Yang manakah betul? 1. Menuju ke 2. Menuju ke arah 3. Menuju arah ke 4. Ke arah 5. Arah ke | Frasa yang betul ialah menuju ke, menuju ke arah dan ke arah. | Tatabahasa | 26.09.2013 |
Yang manakah tepat? 1. Menuju ke arah. 2. Menuju arah ke. Jawapan yang diberikan oleh pihak khidmat nasihat dbp berpendapat bahawa frasa menuju ke arah adalah tepat, tetapi frasa menuju arah ke dijumpai dalam kamus dewan edisi keempat dalam laman web PRPM. Minta penjelasan untuk mengelakkan kekeliruan. Sekian, terima kasih. | Kedua-dua frasa menuju ke arah dan menuju arah ke boleh digunakan mengikut konteks ayat. Contoh ayat; 1. Peluru berpandu ialah peluru yang boleh dikawal secara elektronik semasa penerbangannya untuk menuju ke arah sasarannya. 2. Para pelajar berjalan menuju arah ke dewan makan. | Tatabahasa | 26.09.2013 |
Yang manakah betul? 1. Seorang pengawas ( meneguri / menegur) Ahmad yang membuang sampah di lantai kantin. 2. Siti menatang semangkuk mi sup (menuju / dan menuju) ke meja makan. 3. Beberapa orang hakim sedang berbincang tentang (prestasi / persembahan) peserta pidato. 4. Aminah berkongsi bekal ( dengan / bersama-sama ) rakan-rakannya. 5. Para penonton menyaksikan (persembahan / prestasi) peserta yang berpidato di atas pentas. | 1. Seorang pengawas (menegur) Ahmad yang membuang sampah di lantai kantin. 2. Siti menatang semangkuk mi sup (menuju) ke meja makan. 3. Beberapa orang hakim sedang berbincang tentang (persembahan) peserta pidato. 4. Aminah berkongsi bekal (bersama-sama) rakan-rakannya. 5. Para penonton menyaksikan (persembahan) peserta yang berpidato di atas pentas. | Tatabahasa | 20.11.2013 |
1. Berapakah ekor burung yang hinggap di atas dahan? atau Berapa ekorkah burung yang hinggap di atas dahan? 2. pusat beli-belah / pusat membeli-belah 3. Ali menuju ke / menuju kelas Lima Biru. | Ayat yan betul ialah: 1. Berapakah ekor burung yang hinggap di atas dahan? 2. pusat beli-belah 3. Ali menuju ke Kelas Lima Biru. | |
|
| Tatabahasa | 31.03.2010 |
Yang mana satukah, ayat berikut yang betul. Jika salah sila nyatakan kesalahannya. 1. Di pinggir jalan menuju ke pekan, terdapatnya sebuah gerai roti canai yang enak sungguh. 2. Pelajar itu tidak pandai, tetapi suka membaca buku apabila ada masa lapang, | Ayat pertama tidak gramatis. Kata ganti nama nya tidak perlu dalam ayat tersebut. | Tatabahasa | 23.05.2012 |
selepas berbincang antara kami masih belum ada persefahaman yang sama, harap dapat pembetulan ayat di bawah yang mengikut tata bahasa yang baku. 1. Bercakap tentang kebudayaan, kata kebudayaan itu sendiri perlu ditakrifkan dahulu. 2. Akibat kurangnya pengetahuan agama, banyak belia yang tersesat. 3. Tugas membentuk disiplin kanak-kanak tidak merupakan tanggungjawab semata-mata guru di sekolah, tetapi dipertanggungjawabkan oleh kedua ibu bapa dan guru. 4. Bahasa Inggeris adalah bahasa pertuturan antarabangsa. Oleh itu tidak hairanlah di kota-kota banyak digunakan. 5. Lantaran itu di dalam dunia pendidikan menuju era globalisasi hari ini, terdapat pelbagai teknologi pendidikan yang cuba diaplikasikan terutama di dalam proses pengajaran seperti penggunaan laman web dan bahan multimedia yang lain. 6. Pendidikan pada hari ini terutama di era dunia tanpa sempadan, setiap aktiviti pembelajaran banyak dipengaruhi kemajuan di dalam teknologi maklumat dan bersifat elektronik. 