Salam sejahtera, 1) Apakah kesalahan dari segi tatabahasa dalam ayat ini -- Di sinikah awak selalu menghabiskan masa kelapangan bersama keluarga awak? 2) Apakah maksud ayat ini ---- Segala yang berlaku ke atas dirinya hanya sebagai penyebab. Terima kasih | 1) Di sinikah awak selalu menghabiskan masa kelapangan bersama keluarga awak? frasa yang betul ialah masa lapang. 2) Segala yang berlaku ke atas dirinya hanya sebagai penyebab. Tidak tepat dari segi makna ayat, penyebab bermaksud orang yang menjadi sebab. | Tatabahasa | 14.05.2013 |
katakan anak saya selalu mengambil masa yang lama untuk menghabiskan makanannya, saya nak dia makan dengan cepat sedikit, bagaimana saya harus cakap dengan dia, boleh saya cakap "cepat makan". terima kasih. | Dalam konteks tidak rasmi (bahasa percakapan), tuan boleh menggunakan bahasa yang difahami seperti "cepat makan" (suruhan). Walau bagaimanpun dalam konteks rasmi seperti binaan ayat suruhan dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia, tuan boleh menggunakan bentuk ayat seperti "ibu menyuruh anaknya menghabiskan makanan dengan segera". | Tatabahasa | 23.08.2013 |
Salam ceria! Ingin saya bertanya mengenai penggunaan perkataan seperti "abang, adik, ibu(bukan kata nama khas)" dsb dalam penulisan. Perkataan2 spt ini harus ditulis dengan huruf besar atau tidak. misalnya: ".... abang yang menghabiskan makanan itu." sekian, terima kasih. | Dalam penulisan, huruf besar digunakan hanya bagi: 1. Permulaan ayat 2. Huruf pertama setiap kata nama khas (nama orang, nama geografi, nama institusi, judul penerbitan dan lain-lain) Oleh sebab kata abang, ibu dan adik adalah kata nama am, maka perkataan tersebut hendaklah ditulis dalam huruf kecil kecuali jika kata tersebut memenuhi syarat (1), iaitu ditulis pada permulaan ayat. | Lain-lain | 08.10.2013 |
Puan, Tolong jelaskan maksud perkataan di bawah, sila berikan ayat contoh supaya saya dapat memahami dengan lebih dalam. a) persekolahan - penyekolahan b) perpisahan - pemisahan c) pertukaran - penukaran Terima kasih. | a) persekolahan hal bersekolah: Saya menghabiskan persekolahan saya di Kolej Melayu, Kuala Kangsar. penyekolahan perihal sekolah. Lazimnya perkataan ini jarang digunakan kerana terdapat bentuk lain yang boleh digunakan. b) perpisahan hal berpisah: Mati merupakan perpisahan antara jasad dengan roh. pemisahan hal atau perbuatan memisahkan: Pemisahan antara dunia yang bersifat analitik dan dunia nyata itu juga merupakan suatu pemisahan yang arbitari kerana sifat ilmu itu tidak terpisah daripada masyarakat yang mendukungnya. c) pertukaran perbuatan atau hal bertukar; pergantian; perubahan: Pertukaran iklim secara mengejut telah menyebabkan Maslena sakit. penukaran perbuatan (hal) menukar atau menukarkan: Penukaran permata asli dengan permata palsu itu dibuat secara sulit. | Tatabahasa | 05.03.2013 |
