Semasa mengajar komponen sastera pelajar saya sering bertanya mengapa lain buku rujukan lain pula tema dan persoalan sesebuah karya itu, sedangkan mereka mengulas karya yang sama. Persoalnnya, adakan tema dan persoalan sesebuah karya itu tetap atau bergantung pada tafsiran si pembacanya? Minta pandangan, terima kasih. | Tema dan persoalan ialah idea atau pemikiran yang timbul yang berkait secara langsung dengan tema yang dikemukakan. Berdasarkan maksud tersebut, berkemungkinan terdapat pelbagai pendapat dan pemikiran tentang hasil sesebuah karya daripada pelbagai buku rujukan, namun pemikiran tersebut pasti berkisar pada tema yang diutarakan dan tidak ada banyak perbezaannnya. | Sastera | 26.04.2012 |
Bapa sedang ______ durian. ( mengopek / mencekah / membelah / mengupas ) Jawapan yang mana betul? | Saudari/saudari, Mengopek berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud membuang kulit buah-buahan, mengupas, mengopak (utk mengambil isinya). Mengupas sedikit: ~ buah-buahan dgn hujung pisau. Mencekah pula bermaksud 1. = bercekah; 2. memecahkan (dgn mengapit kedua-dua belah tangan): ~ buah manggis; 3. melebarkan (membuka) sudut (kangkang dll), membelah, menguakkan: cekahlah tulang itu dan dedahkan alat-alat pembiakannya; ~ buah durian. Manakala membelah membawa maksud, memotong atau memecahkan sesuatu menjadi dua bahagian: Selepas ~ buah tembikai itu, ia memberikan sebelah kpd kawannya dan sebelah lagi utknya sendiri. 2 mengerat dan memecahkan sesuatu menjadi beberapa bahagian: Selepas minum teh, saya menolong ayah saya ~ kayu api. 3 memotong bahagian tubuh orang sakit utk menyembuhkannya; membedah. Mengupas merujuk kepada, membuang atau menanggalkan kulit sesuatu: ~ kelapa; ~ limau. 2 menghuraikan sesuatu dgn teliti; mengulas. Jawapan yang betul ialah mencekah. Sila rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat untuk maklumat lanjut. Terima kasih kerana menggunakan perkhidmatan kami. | Tatabahasa | 14.08.2012 |
apakah perbezaan di antara komsas pra dan pasca tahun 2000? | Saudara, Memang ada perbezaan antara sebelum dan selepas pelaksanaan KOMSAS, walaupun unsur sastera telah diperkenalkan secara formal dalam mata pelajaran bahasa Melayu dari tingkatan 1 hingga 5, sejak tahun 1987, namun teks sastera tidak dijadikan komponen wajib yang perlu dipelajari oleh semua pelajar, dan diajar dalam konteks unsur sastera yang asas sehingga keberkesanan dan pelaksanaannya tidaklah mantap seperti yang diharapkan. Kurikulum bahasa Melayu telah disemak semula dan seiring dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang bertujuan untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani maka diperkenalkan KOMSAS bermula Mac tahun 2000, secara berperingkat-peringkat bermula tingkatan 1 dan 5 dan diwajibkan kepada semua pelajar bermula tahun 2002. Melalui KOMSAS mata pelajaran bahasa Melayu mengandungi dua komponen, iaitu komponen bahasa dan komponen sastera. karya-karya sastera yang bermutu dan sesuai dengan tahap pembaca telah dipilih dan dijadikan teks wajib yang perlu dipelajari oleh para pelajar. KOMSAS lebih berkesan dalam pengajaran dan pembelajaran ilmu kesusasteraan dan diajar secara sistematik. Pelaksanaan Kesusasteraan Melayu sebagai komponen wajib dalam mata pelajaran bahasa Malayu juga dapat memberi pendedahan kepada para pelajar tentang aspek-aspek asas dalam memahami genre sastera antaranya: - mengenal genre cerpen, novel, drama dan prosa tradisional - mengenal puisi moden dan puisi tradisional - memahami istilah kesusasteraan bagi karya prosa dan puisi - memahami binaan dan teknik plot - menilai dan mengulas mesej, pengajaran, nilai-nilai kemanusiaan, kemasyarakatan dan kebudayaan - menaakul tema dan pemikiran, mesej dan pengajaran, serta nilai-nilai kemanusiaan dan kemasyarakatan - menilai dan mengulas gaya bahasa, unsur bunyi dan nada. | Sastera | 28.05.2011 |