7. Pendidikan Jasmani merupakan satu mata pelajaran ke arah kecergasan fizikal pelajar. 8. Dalam konteks pendidikan di Malaysia suatu perkara asas ialah wawasan pendidikan yang akan melahirkan rupa wajah anak bangsa, tentang masa depan yang cemerlang, tentang cita-cita luhur dan keunggulan. didahului terima kasih. | 1. Bercakap tentang kebudayaan, perkataan kebudayaan itu sendiri perlu ditakrifkan terlebih dahulu. 2. Ayat ini betul. 3. Tugas membentuk disiplin kanak-kanak bukan merupakan tanggungjawab guru di sekolah semata-mata, tetapi juga dipertanggungjawabkan kepada kedua ibu bapa. 4. Bahasa Inggeris ialah bahasa pertuturan antarabangsa, Oleh itu, tidak hairanlah bahasa Inggeris digunakan di kebanyakan kota. 5. Lantaran itu, dalam dunia pendididikan yang sedang menuju era globalisasi pada hari ini, terdapat pelbagai teknologi pendidikan yang cuba diaplikasikan dalam proses pengajaran sepeti penggunaan laman web dan bahan multimedia yang lain. 6. Setiap aktiviti pembelajaran pendidikan pada hari ini, terutama dalam era dunia tanpa sempadan banyak dipengaruhi kemajuan dalam teknologi maklumat dan bersifat elektronik. 7. Pendidikan Jasmani merupakan mata pelajaran yang menyumbang ke arah kecergasan fizikal pelajar. 8. Dalam konteks pendidikan di Malaysia, satu perkara asas ialah wawasan pendidikan yang akan melahirkan anak bangsa yang mempunyai masa depan yang cemerlang dan cita-cita luhur dan unggul. | Tatabahasa | 27.02.2013 |
1. Apakah maksud perkataan kesinambungan? Bilakah perkataan ini sesuai digunakan? 2. Di manakah boleh saya beli buku tatabahasa dewan edisi terbaru? 3. Bagaimanakah membezakan penggunaan 'Ke' dan 'Kepada' 4. Apakah ejaan yang betul bagi perkataan draft? Draf atau deraf? | 1. Kesinambungan: perihal bersinambungan, kelanjutan, keterusan, persambungan: tetapi jelas bahawa pemerintahan raja-raja Melayu Langkasuka dan Patani tetap mempunyai ~ sehinggalah awal abad ke-20; justeru yg moden itu merupakan ~ bagi yg tradisional dan yg lama akan dapat memperkenalkan akar-akar tradisinya; 2. Saudari boleh mendapatkannya di Koperasi DBP, Tingkat Bawah Menara DBP atau mana-mana kedai buku yang mengedarkan buku terbitan DBP. 3. Ke :- kata sendi yg menunjukkan arah atau tempat dll yg ditujui: terbang ~ udara; belayar menuju ~ timur; melancong ~ Tokyo; Kepada:- 1. kata utk menyatakan arah ke (dipakai sebelum nama orang atau kata pengganti diri), pada: mengirim surat ~ orang tuanya; 2. terhadap, akan: jangan berbuat jahat ~ orang; 3. daripada, pada: baginda memohon Siantan ~ Betara Majapahit; ia penolong ~ Pegawai Daerah. | Lain-lain | 19.03.2009 |
