Apakah perbezaan antara menyambungkan dengan menyambung? | Menyambung membawa maksud: 1. menjadikan lebih panjang dengan tambahan (tali, perbualan, cerita, dan lain-lain), memanjangkan, meneruskan (perbualan, permainan, dan lain-lain)2. menghubungkan sesuatu dengan yang lain (benda yang putus-putus dan lain-lain) 3. menghubungkan (telefon yang mendapat panggilan dengan sambungan-sambungan lain). Menyambungkan pula, 1. memanjangkan (cerita, perbualan, dll), meneruskan 2. menghubungkan sesuatu dengan yg lain (perkara yg putus-putus dll) 3. menggunakan sesuatu utk menyambung; 4. menyambung untuk (orang lain). Kedua-dua perkataan ini membawa maksud yang sama. Cuma makna tambahan bagi menyambungkan ialah, menyambung untuk orang lain. | Tatabahasa | 16.06.2016 |
Mohon tuan yang bijaksana semak ayat yang manakah menggunakan tanda baca yang betul?: (1) a) "Maaf, saya tidak bersetuju," kata Salleh sebelum menyambung, "mungkin dia diperangkap." b) "Maaf, saya tidak bersetuju," kata Salleh sebelum menyambung. "Mungkin dia diperangkap." | Selepas tanda petikan, mulakan dengan huruf besar. "Maaf, saya tidak bersetuju," kata Salleh sebelum menyambung, "Mungkin dia diperangkap." Saudara boleh merujuk buku Gaya Dewan Edisi Ketiga terbitan DBP untuk mengetahui lebih lanjut tentang cara penulisan tanda baca dan sebagainya. Buku ini merupakan antara rujukan yang perlu bagi seorang penulis dan editor. | Lain-lain | 24.11.2011 |
Saya bercadang utk menyambung pelajaran di peringkat phd. Tesis yg menjadi pilihan adalah "pantang larang masyarakat melayu; sejauh mana kebenarannya". Ada ke tidak artikel2 yang berkaitan @ tesis yg telah dilakukan sebelum ini. | 1. Terlebih dahulu saya ingin memberi pujian atas hasrat sdr untuk menyambung pelajaran di peringkat phd. Berkaitan dengan pertanyaan sdr sejauh manakah kebenaran isu berkaitan tajuk yang dicadangkan, sebenarnya itulah perkara penting yang perlu sdr kaji semasa menjalankan proses kajian tersebut dengan mengemukakan bukti-bukti daripada literatur yang telah diterbitkan dan juga yang tidak diterbitkan, juga daripada hasil soal selidik yang dilakukan sepanjang pengajian. Tentu banyak nanti isu-isu yang penting timbul daripada kajian tersebut. Pada masa itu baru sdr boleh putuskan sama ada benar atau tidak. Phd mendidik kita berfikiran kritis, tidak menerima sesuatu bulat-bulat . Melihat sesuatu perkara dari pelbagai sudut (seperti buruk dan baik). 2. Artikel yang berkaitan - di peringkat phd pelajar seharusnya boleh bekerja sendiri, memberi motivasi kepada diri sendiri dan juga mengatur kerja-kerja sendiri dengan tersusun oleh itu saya cadangkan sdr mendapatkan rujukan sendiri yang sesuai dengan tujuan kajian yang hendak dilakukan. Seterusnya nanti daripada rujukan yang berkaitan sdr dapat tentukan sama ada kajian tersebut telah dilakukan atau belum jika belum tiada masalah dan jika telah ada kajian mungkin sdr kaji pula daripada sudut lain. Yang penting kajian tersebut mestilah asli, menyumbang kepada pengetahuan yang baru. sekian | Lain-lain | 24.05.2010 |
Apakah maksud: 1. Tetupai 2. Rerambut terima kasih.. | Tetupai ialah kepingan kayu, logam dan lain-lain untuk menyokong, menyambung atau megukuhkan sambungan. Selalunya tetupai digunakan dalam membina rumah. Rerambut ialah saluran darah yang halus-halus, atau sesuatu yang menyerupai rambut. | Tatabahasa | 18.06.2014 |
