tolong semak ayat saya... adakah ayat yang saya senaraikan ini mengandungi frasa kerja tak transitif? 1. lelaki itu menghulurkan sekeping kertas kosong kepada perempuan itu. 2. kelihatan di sedang menulis sesuatu di kertas iitu dan dihulurkan kepada lelaki itu. 3. lelaki itu membaca dan kemudian menggelengkan kepala. 4. perempuan itu merenung tajam ke arah lelaki itu. 5. dia diam seketika, sambil matanya terkelip-kelip memandang syiling wad yang kaku itu. 6. siang dan malam lelaki itu menunggu perempuan itu dengan tabah dan sabar. 7. anak di rumah, pandai-pandai sahaja unutk mengurus diri sendiri. 8. sambil tersenyum, dia menegurku mesra. 9. dia tidak sanggup meninggalkan isterinya tanpa ditemani walau sesaat pun. 10. dua belas tahun yang lalu di telah dibedah di Singapura. 11. aku sangat kagum dengan lelaki itu dan terkesan dengan kesabarannya melayani karenah isterinya yang pelbagai macam itu. 12. calang-calang suami tidak akan sanggup membelai isterinya yang terbujur di katil itu. 13. perlahan-lahan dia duduk di atas kerusi di sisi katil isterinya. 14. saya gembira ibu melawat saya. 15. ketika akau melangkah pulang aku melihat bahawa dia masih tersenyum riang. 16. dia mencapai tanganku dan menciumnya. 17. hati kecilnya tidak putus-putus mendoakan semoga dia akan pulih. 18. kita janganlah lupa untuk terus beristighfar dan reda dengan apa-apa yang berlaku,. 19. aku terkesima dan kagum dengan ketabahan isterinya,. | Seperti yang telah dijelaskan sebelum ini kata kerja tak transitif yang tidak memerlukan penyambut atau objek sesudahnya. Walau bagaimanapun terdapat sejumlah kata kerja tak transitif yang mesti diikuti oleh pelengkap, namun unsur ini bukanlah dianggap sebagai objek (tidak boleh dipasifkan), sementara yang lainnya tidak perlu diikuti oleh pelengkap. Contoh kata kerja tak transitif berpelengkap: beransur (pulih), tinggal (di bandar), menjadi (guru), berbuat (baik), ada (keluarga) dan berbantalkan (lengan) Contoh kata kerja tak transitif tak berpelengkap: bangun, tumbang, pulang, menangis, menjerit, berkibaran, berjalan, tersenyum, terpegun, menguning, melancong dan meninggi. Sebagai seorang bakal guru saudara perlu lebih mengenali pelbagai aspek tatabahasa termasuklah kata kerja tak transitif dan kata kerja transitif. Merujuk ayat Lelaki itu menghulurkan sekeping kertas kosong kepada perempuan itu - menghulurkan ialah kata kerja transitif yang memerlukan objek sebagai pelengkap. Untuk ayat yang seterusnya sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 88-90 dan halaman 385-394. | Tatabahasa | 24.03.2011 |
Bagaimanakah cara yang paling mudah untuk membezakan kata kerja transitif dan kata kerja tak transitif? | Cikgu Ruzita terima kasih kerana menghubungi KNBDBP. 1. Kata kerja transitif - kata kerja yg. mengandungi objek yg. terdiri drpd. frasa nama utk melengkapkan maksudnya. Cth: menendang bola, menaiki bas, manakala Kata kerja tak transitif berpelengkap ialah kata kerja yang memerlukan unsur pelengkap. Namun unsur itu bukanlah objek kerana ayatnya tidak boleh dipasifkan. Contoh: padi sedang menguning, pemuda itu tersenyum. Saudara boleh merujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, Bab 5 Golongan Kata dan Bab 13 Frasa Kerja. | Tatabahasa | 10.05.2009 |
mohon penjelasan penuh dari segi tatabahasa malaysia (cth; kata kerja, kata bilangan dan sebaginya); ayat berbunyi: (abang ceraikan kakak kamu, cerai,cerai,cerai) | 1. Kata kerja digolongkan kepada dua kumpulan utama: i. kata kerja transitif ii. kata kerja tak transitif. Kata kerja transitif ialah kata kerja yang mengandungi objek yang terdiri daripada frasa nama untuk melengkapkan maksudnya.Cth. Murid sedang membaca buku; saya telah menjawab soalan sdr. Kata kerja transitif dapat dibahagikan kepada kata kerja yang berfungsi dalam ayat aktif dan kata kerja yang berfungsi dalam ayat pasif. kata kerja tak transitif ialah kata kerja yang tidak memerlukan penyambut atau objek sesudahnya. kata kerja tak transitif dapat dibahagikan kepada dua subgolongan. iaitu kata kerja tak transitif tanpa pelengkap dan kata kerja tak transitif berpelengkap. Cth. kata kerja tak transitif tanpa pelengkap: semua orang pulang.; adik saya masih tidur. Cth. kata kerja berpelengkap: keadaan bapanya beransur baik.; mereka tinggal di Kampung Paya. Untuk keterangan lanjut, sila dapatkan buku Tatabahasa Dewan Edisi, terbitan DBP. 2.Kata bilangan boleh dibahagikan kpd. dua, iaitu kata bilangan kardinal (menyatakan jumlah secara keseluruhan, cth: dua, tiga puluh, empat puluh sembilan) dan kata bilangan ordinal (ditulis dgn. angka, cth: 2, 30, 49). Untuk makluman, kata ordinal kesatu boleh bertukar ganti dengan pertama yang merupakan pinjaman bahasa Sanskrit. 2. Kata kerja transitif - kata kerja yg. mengandungi objek yg. terdiri drpd. frasa nama utk melengkapkan maksudnya. Cth: menendang bola, menaiki bas). Kata kerja tak transitif - kata kerja yg. tak memerlukan penyambut/objek sesudahnya. Kata kerja jenis ini boleh dibahagikan kpd. dua subgolongan, iaitu: i) Kata kerja tak transitif berpelengkap (cth: Mereka tinggal di kampung, dia menjadi guru) ii) Kata kerja tak transitif tanpa pelengkap (cth: padi sedang menguning, pemuda itu tersenyum). Untuk keterangan lanjut, saudara boleh merujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Baharu, hal. 140- 145. | Tatabahasa | 25.04.2012 |
Selamat petang, tuan. Bagaimanakah kita dapat menentukan sesuatu perkataan itu ialah kata kerja transitif ataupun kata kerja transitif jika diuji dalam sistem bahasa, iaitu soalan 8-14 dalam kertas 1 PMR? Sekian, terima kasih! | Kata kerja aktif transitif ialah kata kerja yang mengandungi objek yang terdiri daripada frasa nama untuk melengkapkan maksudnya. Contoh: 1. Murid-murid sedang membersihkan kawasan sekolah. 2. Kami membaiki kereta kesayangan ayah. Kata kerja aktif tak transitif ialah kata kerja yang tidak memerlukan penyambut atau objek sesudahnya. Kata kerja aktif tak transitif dapat dibahagikan kepada dua golongan iaitu tanpa pelengkap dan berpelengkap. Contoh: 1. Semua orang pulang. (tanpa pelengkap) 2. Padi sedang menguning. (tanpa pelengkap) 3. Keadaan bapanya beransur baik. (berpelengkap) | Tatabahasa | 12.07.2013 |