salam sejahtera Tuan, Pihak Panitia BM sekolah saya ingin bertanya beberapa soalan seperti di bawah: YANG MANA BETUL? 1. pergi ke dewan ATAU pergi dewan ATAU ke dewan 2. pergi ke dalam (betul atau salah?) 3. masuk ke dalam hutan ATAU masuk hutan 4. Jangan buang sampah di lantai. ATAU Jangan buang sampah ke lantai. 5. Baju yang berwarna merah atau baju yang berwarna biru? ATAU Baju yang berwarna merah atau biru? ATAU Baju merah atau baju biru? ATAU Baju merah atau biru? Berharap tuan dapat membantu kami. Sekian, terima kasih. | Penggunaan perkataan yang bermaksud "menuju ke arah sesuatu tempat" perlu ada kata sendi nama ke, seperti ke dewan, ke hutan, ke dalam dan sebagainya. Bagi frasa Jangan buang sampai di lantai atau ke lantai, kedua-dua kata sendi nama tersebut boleh digunakan. Pengulangan kata baju yang berwarna merah atau baju yang berwarna biru dianggap pembaziran perkataan, dan memadai dengan baju yang berwarna merah atau biru, atau baju merah atau biru. | Tatabahasa | 17.06.2012 |
1. Saya memimpin tangan / memimpin orang tua melintasi jalan. Perlukah kata kerja memimpin diikuti dengan tangan? kerana perkataan memimpin telah membawa maksud memegang tangan. 2. Sekolah saya mengadakan pertandingan menyanyi / pertandingan nyanyian? Apakah perbezaan antara kedua-dua frasa nama tersebut? 3. Saya menghidangkan makanan kepada / untuk ibu. Apakah perbezaannya ? kerana saya pernah terjumpa menghidangkan .... kepada dan menghidangkan ... untuk. | 1. Ayat yang betul ialah saya memimpin tangan orang tua melintas jalan. Hal ini kerana berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, memimpin mempunyai tiga takrifan, iaitu: 1. memegang tangan dan membawa berjalan menuju ke sesuatu tempat (menunjukkan jalan dll), membimbing, menuntun: Malim Deman pun ~ tangan puteri lalu berjalanlah; 2. mengepalai atau mengetuai serta mengendalikan (badan, pertubuhan, pergerakan, negara, dll), mengepalai (rapat dsb): dia tidak pernah ~ apa-apa pergerakan; tentera yg dahulu dipimpin oleh Jeneral Suharto telah siap sedia utk menghadapi kemungkinan perlawanan drpd anasir-anasir prokomunis; 3. melatih (mendidik, mengasuh, dll) supaya boleh bekerja (berfikir) sendiri; pelajar-pelajar ini dipimpin oleh guru-guru yg terlatih. 2. Frasa yang betul ialah Sekolah saya mengadakan pertandingan nyanyian kerana nyanyian ialah kata nama, sedangkan menyanyi ialah kata kerja. Penamaan sesuatu perkara hendaklah dalam kata nama. 3. Syat yang lebih tepat ialah saya menghidangkan makanan kepada ibu kerana penggunaan kata sendi nama kepada dalam ayat tersebut menyatakan sasaran yang merujuk manusia, haiwan dan unsur mujarad. Ayat tersebut boleh juga diolah sebegini: Saya menghidangi ibu makanan. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 272 untuk keterangan lanjut. | Tatabahasa | 07.02.2010 |
apakah beza melintas dengan melintasi? | perbezaannya dapat dilihat melalui definisi yang diberikan oleh Kamus Dewan Edisi Empat seperti berikut; melintas = 1. lalu (dgn cepat): seorang Pak Haji ~ di hadapan peminta sedekah itu; 2. merentas (mengikut jalan yg terdekat), memintas: kita harus berjalan melingkari padang ini kerana tidak dibenarkan ~; 3. memotong jalan, menyeberangi jalan: tidak dibenarkan ~ jalan di sini; 4. teringat (ternampak, terkenang, dll) sekejap: benda pertama yg ~ di kepala Jusoh ialah Semaun; melintasi = 1. lalu di, melalui, mengharungi: pelayaran ~ Atlantik; 2. pergi ke seberang, menyeberangi: habis sahaja makan, Ismail ~ jalan ini menuju lori balak; 3. menghindarkan (kesulitan dll), mengatasi; | Tatabahasa | 20.10.2012 |