Harap dapat memberitahu adakah ayat-ayat tersebut betul dan penjelasannya. 1. Orang ramai (berebut-rebut / berduyun-duyun) masuk ke dalam stadium sebaik sahaja pintu utama dibuka oleh pengawal keselataman. ( mana yang tepat ) 2.Marina terpaksa menangguhkan niatnya menyambung pelajaran kerana kesempitan wang. 3. Serina menamai kucingnya Putih kerana bulu kucingnya itu putih. 4. Ikhwan dan Alif gemar betul membaca buku cerita. 5. Novel yang paling tebal itu tidak terbaca oleh saya dalam tempoh dua hari. 6. Mereka membincangkan lain-lain perkara dalam mesyuarat agung itu. 7. Yang muda hendaklah dinasihati dan yang tua hendaklah disayangi. Sekian, terima kasih. | 1. Orang ramai (berebut-rebut / berduyun-duyun) masuk ke dalam stadium sebaik sahaja pintu utama dibuka oleh pengawal keselamatan. ( mana yang tepat ) Orang ramai berebut-rebut/berasak-asak masuk ke dalam stadium sebaik sahaja pintu utama dibuka oleh pengawal keselamatan. (tepat) - dalam konteks ayat ini, situasi pintu dibuka oleh pengawal. 2.Marina terpaksa menangguhkan niatnya menyambung pelajaran kerana kesempitan wang. (Tepat) 3. Serina menamai kucingnya Putih kerana bulu kucingnya itu putih. (tepat) 4. Ikhwan dan Alif gemar betul membaca buku cerita. (TEPAT) 5. Novel yang paling tebal itu tidak terbaca oleh saya dalam tempoh dua hari. (TEPAT) 6. Mereka membincangkan lain-lain perkara dalam mesyuarat agung itu. frasa yang betul ialah perkara-perkara lain. 7. Yang muda hendaklah dinasihati dan yang tua hendaklah disayangi.(Tepat) | Tatabahasa | 13.08.2012 |
Kami menerima dua jawapan yang berbeza daripada pihak tuan. Mohon pencerahan, yang manakah yang paling tepat antara ayat di bawah (kedua-dua ini adalah jawapan yang diberikan oleh pihak DBP: a) Soalan : Mohon tuan yang bijaksana semak ayat yang manakah menggunakan tanda baca yang betul?: (1) a) "Maaf, saya tidak bersetuju," kata Salleh sebelum menyambung, "mungkin dia diperangkap." b) "Maaf, saya tidak bersetuju," kata Salleh sebelum menyambung. "Mungkin dia diperangkap." Jawapan : Selepas tanda petikan, mulakan dengan huruf besar. "Maaf, saya tidak bersetuju," kata Salleh sebelum menyambung, "Mungkin dia diperangkap." -24 Nov 2011 b) Soalan : Mohon penjelasan pihak tuan/puan. Ayat berikut adalah ayat yang diucapkan secara putus-putus. Yang manakah lebih tepat? a) Jika kautiba di tasik," dia mengingatkan dirinya sendiri, "kau perlu ingat apa yang pernah berlaku." b) Jika kautiba di tasik," dia mengingatkan dirinya sendiri, "Kau perlu ingat apa yang pernah berlaku." Jawapan : Jika kautiba di tasik," dia mengingatkan dirinya sendiri, "kau perlu ingat apa yang pernah berlaku."-27 Januari 2012 | Sila rujuk petikan di bawah yang diambil daripada novel Kuntum Tulip Biru, karya SN Arena Wati, terbitan DBP dan bandingkan dengan ayat contoh yang saudara sertakan. Kami mohon maaf atas kekeliruan yang timbul. "Mariani rindu makanan Asia," kata David sambil ketawa. "Kami harap segera dapatkan rumah, biar saya rasamasakannya sebelum saya pulang ke Amerika." "Kalau tidak kuat, hentikan. Macam saya. Kaulihat. Kerja saya banyak. Saya tinggalkan!" Ninik kembali merenung Pamela. "Kau akan kemukakan supaya kejadian hari ini dibincang?" Berdasarkan petikan tersebut setiap ayat dalam pengikat kata dimulakan dengan huruf besar, namun tanda baca yang sebelum pengikat itu juga perlu jelas, iaitu noktah bukan tanda koma (walaupun ayatnya pendek). Maka huruf dalam pengikat tersebut dimulakan dengan huruf besar besar. Pada masa akan datang kami cadangkan saudara merujuk buku Gaya Dewan dan juga buku terbitan DBP yang banyak menggunakan tanda baca seperti buku teks dan novel. | Ejaan | 31.01.2012 |
