| hanya keimanan dapat mengikis penyakit sakit hati dalam kalangan manusia. ( mengapakah ayat ini salah dalam penggunaan penyakit? TK) | Berdasarkan konteks ayat, frasa sakit hati merupakan suatu perasaan bukan penyakit hati. Ayat yang betul ialah "Hanya keimanan dapat mengikis perasaan sakit hati dalam kalangan manusia." | Tatabahasa | 11.08.2013 |
| Ayat mana yg betul 1. Pak Ali menurut sahaja kemahuan isterinya yang hanya mahu mengikis hartanya. 2. Kucing kesayangan Ali telah dilanggar oleh kereta pada pagi tadi. | Ayat pertama adalah betul. Ayat kedua perlu dibetulkan seperti yang berikut: Kucing kesayangan Ali telah dilanggar kereta pagi tadi. | Tatabahasa | 08.05.2019 |
| Salam sejahtera, baik pelajar mahupun guru bahasa Melayu menggunakan tanda petik semasa mengungkapkan ungkapan / peribahasa, misalnya "Mereka juga harus memahami bahawa ‘bersatu teguh bercerai roboh’."; "Kita haruslah mengikis sikap ‘bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing' untuk memastikan perpaduan rakyat terus berkekalan." dan lain-lain. Saya mengajukan kemusykilan ini kerana tudak dinyatakan dalam Gaya Dewan tentang penggunaan tanda petik untuk peribahasa. Lebih-lebih lagi, apabila perkara ini dipanjangkan kepada para pemeriksa, pelbagai jawapan yang diberikan; tiada satu jawapan yang mantap. Jawapan yang biasa diterima ialah bergantung pada budi bicara pemeriksa. Dengan ini, diharapkan pihak tuan/puan dapat memberikan penjelasan yang dapat digunakan sebagai tunjuk ajar ketika mendidik anak-anak watan kita. Sekian. Salam hormat kay Seven | Untuk makluman tuan, kami di DBP berpegang hanya pada buku Tatabahasa Dewan sebagai rujukan. Jika berlainan daripada apa yang ditulis, hal berkenaan di luar bidang kuasa kami. Untuk lebih jelas, mohon rujuk halaman 64. | Tatabahasa | 22.12.2016 |
| Apakah maksud 'mengirai', 'mengirah', dan 'mengikir'? | Mengirai/mengiraikan bermaksud mengibas-ngibas dengan keras(supaya hilang debu), mengirapkan,mengepak-ngepak atau mengoyang-goyangkan sayap. Mengirah bermaksud membuang atau mencurahkan(air,minuman dll.). Mengikir bermaksud melicinkan(mengikis dll. dengan kikir. Untuk mendapatkan makna perkataan saudara boleh merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat. | Makna | 08.04.2008 |
| Saya difahamkan bahawa perkataan 'untuk' dan 'demi' digunakan di hadapan kata nama/frasa nama. Namun dalam banyak situasi, perkataan 'untuk/demi' juga diletakkan di hadapan kata kerja. Contoh: (1) Saya perlu berusaha dengan lebih gigih lagi untuk mencapai keputusan yang lebih cemerlang. (2) Kita perlu mengikis segala perasaan iri hati dan cemburu demi memperkukuh parti. Adakah penggunaan 'untuk' dan 'demi' dalam kedua-dua ayat di atas dibenarkan? Penggunaan sedemikian tidak terdapat dalam Dewan Tatabahasa. | Perkataan untuk/demi berfungsi sebagai kata sendi nama dan hadir sebelum kata nama dan juga berfungsi sebagai kata hubung keterangan dan hadir sebelum kata kerja. | Tatabahasa | 25.07.2018 |
| Bagaimana menggunakan perkataan “secara generalisasi” untuk membina ayat? Bolehkah tuan/puan memberikan contoh ayat? Terima kasih. | Berdasarkan Kamus Dewan Perdana (terbitan 2021), halaman 663, generalisasi bermaksud kesimpulan umum tentang sesuatu perkara, isi dan sebagainya yang dibuat tanpa membuat kajian yang menyeluruh atau tanpa berdasarkan bukti yang lengkap. Contoh ayat yang betul ialah “Masyarakat di negara ini haruslah mengikis sikap membuat generalisasi terhadap sesuatu isu tanpa usul periksa”. | Makna | 26.01.2024 |