| "Pentafsiran" atau "Penafsiran", yang mana yang betul atau kedua-dua boleh digunakan mengikut konteks ayat? | Menurut Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020) ejaan yang betul ialah pentafsiran. Pentafsiran bermaksud hal atau perbuatan mentafsirkan sesuatu. Contoh penggunaan: a. Syarahan ini ditumpukan kepada pentafsiran dan penulisan sejarah dalam bahasa Melayu. b. Pentafsiran data memerlukan kaedah statistik. Kata mentafsirkan (kata pasif: ditafsirkan, tafsirkan) pula bermaksud: 1. menerangkan, menjelaskan atau membuat tanggapan tentang (sesuatu kejadian, maklumat dan lain-lain). Contoh penggunaan: a. Teori ini mentafsirkan pembelajaran sebagai perubahan dalam tingkah laku. b. Istilah filem dan perfileman sering ditafsirkan secara sempit oleh masyarakat umum. 2. menerangkan, menjelaskan atau merungkaikan maksud (ayat al-Quran, hadis dan sebagainya). Contoh penggunaan: a. Ulama ini telah mengetengahkan kaedah-kaedah mentafsirkan al-Quran supaya mudah difahami dan dapat dijadikan panduan. b. Sebenarnya perkataan al-yaqin dalam ayat tersebut ditafsirkan oleh semua mufasirin yang muktabar sebagai kematian.
| Ejaan | 02.01.2025 |
| Salam, saya ingin mendapatkan kepastian dari anda. Setahu saya clearing house bermaksud gedung penjelasan, bolehkan saya mentafsirkan clearing member sebagai ahli gedung penjelasan? Terima kasih | Rumah penjelasan digunakan dalam bidang ekonomi, jika "clearing member" merujuk orang yang terlibat dalam konteks yang tersebut, padanan ahli gedung penjelasan boleh digunakan. | Tatabahasa | 17.12.2018 |
| Apakah huruf t dalam tafsir gugur apabila diimbuhkan dengan awalan me? Terima kasih | Tidak digugurkan huruf t dalam ejaan mentafsirkan kerana perkataan tersebut dikira sebagai perkataan asing, (bahasa arab). | Ejaan | 20.11.2006 |
| Mohon pencerahan bagi istilah sebenar bagi perkataan 'one-stop' di dalam Bahasa Malaysia. Carian saya di laman web PRPM ini (di bawah menu 'Istilah Malaysia') mentafsirkan 'one-stop' sebagai serenti. Adakah istilahnya serenti atau sehenti? Sekian, terima kasih. | Maksud one-stop itu perlu dilihat pada penggunaan ayat atau konteks ayat. Jika merujuk kepada pusat pemulihan, kita sebut "serenti", apabila merujuk kepada perkhidmatan atau barangan kita sebut "sehenti atau sehentian" | Istilah | 13.10.2014 |
| Menurut (Goffee and Jones 1998), budaya organisasi terbahagi kepada dua dimensi iaitu 'sociability dan solidarity'. Daripada dua dimensi tersebut, lahir empat jenis budaya organisasi iaitu: 1. Communal Culture 2. Fragmented Culture 3. Networked Culture 4. Mercenery Culture Adakah istilah dalam bahasa melayu yang boleh digunakan untuk mentafsirkan dua dimensi budaya dan empat jenis budaya tersebut? Terima kasih | Istilah bahasa Melayu untuk sociability ialah kebolehsosialan atau keramahan. Istilah untuk solidarity ialah perpaduan atau setiakawan. Tidak terdapat istilah khusus untuk empat jenis budaya yang dikemukakan. Walau bagaimanapun, terdapat padanan bahasa Melayu untuk istilah yang berikut: 1. communal - komunal/perkauman 2. fragmented - berpecah 3. networked - berangkaian 4. mercenary - mata duitan | Istilah | 08.01.2013 |
| Apakah perbezaan antara perkataan tafsiran, pentafsiran, dan penafsiran dari segi makna dan penggunaannya? Ketiga-tiga perkataan ini dilihat sama maknanya dan bebas tempat penggunaannya. | Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, maksud "tafsiran" ialah "penjelasan (ayat-ayat Quran), tafsir, hasil mentafsirkan, pengertian atau pendapat", maksud "pentafsiran" pula ialah "perihal (perbuatan) mentafsirkan (sesuatu), dan penafsiran atau perihal menaksir" manakala "penaksiran" bermaksud "perihal menaksir". Maka kesemua perkataan ini boleh digunakan mengikut konteks ayat yang bersesuaian. | Tatabahasa | 20.08.2022 |
