Salam 1 Malaysia. 1. Pensyarah kursus Penterjemahan memaklumkan yang bagi Bahasa Melaysia moden sekarang perkataan 'telah' tidak digunakan lagi. Contoh: 'saham syarikat A telah jatuh 50%'. Jadi sepatutnya 'saham syarikat A jatuh 50%'. Tetapi saya lihat melalui panduan penggunaan tatabahasa yang betul yang dibentangkan di MOSTI oleh DBP, masih digunakan perkataan 'telah'. 2. Kami jugak dimaklumkan bahawa perkataan tidak digandakan. Contoh : 'projek dilaksanakan dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan yang berkaitan' ditulis sebagai 'projek dilaksanakan dengan kerjasama agensi kerajaan yang berkaitan'. Mohon panduan berkaitan perkara ini. Terima kasih. | Maklumat yang disampaikan oleh penceramah tersebut lebih kepada gaya penulisan dan nilai ekonomi. Kecenderungan penulis pada masa kini tidak lagi menggunakan kata telah dan kata ganda dalam penulisan mereka. Penulis tidak lagi menggunakan kata telah terutamanya dalam melaporkan peristiwa yang telah berlaku, seperti "Saham syarikat A jatuh sebanyak 50% ...". Begitu juga dengan penggunaan kata jamak. Penulis lebih gemar tidak mengulangi perkataan yang sememangnya diketahui umum bersifat jamak, seperti "peserta-peserta seminar" dan "negara-negara yang bersidang". Seminar dan persidangan semestinya melibatkan ramai peserta dan banyak negara. | Tatabahasa | 22.10.2011 |
Benarkah perkataan "justeru" tidak boleh digunakan sebagai penanda wacana dalam penulisan karangan? Tolong jelaskan cara penggunaan perkataan tersebut ( dengan beberapa contoh ) supaya kami tidak mengulangi kesilapan penggunaannya pada masa akan datang. | Justeru bermaksud 1. kebetulan,tepat,kena benar. 2. malahan,bahkan.Justeru yang bermaksud malahan digunakan sebagai penanda wacana penghubung yang merupakan penghubung untuk memberikan maklumat tambahan kepada sesuatu perkara yang diperkatakan sebelumnya. Contoh; kuasa melalui proses undang-undang diiktiraf oleh mahkamah. undang-undang bukan sahaja menentukan bahawa kuasa itu sah, justeru(malahan) menentukan bahawa kuasa itu digunakan dengan munasabah,adil,jujur dan saksama. Rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga untuk keterangan lanjut tentang penanda wacana. | Tatabahasa | 01.08.2008 |
Mohon penjelasan bagi ayat yang berikut 1. Tahniah kerana anda hadir ke / di sekolah 2. Laluan sekolah selamat ATAU laluan selamat sekolah 3. Membangunkan semula kawasan yang dilanda banjir itu ATAU membangunkan kawasan yang dilanda banjir itu semula | 1. Tahniah kerana anda hadir di sekolah, penggunaan sendi nama "di" merujuk pelajar telah sampai di sekolah. 2. Laluan selamat sekolah kerana yang diutamakan ialah laluan selamat di ikuti lokasinya, iaitu sekolah. 3. Membangunkan semula kawasan yang dilanda banjir itu kerana bermaksud mengulangi perbuatan "membangunkan". | Tatabahasa | 26.04.2012 |
adakah kata-kata ganda berikut boleh diterima? 1. makanan-makanan 2. biskut-biskut 3. kerepek-kerepek 4. tangan-tangan 5. lelaki-lelaki 6. benda-benda Kalau sesetengah kata ganda tidak boleh diterima. Apakah sebabnya? Adakah semua benda atau kata nama boleh digandakan? Apakah syarat untuk menggandakan sesuatu perkataan? Sekian, terima kasih. | Kata ganda ialah bentuk kata yang dihasilkan dengan menggandakan atau mengulangi kata dasar sama ada kata tersebut diulang keseluruhannya atau pada bahagian-bahagian tertentu dan dengan imbuhan atau tanpa imbuhan. Perkataan dalam contoh yang diberikan boleh digandakan. Sungguhpun begitu, tidak semua kata boleh digandakan. Untuk makluman, kata ganda hanya ada 3 jenis sahaja, iaitu: Kata ganda penuh ialah penggandaan seluruh kata dasar jenis kata nama tanpa sebarang perubahan bentuk, contoh : buku-buku dan sekolah-sekolah. Kata ganda separa ialah penggandaan yang melibatkan sebahagian sahaja kata dasar, contoh : gegelang, sesiku dan sesumbu. Kata ganda berirama/berentak ialah proses yang menggandakan kata dasar jenis kata nama mengikut rentak bunyi tertentu dalam kata dasar, contoh : kuih-muih, kayu-kayan dan saudara-mara. Kata ganda berimbuhan ialah menambah imbuhan awalan pada kata dasar yang diulang, contoh : beramai-ramai. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga.
