oleh itu perkataan asap tidak perlu digandakan lagi. | Tatabahasa | 26.07.2010 |
Salam DBP, saya berpendapat entri-entri untuk "legislate" dan "enact" harus diperbetulkan sedikit. Dalam PRPM, kedua-dua kata ini diterjemah dengan kata akar "gubal." Untuk kata "legislate," penggunaan kata gubal itu betul sebab di parlimen undang-undang baharu dibentuk dan/atau (sebahagian) undang-undang sedia ada ditambah atau ditarik balik. Namun begitu, "to enact" bermaksud "to enforce," iaitu mempraktikkan (dalam masyarakat melalui badan-badan penguasaan) undang-undang yang sudah digubal dan dilulus melalui proses-proses dalam parlimen. Terima kasih. | Menurut Kamus Inggeris-Melayu Dewan, maksud 'legislate' ialah menggubal manakala 'enact' bermaksud ialah memperbuat dalam bidang undang-undang
| Makna | 07.11.2021 |
Salam, saya adalah pelajar tahun akhir di UIAM,kampus Gombak.. Saya belajar dalam jurusan Bahasa Inggeris linguistik dan kesusateraan. saya amat berminat ingin mengetahui tentang skop pekerjaan di DBP. Jika diberi peluang, saya ingin mencari pengalaman bekerja di DBP setelah tamat belajar nanti.. | Sdr, Terima kasih di atas minat yang sdr tunjukkan. Untuk pengetahuan sdr, DBP bergerak berlandaskan enam fungsi utama. Secara umumnya fungsi DBP bolehlah dirangkumkan sebagai berikut iaitu membina dan mengembangkan bahasa Melayu. Dalam skop membina dan mengembangkan bahasa Melayu, pelbagai aktiviti dijalankan antaranya membuat penyelidikan bahasa, menggubal istilah dalam pelbagai bidang, menyusun kata (entri) sesebuah kamus, berceramah, menyediakan kursus bahasa, menerbitkan buku dalam pelbagai bidang untuk pelbagai peringkat pembaca dan sebagainya. Dimaklumkan kami di DBP juga membuka peluang kepada siswazah dalam jurusan bahasa Inggeris seperti sdr untuk berkhidmat di DBP. Sdr boleh memohon jawatan dalam skim perkhidmatan Pegawai Perancang Bahasa Gred S41 untuk dilantik sebagai Editor bagi buku berbahasa Inggeris, buku berbahasa Melayu, atau menjalankan aktiviti pembinaan/pengembangan bahasa atau sdr juga boleh memohon untuk berkhidmat dalam skim perkhidmatan Pegawai Tadbir Gred N41. | Lain-lain | 16.12.2009 |
Apakah perkataan "isme" yg sesuai untuk sikap "bersemangat" (passionate). Contoh patriotisme, altruisme, positivisme...saya perlukan "isme" yang menunjukkan "passionate". | Tiada kata yang berakhiran -isme yang menyatakan makna sikap bersemangat (passionate) dalam bahasa Melayu. Kata yang merupakan contoh kata pinjaman seperti patriotisme, altruisme dan positivisme terdapat dalam bahasa sumbernya, iaitu bahasa Inggeris. Malangnya, kata sumber passionatism juga tidak terakam dalam Kamus Collins dan Kamus Oxford English, iaitu rujukan dalam bahasa sumbernya. Apa yang boleh dicadangkan ialah saudara berbincang dengan pakar bidang dan pakar bahasa untuk membentuk/menggubal istilah/kata yang sesuai dengan maksud dan konteks dalam bidang tersebut. | Istilah | 23.08.2023 |