Salam sejahtera Tuan/Puan 1) Apakah perbezaan antara 'pemahaman' dan 'kefahaman'? 2) Ayat manakah yang betul: 2a) Soalan disediakan bagi menguji pemahaman murid. 2b) Soalan disediakan bagi menguji kefahaman murid. Sekian, terima kasih. CK | 1. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, pemahaman bermaksud perihal memahami, atau apa yang difahami tentang sesuatu perkara, manakala kefahaman ialah keupayaan (kemampuan) memahami, faham tidaknya (seseorang) akan sesuatu yang dipelajari (dibaca dsb.). 2. Kedua-duanya boleh digunakan. | Tatabahasa | 14.02.2012 |
SELAMAT PAGI, BERIKUT MERUPAKAN SOALAN SAYA. 1. PERKATAAN "REPUT" TERGOLONG DALAM GOLONGAN KATA KERJA ATAU KATA ADJEKTIF? 2. BOLEHKAH SAYA MENGUJI KELAS KATA BAGI KATA KERJA DENGAN KATA BANTU? TERIMA KASIH. | Encik Oo, Golongan kata bagi perkataan reput bergantung juga pada ayat. Dalam ayat: Keadaannya reput (kata adjektif). Lama-kelamaan bahan itu akan reput(kata kerja) | Tatabahasa | 16.04.2010 |
Saya berminat untuk mngembangkan bakat atau mengisi waktu apabila melangkah ke alam persaraan dalam masa 4 tahun 1/2 lagi. Walau bagaimanapun penumpuan idea atau kecenderongan ke arah skop penulisan belum ada lagi yang kukuh. masih mencari apa bidang yang sesuai dan mengarah pemikiran untuk menampilkan cetusan idea yang boleh diisi dalam pencernaan ayat dan perkataan yang begitu mantap untuk dibaca atau ditatap oleh segelintir manusia barangkali. Aliran pemikiran dan penulisan tidak menjurus kepada trend sesiapa kerana saya ingin gaya dan kekuatan tersendiri. Apakah yang boleh dilakukan buat permulaan sekarang ? Adakah elok saya menulis artikel atau penulisan awalan untuk mengukur sejauh mana kemampuan saya . Memang betul sebagai asas saya perlu banyak membaca supaya saya tahu pelbagai jurusan penulisan serta teknik yang digunakan. Perlukah saya belajar pelbagai teknik penulisan? Kalau saya ingin penulisan saya dibukukan bagimana caranya ? | Alhamdulillah, sdr. berminat dalam bidang penulisan. Mudah-mudahan akan bertambah lagi penulis berbakat di tanah air pada masa akan datang. Dalam hal ini sdr. boleh mengasahkan bakat dalam bidang penulisan terutamanya dengan banyak membaca dan meneliti karya-karya pemenang sastera. Semua karya sdr. perlulah dihantar ke media cetak dan syarikat penrbit (akhbar, majalah, novel/buku dll.) serta media elektronik (radio dan tv) bagi tujuan penerbitan dan penyiaran. Sdr. juga digalakkan menyertai peraduan karya sastera (mengikut genre yang diminati) bagi menguji semangat, bakat dan keterampilan sdr. dalam bidang penulisan. Akhirnya, bagi mendapatkan pendedahan dan khidmat nasihat dalam bidang penulisan, sdr. bolehlan menghubungi pejabat DBP yang berhampiran. Untuk mendapatkan Khidmat Nasihat Berkarya secara dalam talian, saudari bolehlah melayari laman web DBP www.dbp.gov.my, dan klik menu perkhidmatan, saudari akan dapat khidmat bimbingan berkarya secara percuma. Selamat mencuba. | Lain-lain | 22.10.2009 |
apakah perbezaan perkataan kedudukan dan cabaran? | Makna kedudukan ialah 1. tempat tinggal (yg didiami); 2. tempat letaknya: ~ Singapura di tengah-tengah jalan laut yg menghubungkan Timur dan Barat menyebabkannya menjadi pelabuhan yg begitu penting di Asia; 3. keadaan atau selok-belok (hal) sesuatu perkara (terutama pd masa tertentu), situasi: sudah berkali-kali ia menerangkan ~ yg sebenarnya kpd penduduk-penduduk di situ; ~ politik (ekonomi dsb); 4. tingkatan taraf (martabat, darjat, dsb): tiap-tiap orang ada harapan utk mendapat pangkat dan ~ yg tinggi dlm negaranya;. Cabaran pula ialah 1. hasil mencabar (mempersoalkan, mempertikaikan); 2. ajakan (utk berlawan dsb); 3. sesuatu (unsur, faktor, dsb) yg mencabar (menguji kemampuan dan ketabahan seseorang atau sesuatu organisasi dll): pekerjaan yg penuh dgn ~;. Untuk keterangan lanjut, sila rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat. | Makna | 27.06.2010 |
