Mohon pihak DBP memutuskan tentang penggunaan kata ganti nama "ia" secepat mungkin. Banyak pihak sedang "berkelahi" tentang kata ini. Ketepikan soal politik, perasaan "lebih pandai daripada yang lain" dan sebagainya. Buatlah suatu ketetapan dan minta semua orang (yang menyokong atau tidak menyokong) menghormati keputusan itu. Barulah Bahasa kita dipandang mulia dan dihormati orang. | Apakah isu yang dikaitkan dengan kata "ia", adakah isu kata ganti diri atau isu penggunaan "ia" kepada bukan manusia. Dalam hal ini buku Tatabahasa Dewan telah menjelaskan pada halaman 104, kata ganti nama diri orang ketiga termasuklah ia, dia, beliau mereka dan nya. Dari aspek makna, Kamus Dewan menakrifkan "ia" sebagai kata ganti nama diri orang ketiga dan kata ganti benda yang dibicarakan. | Tatabahasa | 13.07.2012 |
Dalam Carian Kata DBP: Demokratik membawa maksud menjunjung/menyokong demokrasi (Kamus Bahasa Melayu). Seterusnya dalam Carian Kata: 'democratic leadership' diertikan sebagai kepimpinan demokratik, manakala 'democratic family' diterjemahkan sebagai keluarga demokratik. Berdasarkan maklumat di atas (diperoleh dari capaian DBP), kami mahu mendapatkan penjelasan sekali lagi mengenai istilah: i. democratic citizens = warganegara demokratik ii. democratic citizenship = kewarganegaraan demokratik (bermaksud kewarganegaraan yang menyokong prinsip-prinsip demokrasi) Sementara itu, kewarganegaraan demokrasi seperti yang dicadangkan oleh pihak tuan sebelum ini dirasakan kurang sesuai. Mohon pencerahan daripada pihak tuan. Terima kasih. | Penggunaan demokratik dan demokrasi boleh digunakan mengikut konsep dan maksud yang hendak disampaikan. | Penyemakan dan penterjemahan | 19.08.2016 |
Adakah semua kata adalah morfem?Berikan SATU hujahan bagi menyokong jawapan anda dalam satu ayat yang jelas. Sertakan contoh yang kukuh. | Data daripada Kamus Dewan, morfem ialah satuan terkecil dlm bahasa yg mempunyai erti atau fungsi tertentu: perkataan perumahan terdiri daripada satu morfem bebas, iaitu perkataan rumah dan dua morfem terikat iaitu pe(r)- dan -an. | Tatabahasa | 19.04.2015 |
Adakah semua morfem adalah kata?Berikan SATU hujahan bagi menyokong jawapan anda dalam satu ayat yang jelas. Sertakan contoh yang kukuh. | Data daripada Kamus Dewan, morfem ialah satuan terkecil dlm bahasa yg mempunyai erti atau fungsi tertentu: perkataan perumahan terdiri daripada satu morfem bebas, iaitu perkataan rumah dan dua morfem terikat iaitu pe(r)- dan -an. | Tatabahasa | 19.04.2015 |
Apakah terjemahan untuk 'collectivist' dan 'collectivistic'? | Collectivist ialah seseorang yang menyokong fahaman politik berhaluan kiri, manakala collectivistic ialah sifat bagi penyokong tersebut. Belum ada terjemahan perkataan tersebut dalam bahasa Melayu. | Penyemakan dan penterjemahan | 18.07.2014 |
Apakah maksud "tetupai" dan "sesendi"? | Tetupai ialah kepingan kayu, logam dan lain-lain untuk menyokong, menyambung atau megukuhkan sambungan. Selalunya tetupai digunakan dalam membina rumah. Sesendi juga mempunyai maksud yang sama dengan sendi atau sendi-sendi. | Makna | 18.07.2014 |
apakah maksud substruktur ekonomi? | Secara umum substruktur ekonomi bermaksud struktur yang mendasari atau menyokong sistem pengendalian sumber kekayaan. | Makna | 13.01.2010 |
Apakah maksud frasa serampang dua mata | Maksud bidalan tersebut ialah mendapat dua faedah serentak dan menyokong kedua pihak yang berkonflik. Harap maklum. | Lain-lain | 28.08.2007 |
Mengapakah perkataan 'memperakui' dianggaplewah sedangkan perkataan 'memperakukan' tidak? | Kedua-duanya betul dan dapat digunakan mengikut konteks makna ayat. Kedua-duanya berlainan makna. Memperakui bermaksud mengesahkan seperti mengesahkan sijil seperti yang asal, mengesahkan sesuatu tindakan yang dibuat betul menurut peraturan yang ditetapkan. Memperakukan bermakna menyokong atau menyetujui seperti ketua jabatan menyokong kenaikan pangkat stafnya dan mengemukakan sesuatu itu sebagai baik seperti memperakukan penggunaan Tatabahasa Dewan kepada pelajar di sekolah antarabangsa. Jadi soal lewah tidak timbul jika penggunaan kedua-dua kata itu tepat menurut kehendak maksud ayat. Wallahualam. | Tatabahasa | 20.03.2016 |
Nur Adilla Abd Rahim Assalamualaikum, Saya hendak bertanya. Adakah DBP boleh menguruskan penjualan buku/ ada dana untuk menyokong penjualan buku-buku DBP di luar negara? Ada beberapa universiti yang ingin meletakkan buku bahasa Melayu di librari kampus dan mengharapkan agar DBP dapat memberikan kerjasama. Contohnya, di University of Manchester, di samping komuniti Nusantara yang besar di Manchester itu sendiri, sudah ada kelab rasmi Bahasa Melayu [MALECS] di bawah payung kokurikulum universiti tersebut. MALECS sedang cuba untuk menempatkan buku berbahasa Melayu di kampus. Jika DBP boleh memberikan kerjasama, usaha memartabatkan Bahasa Melayu ini tentu lebih dipermudah. Harap dibalas ya Takkan Bahasa Melayu hilang di dunia! Assalamualaikum. | Salam. Saudara boleh ajukan pertanyaan tersebut dalam laman Khidmat Nasihat DBP. Soalan tersebut akan dijawab oleh Pemudah Cara DBP: http://sbmb.dbp.gov.my/kndbp/nb_halaman_utama.aspx Halaman Utama sbmb.dbp.gov.my | Lain-lain | 04.11.2013 |