| Salam dan hai. Saya mahu terjemah satu rencana di Wikipedia. Tetapi perkataan "read into" dalam istilah pengintipan agak sukar diterjemah secara satu-satu atau sepenuhnya dengan perkataan lebih kurang sama. Dan kebanyakannya tidak sesuai dengan konteks. Jadi saya berharap ada istilah sesuai untuk majoriti tema pengintipan. Sumber: https://en.wikipedia.org/wiki/Read_into | Perkataan "read into" merupakan kata umum yang boleh diterjemah sebagai "mentafsirkan". Perkataan ini bermaksud menganggap bahawa sesuatu mempunyai makna yang lebih daripada yang sebenar. | Lain-lain | 15.12.2021 |
| Assalamualaikum. sy Nor Idayu Azmi pelajar Universiti Putra Malaysia di bawah tajaan Kementerian Pelajaran Malaysia. Saya ingin bertanya tentang kata seerti untuk "enakmen" di dalam konteks Bahasa Melayu. Bolehkah ia diertikan sebagai "tindak balas" terhadap persekitaran? Sy telah menerima maklum balas seperti berikut Enakmen menurut Kamus Dewan Perdana ialah undang-undang bertulis yang diluluskan oleh parlimen atau badan lain yang berkuasa membuat undang-undang. Selain undang-undang, enakmen juga boleh membawa maksud statut (Kamus Dewan). Mohon juga penerangan mengapa “tindak balas” terhadap persekitaran dipilih sebagai cadangan perkataan seerti? Bolehkah sy mentafsirkan ia seperti berikut? Maksudnya enactment adalah tindak balas terhadap perkara penting yang berlaku dalam kehidupan (persekitaran). Enakmen merupakan tindak balas sebagai cadangan perkataan yang diambil daripada kamus psikologi. Ini merupakan link yang dirujuk dan makna yang dijumpai : https://dictionary.apa.org/enactment enactment APA Dictionary of Psychology A trusted reference in the field of psychology, offering more than 25,000 clear and authoritative entries. n. 1. the acting out of an important life event rather than expressing it in words. See psychodrama. Sekian, Terima ksih | Kami mencadangkan padanan bahasa Melayu bagi perkataan “enakmen” dalam konteks psikologi ialah pelakonan atau perbuatan melakonkan semula. | Lain-lain | 02.12.2021 |
| mengapa perlu ada (ny) dalam ketogeri imbuhan men- yang akan menjadi me- apabila bergabung dengan kata dasar yang bermula dengan huruf-huruf m,n,r,l,w,y . Apakah beza diantara n dengan ny sedangkan ny bermula dengan n juga ? sila rujuk buku Tatabahasa Edisi Ketiga pada Bab 7 M/S (151) ....... | Imbuhan awalan meN- menjadi meny- apabila bergabung dengan kata dasar yang bermula dengan huruf p, t, k, s kerana awalan tersebut dalam bahasa Melayu akan luluh apabila bergabung dengan imbuhan awalan meN-. Sebaliknya apabila kata dasar tersebut merupakan kata pinjaman, awalan kata dasar tersebut tidak akan luluh, contohnya, memproses, mentafsirkan, mengklasifikasikan dan menstorkan. | Tatabahasa | 06.02.2009 |
| Kenapa 'takrif' menerima imbuhan men- menjadi 'mentakrifkan' dan bukan 'menakrifkan'? | Perkataan takrif merupakan perkataan pinjaman yang bermula dengan huruf t. Imbuhan meN- menjadi men- apabila diimbuhkan pada kata dasar yang bermula dengan huruf d, c, j, sy dan z, serta perkataan pinjaman yang bermula dengan huruf t dan s dan perkataan pinjaman yang mengandungi gugus konsonan yang bermula dengan huruf t dan s. Contoh perkataan pinjaman yang mengekalkan huruf pertamanya untuk mempertahankan etimologi kata asalnya ialah: Tabligh – mentablighkan Tadbir – mentadbirkan Tafsir – mentafsirkan Untuk maklumat lanjut, saudara boleh rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga muka surat 153-154 | Tatabahasa | 03.09.2022 |