apa perbezaan antara menyiasat dan menyelidik | Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan menyiasat bermaksud 1. menyelidiki (memeriksa) sesuatu perkara yg belum terang, mencari keterangan bkn sesuatu perkara, mengusut: kerajaan berjanji akan ~ aduan-aduan itu; kalau disiasati dgn lebih teliti, agaknya mudahlah dijejaki pembunuh-pembunuh itu; 2. menghuraikan (sesuatu perkara dll), menyelidiki (utk mengetahui kebenaran dll), menelaah: doktor sedang ~ apa jenisnya penyakit itu; mereka mempercayai apa sahaja yg didengar dgn tiada ~ atau menguji kebenarannya; 3. menanyai atau menyoal (utk mengetahui sesuatu), menemu duga: mereka telah dibawa ke Ipoh utk disiasat. Perkataan menyelidik pula bermaksud 1. memeriksa sesuatu yg belum terang, menyiasat utk mendapat keterangan dsb tentang sesuatu: beberapa orang pakar sedang ~ kemungkinan agama Islam dibawa dr negeri China ke Tanah Melayu; 2. mempelajari sungguh-sungguh (utk mengetahui sesuatu): biarlah aku selidiki buku-buku ini, barangkali fikiran dan mataku akan lebih terang; 3. mengintip (mengintai) musuh, menyuluh. | Istilah | 14.07.2009 |
bagaimanakah saya boleh memulakan karier sebagai seorang penulis? | Terima kasih atas soalan yang dikemukakan. Antara syarat-syarat penting untuk memulakan karier menjadi seorang penulis yang berjaya ialah: 1. Perlu mempunyai minat yang mendalam dan azam yang kental untuk menjadi seorang penulis. 2. Rajin membaca pelbagai bahan bacaan seperti buku, akhbar dan majalah. Juga membaca karya-karya bermutu (novel, drama, cerpen, puisi, rencana dan esei/kritikan) oleh penulis terkenal dan memenangi pelbagai hadiah/peraduan. 3. Mengikuti bengkel penulisan (novel, drama, cerpen, puisi, rencana, dll) yang dianjurkan oleh pelbagai pihak. 4. Menjadi anggota persatuan penulis. Melaluinya sdr. boleh mengikuti pelbagai aktiviti yang dilaksanakan di samping dapat bertukar-tukar idea dan pendapat dengan penulis pelbagai kaum dan peringkat umur. 5. Rajin berkarya/bereksperimen tanpa mengenal putus asa. 6. Menghantar karya ke pelbagai penerbitan untuk tujuan penerbitan di samping menguji kemampuan sebagai seorang penulis. Selamat menjadi seorang penulis dan selamat berjaya! | Lain-lain | 30.12.2008 |
Tuan yang bijaksana. Dalam buku tatabahasa ada tertulis, kata sendi "tentang" digunakan sebagai unsur yang membawa maksud rujukan sesuatu yang tidak tentu atau umum, atau mujarad. Frasa yang mengikuti kata sendi "tentang" menjadi hal yang diperlakukan. Kata sendi "terhadap" pula digunakan sebagai unsur yang membawa maksud rujukan yang membawa maksud rujukan yang melibatkan penyambut tertentu seperti manusia, haiwan, atau benda. Oleh hal yang demikian, adakah penggunaan kata sendi "tentang" dalam ayat di bawah ini salah: 1. Kami sudah menguji orang yang terdahulu daripada mereka. Nyata apa yang diketahui oleh Allah tentang orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang yang berdusta. | Penggunaan "tentang" dalam ayat tersebut betul. | Tatabahasa | 01.04.2013 |
Terima kasih, Tuan. Minta penjelasan lanjut. Kerajaan menghadapi pelbagai masalah dalam mengawal kebanjiran pekerja asing ke negara ini. Bincangkan. Kerajaan menghadapi pelbagai halangan dalam mengawal kebanjiran pekerja asing ke negara ini. Bincangkan. Kerajaan menghadapi pelbagai cabaran dalam mengawal kebanjiran pekerja asing ke negara ini. Bincangkan. Soalan 1. Adakah penggunaan perkataan masalah, halangan dan cabaran pada 3 ayat di atas betul? 2. Adakah masalah yang ujud akan menjadi halangan dan jika tidak dapat diselesaikan ia akan menjadi cabaran? Contoh : Kerajaan menghadapi masalah kewangan dalam mengawal kebanjiran pekerja, dengan kata lain kerajaan menghadapi halangan iaitu sumber kewangan terhad. Maka, dengan sumber kewangan yang terhad, cabaran kerajaan ialah mendapatkan wang untuk mengawal kebanjiran pekerja asing 3. Bolehkah tuan kemukakan beberapa contoh situasi yang mendatangkan cabaran kepada negara atau individu supaya saya lebih jelas tentang maksud cabaran untuk dibezakan daripada halangan dan masalah. contoh 1 Apa cabaran seorang pendaki gunung? Jawapan faktor cuaca Apa masalah yang dihadapi oleh pendaki gunung? Jawapan faktor cuaca Apakah halangan yang dihadapi oleh pendaki gunung? Jawapan faktor cuaca Faktor cuaca adalah cabaran, juga merupakan masalah, juga