1)Pemanasan global yang berlaku adalah akibat daripada kekhilafan dan kesalahan manusia yang sangat begitu rakus sekali membaham segala-galanya kekayaan yang ada demi untuk memenuhi tuntutan duniawi. 2)senaman adalah salah satu daripada aspek yang termat penting sekali di dalam rawatan komprehensif sakit tulang belakang.Apa yang perlu kita tahu terdapat pelbagai rawatan-rawatan untuk kesakitan kronik itu seperti makan ubat,suntikan,tampalan,vitamin,fisioterapi dan terapi kogniti. 3)Bila menyentuh tentang kecantikan tentu sekali perkara yang paling dititikberatkan adalah kulit yang cantik dan sihat tanpa perlu menggunakan makeup untuk menutup kulit yang rosak yang sekaligus tidak diperlukan oleh kita menghabiskan banyak wang dan masa 4)guru sehahrusnya dapat mempamirkan sepenuhnya komitmen yang dengan seikhlas mungkin.murid-murid boleh menilai diri guru samada pengajaran yang guru lakukan hanya sekadar memenuhi masa mengajar dan menghabiskan sukatan pelajaran sahaja di samping mampu memberi bimbingan dan tanggungjawab dengan sepenuh hati. | Berikut ayat yang telah disemak. 1)Pemanasan global yang berlaku merupakan kesan daripada kekhilafan manusia yang sangat rakus sekali membaham semua kekayaan yang ada demi memenuhi tuntutan duniawi. 2)Senaman ialah salah satu daripada aspek yang amat penting sekali dalam rawatan komprehensif sakit tulang belakang. Kita perlu mengetahui terdapat pelbagai rawatan untuk penyakit kronik itu seperti memakan ubat,suntikan,tampalan,vitamin,fisioterapi dan terapi kogniti. 3)Apabila menyentuh mengenai kecantikan, tentu sekali perkara yang paling dititikberatkan ialah kulit yang cantik dan sihat tanpa perlu menggunakan mekap bagi menutup kulit yang rosak serta mengelakkan pembaziran banyak wang dan masa. 4) Guru seharusnya dapat mempamerkan sepenuh komitmen dengan ikhlas. Murid-murid boleh menilai guru sama ada pengajaran yang diberikan hanya sekadar memenuhi masa mengajar dan menghabiskan sukatan pelajaran sahaja atau mampu memberi bimbingan dan tanggungjawab dengan sepenuh hati. | Tatabahasa | 04.03.2013 |
Adakah perkataan 'remaja' boleh digandakan menjadi remaja-remaja? Jika tidak, apakah sebabnya? | Saudara Tammychong, Perkataan remaja boleh digandakan menjadi remaja-remaja. Contoh penggunaan perkataan 'remaja-remaja' ialah seperti yang berikut: Remaja-remaja zaman sekarang gemar menghabiskan masa dengan melayari internet. Namun kelazimannya, penggunaan perkataan remaja-remaja jarang digunakan dalam ayat. Kebiasaannya digunakan 'ramai remaja', 'para remaja', 'kebanyakan remaja' dan 'remaja' sahaja. | Tatabahasa | 14.09.2012 |
apakah maksud kecuaian dalam pekerjaan | Puan Jamiah, Maksud "kecuaian dalam pekerjaan" dapat ditakrifkan secara literal bahawa sesuatu perbuatan yang cuai atau lalai ketika melaksanakan pekerjaan atau tugas yang diarahkan. Bersama-sama ini dilampirkan takrifan kata "cuai dan pekerjaan" yang dipetik daripada Kamus Dewan Edisi Keempat untuk rujukan puan. kecuaian perihal cuai, kelalaian: nahas itu berlaku kerana ~ pemandu lori itu; pekerjaan sesuatu yg diusahakan (dilakukan berterusan) kerana mencari nafkah: ~nya yg baru ini menjadikan hidupnya agak senang; mencari ~ berusaha utk mendapatkan jawatan atau tugas-tugas yg menghasilkan pendapatan (secara berterusan); 3. (segala) tugas atau urusan (yg telah ditentukan sbg tanggungjawab), kewajiban, peranan: pastikan supaya dia menjalankan segala ~nya dgn memuaskan; anggota pertubuhan ini hendaklah menjalankan ~ masing-masing; 4. sesuatu (apa sahaja) yg dilakukan, perbuatan: setiap hari itulah saja ~nya, menghabiskan masa dgn kawan-kawannya | Makna | 06.03.2009 |