1) Terangkan dengan lebih terperinci penggunaan perkataan sengkang. 2) Adakah penggunaan perkaatan sengkang yang mewakili (-) masih diguna pakai pada masa kini? 3) Maksud dash (-) dalam Basa Melayu. | 1) 1) Penggunaan tanda sengkang adalah seperti yang berikut: i. Kata ulang (contoh: anak-anak). ii. Menyambung suku kata yang dipisahkan oleh penggantian baris. iii.Memperjelaskan ungkapan (contoh: k-a-m-p-u-n-g bukan k-a-m-p-o-n-g). iv.Merangkaikan huruf besar dengan huruf kecil (contoh: hamba-Mu, pro-Malaysia). v. Merangkaikan “ke” dengan angka (contoh: ke-25). vi.Hubungan antara kata-kata pada rangkai kata setara tertentu atau istilah (contoh: alat pandang dengar). Tanda sengkang yang digunakan dalam kata ganda tidak perlu dijarakkan. Ejaan yang dijarakkan ialah tanda pisah ( - ) yang digunakan dalam ayat bagi memisahkan keterangan idea (contoh: Segala impiannya – harta dan pangkat musnah akibat perbuatannya sendiri) atau menggantikan perkataan hingga, seperti Jun – September. 2) Tanda sengkang masih diguna pakai sehingga kini. 3) Maksud dash (-) dalam Bahasa Melayu ialah sengkang atau sempang. Sengkang dalam Kamus Dewan Edisi Keempat ialah tanda yang menceraikan suku kata dan lain-lain, sempang. 3) | Lain-lain | 06.05.2020 |
1) Adakah Perang Badar tergolong dalam kata nama khas? 2) Aimah menghela nafas panjang. "Patah tumbuh..." Dia mengesat air mata lalu menyambung, "Hilang berganti." Soalan: Patah tumbuh hilang berganti ialah peribahasa. Sekiranya dimasukkan dalam dialog seperti di atas, adakah 'hilang berganti' ditulis menggunakan huruf kecil pada pangkalnya? 3) Ada dua cara menggunakan tanda koma melalui pembacaan saya. a) Dia suka mengemas, mencuci dan memasak. b) Dia suka mengemas, mencuci, dan memasak. Menurut Nik Safiah Karim dalam buku Bimbingan Pelajar: Bahasa Kita, ayat b yang betul. Ini bagi mengelakkan kekeliruan. Bagaimana dengan pendirian DBP sendiri. A atau b yang betul dan sekiranya jawapannya berbeza daripada Nik Safiah Karim, mohon tuan yang bijaksana jelaskan hujahnya. | 1) Perang Badar ialah kata nama khas. 2) Frasa 'hilang berganti' ditulis menggunakan huruf kecil pada pangkalnya, dalam rangkaian peribahasa hanya perkataan pertama ditulis dengan huruf besar. 3) Kedua-duanya betul. Penggunaan tanda koma sebelum dan lebih kepada gaya penulisan. Lazimnya tanda koma digunakan apabila menulis perkara yang bukan daripada kategori yang sama, seperti Emak ke kedai membeli ikan, sotong, ketam, dan bakul. | Tatabahasa | 29.11.2011 |
Berkenaan dengan bidang Tekonologi Maklumat/Komputer: 1) "Burstable" ialah kaedah mengukur lebar jalur berdasarkan penggunaan puncak, bagi tujuan pengebilan. Kaedah ini juga membolehkan penggunaan melebihi ambang tertentu untuk jangka masa yang singkat tanpa kesan kewangan ke atas pengguna. 2) "Peering" ialah proses apabila dua rangkaian internet menyambung dan menukar trafik. Proses ini membolehkan rangkaian tersebut menghantar trafik secara langsung antara pelanggan masing-masing, tanpa penglibatan pihak ketiga. Saya amat berbesar hati jika pihak DBP dapat mencadangkan istilah yang sesuai bagi "burstable" dan "peering" (jika ada). Terima kasih. | Cadangan kami peering diterjemahkan kepada merangkai padan dan burstable diterjemahkan kepada boleh langkau sekiranya sesuai dengan konteks penggunaannya. Walau bagaimanapun, kedua-dua terjemahan ini akan diteliti dengan lebih lanjut lagi dan setelah memperoleh jawapan rasmi kami akan meng-e-melkannya kepada pihak tuan. | Lain-lain | 26.05.2019 |
Pilih ayat yang betul 1. Aduhai,sakitnya gigiku yang berlubang ini! 2. Serkap ayam daripada buluh dijual oleh beliau. 3. Tolong jangan merokok di kawasan sekolah. 4. David dan Wong telah tiba ke Ipoh pagi tadi. Abang akan menyambung pengajian ke luar negara pada minggu hadapan untuk -------------pegetahuan. A. memperkembang B. mengembangkan C. memperkembangkan D. mengembang | Jawapan betul- No. 1 dan (b)
| Makna | 16.08.2016 |