merupakan halangan kepada seorang pendaki. Jadi, apa bezanya? | Untuk makluman tuan, huraian makna yang diberikan adalah merujuk Kamus Dewan dan Kamus Dewan tidak menghuraikan secara perinci tahap makna perkataan tersebut. Pada pandangan kami ayat yang paling tepat ialah Kerajaan menghadapi pelbagai cabaran dalam mengawal kebanjiran pekerja asing ke negara ini. Kerja mengawal kebanjiran pekerja asing dianggap sebagai cabaran yang menguji kemampuan negara kita untuk menanganinya. Walau bagaimanpun tidaklah salah jika "mengawal kebanjiran pekerja asing" dianggap sebagai masalah atau halangan kepada negara kerana hal ini juga memerlukan penyelesaian (masalah) dan juga menjadi rintangan kepada negara. Hal ini demikian kerana kita boleh melihat ayat itu daripada pelbagai aspek sama ada masalah atau halangan atau cabaran. Untuk melihat contoh lain penggunaan kata cabaran, layari http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=cabaran&d=9. | Makna | 07.06.2012 |
Salam sejahtera saya ingin megetahui apakah ciri-ciri yang perlu ada untuk menulis cerpen dengan baik. | Antara ciri-ciri penting untuk memulakan karier menjadi seorang penulis yang berjaya ialah: 1. Perlu mempunyai minat yang mendalam dan azam yang kental untuk menjadi seorangpenulis. 2. Rajin membaca pelbagai bahan bacaan seperti buku, akhbar dan majalah. Juga membaca karya-karya bermutu (novel, drama, cerpen, puisi, rencana dan esei/kritikan) olehpenulis terkenal dan memenangi pelbagai hadiah/peraduan. 3. Mengikuti bengkel penulisan (novel, drama, cerpen, puisi, rencana, dll) yang dianjurkan oleh pelbagai pihak. 4. Menjadi anggota persatuan penulis. Melaluinya sdr. boleh mengikuti pelbagai aktiviti yang dilaksanakan di samping dapat bertukar-tukar idea dan pendapat dengan penulispelbagai kaum dan peringkat umur. 5. Rajin berkarya/bereksperimen tanpa mengenal putus asa. 6. Menghantar karya ke pelbagai penerbitan untuk tujuan penerbitan di samping menguji kemampuan sebagai seorang penulis. Selamat menjadi seorang penulis dan selamat berjaya! | Lain-lain | 26.10.2010 |
Apakah syarat-syarat am atau khas bagi seseorang individu ingin menerbit atau menulis sesebuah buku? | Terima kasih atas soalan yang dikemukakan. A. Sdr. perlu memahami apa itu penerbitan. Penerbitan terbahagi kepada penerbitan buku, Majalah, Kamus dan lain-lain. Kemudian apabila mengetahui selok belok penerbitan baharulah sdr. menubuhkan syarikat penerbit. Mendapatkan maklumat jumlah modal yang perlu kerana syarikat yang ditubuhkan perlukan a) modal pusingan b) kakitangan c) pejabat dan d) overhed (talian telefon, api, air ,sewa, promosi dan pengangkutan). Membuat perancangan penerbitan seperti membuat perolehan manuskrip (mencari penulis yang boleh menulis skrip) menentukan bidang buku yang hendak diterbitkan dan buku peringkat apa yang hendak diterbitkan sama ada peringkat kanak-kanak, remaja atau dewasa. Juga peringkat pengajian tinggi (Buku Ilmiah) atau buku fiksyen seperti novel dan cerpen atau buku rujukan seperti ensiklopedia. Untuk mendapatkan ilmu penerbitan perlu dicari dan banyak berbincang dengan rakan penerbit. B. Antara syarat-syarat penting untuk memulakan karier menjadi seorang penulis yang berjaya ialah: 1. Perlu mempunyai minat yang mendalam dan azam yang kental untuk menjadi seorang penulis. 2. Rajin membaca pelbagai bahan bacaan seperti buku, akhbar dan majalah. Juga membaca karya-karya bermutu (novel, drama, cerpen, puisi, rencana dan esei/kritikan) oleh penulis terkenal dan memenangi pelbagai hadiah/peraduan. 3. Mengikuti bengkel penulisan (novel, drama, cerpen, puisi, rencana, dll) yang dianjurkan oleh pelbagai pihak. 4. Menjadi anggota persatuan penulis. Melaluinya sdr. boleh mengikuti pelbagai aktiviti yang dilaksanakan di samping dapat bertukar-tukar idea dan pendapat dengan penulis pelbagai kaum dan peringkat umur. 5. Rajin berkarya/bereksperimen tanpa mengenal putus asa. 6. Menghantar karya ke pelbagai penerbitan untuk tujuan penerbitan di samping menguji kemampuan sebagai seorang penulis. Selamat menjadi seorang penulis dan selamat berjaya! | Lain-lain | 19.10.2010 |