Adakah DBP mempunyai pedoman pengejaan istilah berakhiran -phobia, -phobe, -philia dan -phile yang diserap masuk bahasa Melayu? Contohnya astraphobia menjadi astrafobia, xenophilia menjadi xenofilia, Islamophobe menjadi Islamofob (atau Islamofobiawan?) dan pedophile menjadi pedofil (atau pedofiliawan)? Terima kasih didahulukan. | Penulisan kata serapan mempunyai kaedah tertentu seperti yang terkandung dalam Pedoman Ejaan Umum Bahasa Melayu dan Pedoman Umum Pembentukan Istilah Bahasa Melayu. Antara lain, ph akan menjadi f, maka Islamophobia akan menjadi Islamofobia, astraphobia akan menjadi astrafobia, pedophilia akan menjadi pedofilia. | Ejaan | 19.04.2019 |
TUAN, Saya ingin menjelaskan kepada murid-murid sekolah rendah tentang berikut : perkataan " adab" menjadi peradaban. perkataan " jawab" menjadi jawapan. perkataan "lembab" menjadi kelembapan. Mohon bantuan tuan untuk menyatakan peraturan yang menjadikan huruf "b" bertukar kepada "p" dan ada juga perkataan yang kekal huruf "b". terima kasih | Jawapan dan jawaban boleh digunakan dan merupakan varian. Jawaban adalah betul dari segi morfologi manakala jawapan pula diterima pakai disebabkan kelaziman penggunaannya. Kamus Dewan Edisi Keempat menjadikan jawapan sebagai subentri kepada jawab. Adab merupakan ejaan yang tepat mengikut Kamus Dewan dan adap pula sub entri bagi nasi adap. Sila rujuk Kamus Dewan untuk lebih lanjut. | Tatabahasa | 24.05.2013 |
Mengapakah ejaan betul chalet dan bukan calet? Bukankah ch menjadi c dalam bahasa Melayu baku? Chandelier menjadi candelier, chef menjadi cef. Mengapakah chalet mendapat pengecualian? | Pakar bidang telah memutuskan peminjaman perkataan chalet dalam bahasa Melayu dengan mengekalkan bentuk ejaan dan sebutannya. | Istilah | 11.03.2019 |
Salam sejahtera. Yang manakah betul? ( 1) menjadi johan 2) mendapat johan (3) menjadi juara (4) mendapat juara | Frasa yang gramatis ialah menjadi johan dan menjadi juara; atau mendapat tempat pertama. | Tatabahasa | 25.08.2014 |
Mengapakah 'peningkatan harga' tidak boleh diubah menjadi 'meningkatkan harga' apabila menjadi kata kerja? | Meningkatkan harga ialah bentuk kata kerja dan penggunaannya hendaklah disesuaikan dengan konteks penggunaannya. | Tatabahasa | 05.03.2015 |
Assalamualaikum 1. Mengapa perkataan yang bermula dengan huruf konsonan f digugurkan apabila menerima imbuhan meN seperti faham menjadi memahami dan fikir menjadi memikirkan dan mengapakah konsonan ini tidak tergolong dalam kata dasar yang bermula dengan huruf p, t, k dan s yang digugurkan. | Dalam buku Tatabahasa Dewan, contoh berkenaan diterangkan di bawah tajuk Bentuk Awalan meN- tanpa menjelaskan alasan rumus tersebut ditetapkan sedemikian. Berdasarkan huraian dalam buku Tatabahasa Dewan bentuk tersebut terpakai bagi kata jati Melayu dan kata yang telah lama diserap masuk dan diterima sebagai kata Melayu. Contohnya faham, berubah menjadi memahami tetapi tidak bagi perkataan fitnah yang berubah menjadi memfitnah. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 152. | Tatabahasa | 30.04.2013 |
Nombor matriks mahasiswa atau nombor matrik mahasiswa. | Frasa yang betul ialah 'kad matriks mahasiswa'. Ini kerana penulisan huruf gugus konsonan di akhir kata (atau akhir suku kata)bagi kata yang diterima gugus konsonan -x akan menjadi -ks, maka matrix akan menjadi matriks. Contoh lain seperti complex menjadi kompleks, reflex menjadi refleks dan duplex menjadi dupleks. | Istilah | 23.09.2014 |
Salam sejahtera. Pihak tuan menyatakan bahawa kata relatif “yang” boleh menjadi sebahagian daripada predikat, tetapi tidak boleh menjadi penanda predikat. Frasa “tidak boleh menjadi penanda predikat” agak mengelirukan. Berdasarkan Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, kata relatif ialah perkataan yang berfungsi untuk menghubungkan klausa utama dengan klausa kecil yang lain. Dengan ini, “Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada keleluasaan gejala sosial dalam kalangan remaja” adalah tidak gramatis. Saya mengatakan demikian kerana ayat ini bukan ayat tunggal mahupun ayat majmuk pancangan. Kalau ayat tunggal, yang mana subjek dan yang mana predikat? Kalau ayat majmuk pancangan relatif, yang mana klausa utama, yang mana klausa kecil? Sekian, terima kasih. | Penanda predikat yang dimaksudkan ialah pola ayat, iaitu Subjek + Predikat dan predikat boleh terdiri daripada Frasa Nama, Frasa Kerja, Frasa Adjektif atau Frasa Sendi Nama. Kami bersetuju dengan pandangan tuan, frasa “Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada keleluasaan gejala sosial dalam kalangan remaja” adalah tidak gramatis kerana kerana tiada predikat melengkapkan ayat. Kami mohon maaf atas kekeliruan jawapan yang diberikan sebelum ini. | Tatabahasa | 29.11.2018 |
Adakah frasa "Mendepani Pertanian" bermaksud menjuarai pertanian? Terima kasih | Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, mendepani bermaksud 1. berada di depan sesuatu 2. berusaha tidak mahu ketinggalan; mendahului. Perkataan "menjuarai" pula bermaksud menjadi juara, menjadi johan 2. memperjuangkan (mempertahankan, menyokong dan sebagainya) dengan sesungguhnya. Oleh itu, kedua-dua perkataan ini berbeza maksudnya. | Istilah | 31.10.2015 |
Kejadian itu wajar menjadi peringatan kepada semua orang. Kejadian itu wajar dijadikan peringatan kepada semua orang. adakah "menjadi" dan "dijadikan" juga betul diguna? terima kasih. | Ayat yang betul ialah "Kejadian itu wajar menjadi peringatan kepada semua orang". | Tatabahasa | 15.04.2013 |