Dia mengisikan borang atau dia mengisi borang? | Dia mengisikan borang atau dia mengisi borang? Perkataan mengisikan bermaksud memasukkan sesuatu ke dalam bekas atau ruang; memasukkan sesuatu sebagai isinya; Sementara, mengisi bermaksud menjadikan sesuatu bekas atau ruang berisi atau memberi isi. Penggunaan 'mengisikan' dan 'mengisi' yang betul adalah seperti contoh yang berikut: (1) Pelajar-pelajar diminta mengisikan maklumat peribadi dalam borang. (2) Pelajar-pelajar diminta mengisi borang dengan maklumat peribadi. Rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, muka surat 589. | Tatabahasa | 04.10.2013 |
Salam. Mohon tuan / puan memberi pencerahan dan contoh bagi "mengisi masa" dan "mengisikan masa"? Terima kasih. | Perkataan mengisikan bermaksud memasukkan sesuatu ke dalam bekas atau ruang; memasukkan sesuatu sebagai isinya, manakala mengisi bermaksud menjadikan sesuatu bekas atau ruang berisi atau memberi isi. Dalam konteks ayat diberikan mengisikan masa tidak sesuai digunakan. Contoh ayat yang sesuai ialah Ayah mengisi masa lapang dengan mempertajam parangnya. | Makna | 17.03.2018 |
Tuan, adakah "pengisian" dapat bermaksud benda yang diisikan? Sila rujuk WordPad saya untuk lebih lanjut mengetahui siasatan saya. | Pengisian bermaksud hal atau perbuatan mengisi atau mengisikan. Sebarang dapatan baharu untuk peluasan makna kata bolehlah disalurkan kepada pihak yang berwenang dalam hal ini, iaitu Ketua Bahagian Perkamusan. | Makna | 22.12.2016 |
Dalam Pelajaran Bahasa Malaysia Tahun Dua, 1995, terdapat satu ayat "Bapa Ali membawa timba untuk mengisi ikannya.", adakah perkataan "mengisi" dalam ayat tersebut digunakan dengan betul? Kalau tidak, mohon jawapan bentuk betul untuk perkataan "isi". Terima kasih! | Dalam Kamus Dewan mengisi bermaksud menjadikan (sesuatu seperti beg, botol, dan sebagainya) berisi, mengisikan bermaksud memasukkan (menaruh, menempatkan) sesuatu ke dalam (sesuatu bekas dan lain-lain). Berdasarkan huraian makna kedua-dua kata perkataan mengisikan lebih sesuai digunakan dalam konteks ayat tersebut. | Tatabahasa | 30.04.2013 |
Aslm pihak khidmat nasihat DBP, Apakah perbezaan antara men...i dan men..kan, atau di...i dan di...kan? (bukan dalam konteks objek bernyawa atau tidak) Contoh: 1) Kakak mengambilkan segelas air suam untuk datuk. (Menurut buku saya, ayat ini salah, tetapi bukankah kalau apitan meN..kan, ia perlu diikuti objek?) 2)Pemuda itu membelikan tunangnya seutas rantai emas atau Pemuda itu membelikan seutas rantai emas untuk tunangnya? Adakah apitan meN..i dan meN..kan membawa 'maksud berbeza', apabila digunakan dalam ayat-ayat tertentu? Contohnya: melakukan perbuatan untuk seseorang :membawakan, menyebabkan objek berlaku :menghilangkan Mohon penjelasan. Selain itu, bilakah dimasukkan apitan -kan atau -i dan bilakah ia digugurkan? Contoh : 1) Dia mengisi borang atau Dia mengisikan borang 2) Kakak mengambilkan datuk segelas air suam atau Kakak mengambil segelas air suam untuk datuk. Mohon penjelasan untuk setiap soalan yang dikemukakan. | Fungsi apitan meN-...-kan dengan meN-...-i terbahagi tiga: (1) Fungsi apitan meN-...-kan untuk menandakan kausatif, manakala apitan meN-...-i menandakan lokatif, contohnya; a. Pak Osman menghadiahkan basikal kepada Ahmad. b. Pak Osman menghadiahi Ahmad sebuah basikal. (2) Bagi kata tertentu, perbezaan penggunaan apiatan meN-...-i adalah dari segi objek tepat yang boleh mengikutinya, iaitu apitan meN-...-kan lazimnya menerima objek tidak bernyawa dan apitan meN-...-i menerima objek bernyawa. Contohnya; a. Ali memberi kucing makanan. b. Ali memberikan makanan kepada kucing. Perkataan memberi dalam ayat (b) sebenarnya terdiri daripada kata dasar beri yang menerima apitan meN-...-i, tetapi telah digugurkan. (3) Bagi sebilangan kecil kata kerja yang menerima apitan meN-...--kan dan meN-...-i, penggunaannya saling berganti tanpa membezakan makna. Contohnya; a. Ali membaiki kereta yang rosak itu. b. Ali membaikkan kereta yang rosak itu. Tidak berlaku pengguguran apitan meN-...-kan atau meN-...-i, dalam konteks ayat tersebut perkataan yang sesuai ialah mengambil. | Tatabahasa | 23.09.2015 |