| Tatabahasa | 12.09.2017 |
Salam sejahtera. 1. “Azman hendak melihat perarakan tetapi sudah tamat”,”Azman hendak melihat perarakan tetapi perarakan sudah tamat”. Ayat manakah yang betul? Adakah perkataan ‘perarakan’ diperlukan selepas ‘tetapi’? 2.Dalam bahasa Malaysia, kata kerja transitif “men...kan” diikuti oleh objek manakala “men...i” diikuti oleh manusia. Sebagai contoh, “Bapa menghadiahi Ali sebuah buku”,”Bapa menghadiahkan sebuah buku kepada Ali”. Akan tetapi, terdapat sesetengah ayat yang tidak mengikut hukum tersebut. Contohnya, “Mereka menguasai sektor ekonomi”,”Peluru mengenai sasaran”. Apakah yang menyebabkan keadaan ini berlaku? 3.Dalam kesusasteraan Melayu lama, terdapat perkataan “sekalian peristiwa”. Apakah maksud sebenar yang didukung oleh perkataan tersebut? 4. Apakah cara penulisan yang paling sesuai untuk kata bilangan berangka seperti kedua(ke-2), kelima puluh(ke-50) dalam tulisan rasmi? Adakah tanda sempang(-) dengan angka mesti digunakan ataupun tulisan dalam perkataan sudah memadai? 5. Penulisan kata bilangan ke-56 ditulis dalam bentuk “kelimapuluh enam” ataupun “kelima puluh enam”? | Jawapan 1. Kedua-dua ayat adalah betul. Akan tetapi ayat pertama lebih gramatis, iaitu tidak perlu mengulangi perkataan “perarakan” 2. Bukan semua kata kerja transitif “men...kan” dan “men...i” harus mengikut peraturan tersebut. Sila lihat buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga halaman 207: (II) Bagi kata kerja tertentu, perbezaan penggunaan apitan meN- ... –kan dan meN-...-i adalah dari segi jenis objek tepat yang boleh mengikutinya, iaitu apitan meN-...-kan lazimnya menerima objek tidak bernyawa dan apitan men-...-i menerima objek yang bernyawa. Contohnya: a. Ali memberi kucing makanan b. Ali memberikan makanan kepada kucing. Apabila disebut bagi kata kerta tertentu bermaksud bukan semua kata kerja. Banyak kata kerja berapitan men...i yang tidak diikuti oleh objek bernyawa: -Mereka cuba melupai peristiwa itu -Hujan membasahi jemurannya. -Air hujan memasuki rumah kami. Untuk lebih faham, sila rujuk Buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga halaman 202 -208. 3. “Sekalian peristiwa” bermaksud semua peristiwa atau keseluruhan peristiwa. 4. Penulisan angka boleh digunakan dengan ejaan penuh atau ditulis angka sahaja dalam tulisan rasmi. Walau bagaimana pun mengikut buku Gaya Dewan apabila menulis dalam ayat, bilangan 1 hingga 9 dieja penuh, (seperti satu, dua....sembilan). Manakala bilangan 10 dan ke atas ditulis dengan angka (10, 12, 20, 31, 105 dsb). Jadi apabila ditambah ke, menjadi kedua, kelapan, ke-10, ke-50. Akan tetapi jika bukan dalam ayat, seperti tajuk atau nama khas sesebuah program atau majlis, boleh ditulis dengan angka sahaja walaupun bilangan itu kurang daripada 10. Contohnya “Anugerah Enovasi Ke-8”. 5. Kelima puluh enam | Lain-lain | 30.10.2014 |