Keengganan beberapa orang pelajar menyertai latihan pusat bola sepak akan ____ misi pasukan sekolah untuk menjadi johan pada tahun ini. A membantutkan B menjejaskan C menggagalkan D menghampakan Munsyi, apakah jawaban yang paling sesuai dalam ayat ini. TK | Keengganan beberapa orang pelajar menyertai latihan pusat bola sepak akan menjejaskan misi pasukan sekolah untuk menjadi johan pada tahun ini. Sila rujuk kamus untuk mengenal pasti perkataan yang tepat dalam konteks sesuatu ayat. | Tatabahasa | 04.07.2012 |
Please advise the BM translation for 'Come with attractive metallic colours'. Thank you. | Untuk makluman tuan, seelok-eloknya frasa ini diterjemahkan dahulu dan kami akan membuat semakan terjemahan tersebut. Namun untuk tidak menghampakan harapan tuan, kami cadangkan frasa ini diterjemahkan kepada "dalam warna metalik yang menarik". Jika tuan mendapati terjemahan ini kurang tepat untuk menggambar konteks sebenar keseluruhan ayat, sila gantikan dengan terjemahan lain yang lebih tepat. | Penyemakan dan penterjemahan | 04.04.2014 |
Assalamualaikum, saya nak tanya pasal istilah ''hello'' iaitu istilah yang digunakan untuk menyapa, menegur atau menarik perhatian seseorang. Saya penat mencari istilah ''helo'' yang sesuai untuk bahasa Melayu dalam kamus-kamus, buku-buku dan sebagainya. Tapi hasilnya menghampakan dan mengecewakan. Saya tak jumpa istilah ''helo'' untuk bahasa Melayu. Tapi dalam kamus Melayu lama ada iaitu ''Amboi!'' tapi istilah itu jarang dipakai untuk menegur sebaliknya digunakan untuk menyatakan rasa hairan, kasihan, kagum dan sebagainya. Dalam masa yang sama, saya rasa malu dengan bahasa Melayu kerana istilah ''helo'' juga dipinjam daripada bahasa Inggeris iaitu ''hello''. Padahal. boleh saja jikalau diperkayakan, diciptakan dan disesuai dengan istilah tempatan. Oleh kerana ucapan ''salam'' atau ''assalamualaikum'' sering digunakan. Jadi, apa salahkan digunakan ''Sejahtera!'' untuk ''Hello!'' dalam bahasa Inggeris sebab ''salam'' bermaksud ''sejahtera''. Jikalau para pakar DBP dan pakar bahasa Melayu menyesuaikan dan menggunakan istilah ''Sejahtera!'' untuk ''Hello!'' dan ''Hi!'' dalam bahasa Inggeris. Saya berharap pihak tuan dapat mempertimbangkan segala cadangan saya untuk kemajuan, perkembangan dan keaslian bahasa Ibunda kita iaitu bahasa Melayu. Semoga bahasa Melayu terus dimartabatkan dan dikekalkan keasliannya seperti apa yang diimpikan oleh pendeta Za'ba dan kita semua sebagai bangsa Melayu. Insya Allah, amin. | Kami ambil maklum pandangan tuan dan mengucapkan syabas atas keprihatinan tuan dalam hal ini. Satu lagi yang perlu kita fahami ialah praktikal penyusunan kamus. Kamus umum merakamkan penggunaan kata yang banyak digunakan dalam kalangan masyarakat. Penggunaan kata "helo" apabila memulakan perbualan dalam telefon amat banyak digunakan, bukti yang jelas dapat dilihat melalui penggunaan perkataan "helo" dalam filem-filem lama era Tan Sri P. Ramlee. Berkemungkinan jika pada suatu masa dahulu, masyarakat penutur jati menggunakan perkataan "sejahtera" atau "salam", maka perkataan itulah yang akan diambil dalam penyususnan kamus. Walau bagaimanapun cadangan tuan ini akan kami panjangkan kepada Bahagian Perkamusan dan Bahagian Peristilahan dan Leksikologi, DBP untuk perhatian pihak mereka. | Istilah | 06.11.2015 |
A. Apakah kesalahan yang terdapat dalam ayat-ayat berikut, tolong perbetulkan dan jelaskan mengapa ? 1. Zarina berasa kecewa kerana terpaksa memecahkan harapan keluarganya yang ingin melihatnya melanjutkan pelajaran di universiti. 2. 'Malaysia, di sini lahirnya sekeping cinta ' merupakan slogan Hari Kemerdekaan yang ke-57. 3. Lampin pakai campak keluaran syarikat Huggies menawarkan potongan harga yang menarik untuk setiap pembelian RM60.00 dan ke atas. 4. Encik Ali mengajar Geografi kepada murid-murid menengah atas. 5. Landasan konkrit projek Mass Rapid Transit yang sedang dalam proses pembinaan di Kilometer 10, Jalan Mewah menimbulkan kebimbangan pengguna jalan raya berikutan taraf keselamatannya yang kurang memuaskan. 6. Sempena jualan penghabisan stok di pasar raya itu, pemiliknya telah mengedarkan katalog baru kepada pembeli. 7. Hadiah kemenangan saya telah bertambah sebab saya memilih untuk menggunakan pembelian secara pukal. B. Bagaimana hendak tukarkan ayat tanya songsang kepada ayat tanya biasa bagi ayat berikut : 1. Bagaimanakah awak masuk ke rumah sedangkan awak lupa untuk membawa kunci ? C. Apakah peribahasa yang sesuai bagi kedua-dua ayat berikut ? 1. Pengadil bola keranjang itu dicemuh oleh penonton kerana bersikap _____________ ketika mengadili perlawanan. 2. Kehidupan keempat-empat anak yatim piatu di hujung kampung itu sungguh daif dan melarat umpama ________ . Terima kasih. | 1. Zarina merasa kecewa kerana menghampakan harapan keluarganya yang ingin melihatnya melanjutkan pelajaran di universiti. Ayat ini kurang tepat kerana penggunaan kata yang tidak tepat dalam konteks ayat tersebut. Untuk melihat penggunaan kata yang tepat, sila rujuk kamus atau layari laman web kami di www.prpm.dbp.gov.my. Ruang yang terhad ini tidak dapat menghuraikan satu demi satu kesalahan dan ayat selepas ini telah diperbaiki. 2. "Malaysia, di sini lahirnya sebuah cinta", merupakan slogan Hari Kemerdekaan yang ke-57. 3. Lampin pakai buang keluaran syarikat Huggies menawarkan potongan harga yang menarik untuk setiap pembelian RM60.00 dan ke atas. 4. Encik Ali mengajarkan Geografi kepada murid-murid menengah atas. 5. Landasan konkrit projek Mass Rapid Transit yang sedang dalam proses pembinaan di Kilometer 10, Jalan Mewah menimbulkan kebimbangan pengguna jalan raya berikutan tahap keselamatannya yang kurang memuaskan. 6. Bersempena dengan jualan penghabisan stok di pasar raya itu, pemiliknya telah mengedarkan katalog baru kepada pembeli. 7. Hadiah kemenangan saya telah bertambah kerana saya memilih untuk menggunakan pembelian secara pukal. B. Bagaimanakah awak masuk ke rumah sedangkan awak lupa membawa kunci C. Sila rujuk penggunaan peribahasa yang sesuai dengan konteks ayat melalui laman web kami. | Tatabahasa | 23.09.2015 |